Thursday, August 14, 2014

Isu MB Selangor: 'Elak pilihan raya negeri'


2014/08/14 - 03:16:06

Kuala Terengganu: PAS menyokong kepemimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak mahu melihat kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu tumbang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapa Ali, berkata kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor akan menyebabkan pilihan raya perlu diadakan dan menjejaskan rakyat, lantas perkara itu paling penting untuk dielakkan.


Beliau berkata, sokongan PAS adalah terhadap kerajaan negeri dan bukan atas dasar peribadi Abdul Khalid.

Tak mahu susahkan rakyat

Sokongan kita kepada kerajaan negeri, bukan atas dasar peribadi. Sebab kita tidak mahu kerajaan tidak berfungsi, menyusahkan dan menjejaskan rakyat.

Kalau EXCO PAS tak beri sokongan kepada kerajaan negeri, tumbanglah kerajaan pakatan. Kita nak elakkan pilihan raya. Kita tak mahu itu terjadi, sebab itu kita beri sokongan, katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas sokongan empat EXCO PAS terhadap Menteri Besar Selangor, berbanding lima EXCO dari PKR dan DAP yang dipecat.
Abdul Khalid dilaporkan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan membatalkan pelantikan EXCO berkenaan dengan nasihat Menteri Besar, secara bertulis.

Sementara itu, ditanya mengenai tawaran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS sebagai Timbalan Menteri Besar jika bersetuju dengan pelantikan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam pertemuan kelmarin.

Mengulas mengenai kemungkinan pelantikan ADUN UMNO sebagai EXCO kerajaan negeri, Mustapa hanya menjawab ringkas bahawa PAS tidak akan bersetuju dan tidak akan menerima keadaan itu.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan laporan yang tersebar di laman sosial yang didakwa dipetik daripada laman web portal berita PAS, Harakah Daily, kononnya Abdul Khalid sudah menyerahkan borang penyertaannya sebagai ahli PAS semalam.

No comments:

Post a Comment