Thursday, August 14, 2014

5 Exco diarah kosongkan pejabat



ABDUL KHALID menunjukkan surat perkenan Sultan Selangor berhubung pemecatan lima orang Exco Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat kelmarin diarahkan mengosongkan pejabat masing-masing dalam tempoh dua minggu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP dan dua daripada PKR itu sudah hilang kelayakan sebagai Exco selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan ke atas pemecatan mereka.
“Saya tidak mengarahkan mereka mengosongkan pejabat segera. Biasanya kita beri tempoh antara seminggu dan dua minggu.
“Namun, saya dimaklumkan, sekurang-kurangnya dua pejabat Exco terbabit telah dikosongkan sejak Ahad lalu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah empat Exco daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.
Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid mengesahkan Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan terhadap pemecatan lima Exco terbabit iaitu Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP serta Dr. Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong daripada PKR pukul 4 petang kelmarin.
Menurut Khalid, beliau telah memohon perkenan untuk memecat kesemua Exco terbabit melalui surat kepada baginda menerusi Istana Alam Shah, Klang pada pukul 2 petang kelmarin.
“Saya pohon perkenan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kesemua Exco itu dipecat sebaik sahaja mengetahui mereka membuat kenyataan bersama enggan mengakui kepimpinan saya dan mendesak keputusan MMKN dilakukan secara undian.
“Baginda membalas surat saya secara bertulis dua jam kemudian dan memberi perkenan serta tidak memberi halangan sekiranya Menteri Besar menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3AJiSUCKH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment