Thursday, August 14, 2014

Ukraine halang konvoi bantuan Rusia


Sebahagian konvoi bantuan Rusia ke Ukraine, melalui jalan di bandar Voronezh, Rusia, kelmarin. - REUTERS
MOSCOW 13 Ogos - Ukraine berikrar menghalang misi bantuan dari Rusia ke negara itu, ketika 262 buah trak dari Moscow dijangka tiba di sempadan negara itu hari ini, berikutan kebimbangan langkah tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.
Rusia berkata, konvoi kemanusiaan itu menimbulkan kebimbangan akan meningkatkan konflik di timur Ukraine yang menyaksikan beratus-ratus orang terbunuh sejak beberapa bulan lalu.
Jurucakap Jabatan Negara Ukraine, Marie Harf berkata, Rusia tidak mempunyai hak untuk memasuki negara itu, sama ada menyamar melalui penghantaran konvoi kemanusiaan atau atas alasan lain tanpa kebenaran Kiev.
"Pegawai Ukraine mempunyai rancangan yang telah diatur. Kami selesa dengan pelaksanaan rancangan ini. Kini, Rusia pula perlu memainkan peranannya," katanya.
Kiev berkata, trak-trak berkenaan perlu dihentikan di sempadan kedua-dua negara untuk memindahkan bekalan bantuan itu kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.
"Kami tidak akan membenarkan bantuan itu diiringi oleh pegawai Kementerian Situasi Kecemasan Rusia atau tentera mereka," kata Timbalan Ketua Pentadbiran Presiden, Valeriy Chalyy.
Konvoi kemanusiaan tersebut bertolak dari Moscow semalam dan membawa 2,000 tan bekalan kemanusiaan termasuk peralatan perubatan, makanan bayi dan peralatan tidur, lapor media Rusia.
Rusia mahu menghantar bantuan kemanusiaan ke timur Ukraine yang menyaksikan pertempuran sejak empat bulan lalu sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus serta kekurangan bekalan air dan makanan.
Dalam pada itu, pertempuran masih berlaku di timur Ukraine, menyebabkan enam askar Ukraine terbunuh dan 31 orang yang lain cedera dalam tempoh 24 jam lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140814/lu_05/Ukraine-halang-konvoi-bantuan-Rusia#ixzz3AJabUzxq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment