|
KIEV - Seorang komander pejuang pemisah Ukraine, Igor Strelkov dan seorang lagi pemimpin pejuang pemisah, Alexander Borodai yang melantik dirinya sebagai Perdana Menteri Donetsk dikaitkan sebagai individu yang bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di ruang udara negara itu kelmarin.
Strelkov yang mendakwa sebagai Menteri Pertahanan Donetsk didapati memuat naik satu mesej di laman Facebook yang mendakwa, dia menembak sebuah pesawat tentera beberapa minit sebelum berita berhubung pesawat MH17 terhempas tersebar.
"Kami telah memberi amaran jangan terbang di ruang udara kami," katanya.
Dalam laman sosial berkenaan, Strelkov memberitahu bahawa para pejuangnya menembak jatuh sebuah pesawat yang mereka percaya sebuah pesawat tentera jenis Antonov-26.
Strelkov juga mendakwa, mereka turut merakamkan detik pesawat itu terhempas di sebuah kawasan perlombongan berhampiran.
"Berhampiran Torez sekarang, sebuah pesawat An-26 berjaya ditembak.
"Tiada kerosakan pada kawasan kejiranan dan semua orang awam tidak cedera," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, mesej berkenaan segera dipadamkan selepas laporan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang membawa orang awam meletup di udara mula tersebar.
Seorang pakar ketenteraan Ukraine, Alexander Motyl berkata, mesej itu dihantar melalui akaun Facebook milik Strelkov.
"Mungkin dia beranggapan mereka menembak sebuah pesawat tentera," katanya.
Sementara itu, satu rakaman video yang diambil melalui telefon bimbit tersiar di internet dan dalam rakaman itu kedengaran suara beberapa pejuang pemisah ketawa ketika melihat pesawat berkenaan terhempas.
"Tengok kepulan asap itu," kata seorang lelaki ketika pesawat itu terbakar sejurus terhempas di bumi.
Satu suara dipercayai Strelkov atau nama sebenarnya Igor Girkin juga boleh didengari dalam video berkenaan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz37rdYkEcY
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment