• Wan Azizah Wan Ismail Wan Azizah Wan Ismail

SUBANG JAYA - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dinasihat menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi di negara ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Abdul Khalid harus akur dengan cara melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ekoran sokongan majoriti oleh 30 Adun Selangor yang dibuat untuk menentang kabinet pentadbiran Abdul Khalid.

"Beliau (Abdul Khalid) seharusnya memudahkan proses peralihan kuasa secara tertib dan tidak membuat sebarang keputusan dasar atau pentadbiran setelah terbatalnya kelayakan beliau sebagai menteri besar.

"....Bagi menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi, beliau perlu segera meletakkan jawatan kerana beliau telah hilang sokongan majoriti," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada Adun Selangor mewakil PR untuk membuat kenyataan sokongan terbuka dalam mempertimbangkan pencalonannya sebagai Menteri Besar Selangor.

"Keutamaan saya ialah mengembalikan pentadbiran Selangor kepada PR agar segala perancangan dan dasar dapat dilaksanakan dengan cepat serta berkesan seperti mandat yang diberikan kepada rakyat," katanya lagi.

Justeru itu beliau meminta rakyat di Selangor supaya kekal bertenang dalam menghadapi perkembangan politik di negeri tersebut.