• MH17

LYLON - PERANCIS. Pasukan Polis Antarabangsa (Interpol) menghantar satu pasukan pakar ke Ukraine bagi membantu mengenalpasti mangsa yang terkorban dalam nahas MH17 yang terhempas Khamis lalu, lapor agensi berita Agence France-Presse (AFP).

Menurut Interpol, pihaknya telah membuat permohonan kepada pihak berkuasa Ukraine semalam untuk menghantar pasukan dalam tempoh 48 jam.

"Dengan keadaan mangsa tragedi ini dari beberapa negara, kerjasama antarabangsa penting dalam memastikan ketepatan pengecaman dan pengesahan identiti mangsa supaya keluarga mangsa juga dapat menerima kenyataan," kata Setiausaha Agungnya, Ronald Noble dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Beliau turut memberitahu telah bercakap dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Ukraine, Arsen Avakov bahawa pihak Interpol akan memberi bantuan selagi diperlukan.

"Saya telah memberi jaminan kepada Arsen Avakov bahawa Interpol akan memberikan bantuan berterusan selagi ia diperlukan," katanya.