• Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan IsmailDatuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

SUBANG JAYA - Seramai 30 Adun Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Keputusan tersebut sekaligus menjadikan ia sebagai majoriti undi menentang kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini masih menyandang jawatan menteri besar di negeri ini.

Menurut Azizah dalam sidang media hari ini, majoriti Adun yang terdiri dari PKR, DAP dan Pas menyatakan sokongan mereka terhadapnya kerana telah hilang keyakinan terhadap pentadbiran yang dikemudi Abdul Khalid.

"Dengan ini saya mengumumkan 30 Adun PR menyatakan rasa hilang percaya kami kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Mereka juga menyatakan sokongan kepada saya untuk mengambil-alih tugas sebagai menteri besar di negeri ini.

"...Mereka sendiri hadir pada sidang media hari ini untuk nyatakan sokongan kepada saya,"  katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Abdul Khalid sebelum ini bertindak memecat lima anggota Exco Selangor selepas didapati tidak menyokong pentadbirannya.

Lima anggota Exco yang disahkan dipecat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor ialah Elizabeth Wong dan Dr Daroyah Alwi daripada PKR manakala Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP.

Manakala Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang berada di luar negara semasa proses pemecatan tersebut mengumumkan perletakan jawatannya sebaik mendarat di lapangan terbang, semalam.

Difahamkan, Exco Selangor dari PKR itu telah menghadiri sebuah kursus politik di Bangkok, Thailand ketika kegawatan politik berlaku di negeri ini.