|
WASHINGTON - Tiada pihak mahu mengaku bertanggungjawab dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh ketika ia terbang di ruang udara Ukraine petang kelmarin.
Tragedi yang mengorbankan 298 penumpang dan kru pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur itu mencetuskan pelbagai persoalan tentang siapa dalang sebenar.
Pasukan risikan Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat tersebut ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu darat ke udara (SAM).
Kesemua mangsa terkorban apabila pesawat itu terhempas di Torez dekat Shakhtersk, dalam wilayah Ukraine.
Kerajaan AS masih berusaha untuk mengesahkan siapa yang melancarkan peluru berpandu terbabit dan sama ada terdapat rakyat negara itu yang turut menjadi mangsa.
Naib Presiden AS, Joe Biden yakin kejadian itu bukan satu kemalangan dan menyatakan bahawa pesawat MH17 itu meletup di udara.
Seorang pegawai perisikan AS yang enggan dikenali berkata, persoalan yang masih belum terjawab adalah sama ada peluru berpandu tersebut dilancarkan di wilayah Ukraine atau Rusia.
Lokasi pesawat malang itu terhempas terletak berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Bagaimanapun, katanya, penilaian risikan AS menunjukkan kemungkinan besar pejuang pemisah pro-Rusia atau tentera Rusia sendiri yang melancarkan peluru berpandu itu.
Sementara itu, seorang pegawai Ukraine, Anton Gerashenko dalam laman Facebooknya memberitahu pesawat MH17 terbang pada ketinggian 10,000 meter sebelum ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dilancarkan dari pelancar Buk buatan Rusia.
Para pegawai AS sebelum ini percaya Rusia membekalkan sejumlah senjata berat kepada pejuang pemisah Ukraine sejak beberapa bulan lalu termasuk sistem peluru berpandu antipesawat yang boleh dilancarkan di atas bahu.
Rusia juga dipercayai membekalkan pejuang pemisah dengan senjata berat lain termasuk sistem pelancar roket, kereta kebal dan kereta perisai.
Namun, AS tidak dapat memastikan sama ada sistem pertahanan udara Buk yang beroperasi di atas sebuah trak turut dibekalkan kepada kumpulan pejuang pemisah.
Dalam pada itu di Moscow, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyalahkan kerajaan Ukraine yang gagal membawa keamanan di wilayah negara itu sebagai punca pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh kelmarin.
Bagaimanapun, Putin tidak membuat sebarang penafian bahawa pejuang pemisah Ukraine yang disokong Moscow bertanggungjawab menembak pesawat malang tersebut yang menyebabkan 283 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh.
"Tragedi ini tidak akan berlaku sekiranya Ukraine berada dalam keadaan aman dan tiada tindakan ketenteraan di tenggara negara itu.
"Negara itu harus dipertanggungjawabkan kerana tragedi yang menyedihkan ini berlaku di wilayah mereka," katanya yang dipetik agensi berita Ria Novosti.
Putin mengarahkan para pegawai tentera negara itu memberikan segala bantuan yang diperlukan bagi mencari pihak yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Kremlin dalam satu lagi kenyataan memberitahu, Putin menuntut satu siasatan yang telus dan adil bagi mencari punca kejadian tersebut. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz37reDuw7x
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment