ABDUL JALIL ALI
14 Ogos 2014
TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim, atau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Orang politik – tidak kira parti mana – mempunyai logik tersendiri mengenai siapa yang lebih layak menjadi Menteri Besar Selangor.
Siapa pun pilihan mereka, pasti dengan alasan juga fakta dan angka-angka. Seperti biasa alasan, fakta dan angka-angka orang politik selalunya teramat meyakinkan, walaupun tidak semestinya benar. Ada persepsi, ada reaksi, akhirnya semua ilusi.
Khalid berkata beliau mendapat perkenan istana untuk meneruskan tugas sebagai MB, sekurang-kurangnya sehingga November, kecuali jika ada perubahan lain. Beliau menegaskan masih mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.
Seperti dijelaskan yang empunya diri, berdasarkan Artikel 53(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, beliau berhak menasihati istana untuk melantik sekurang-kurangnya empat atau tidak lebih daripada 10 Adun sebagai Exco.
“Buat masa ini empat Exco kerajaan negeri daripada Pas sedia ada telah mengumumkan menerusi media menyokong kepemimpinan saya sebagai Menteri Besar,” kata Khalid.
Penentang Khalid pula menangkis dengan menegaskan MB yang baru disingkirkan dari partinya sendiri itu, sudah hilang majoriti. PKR dan DAP mencongak angka-angka yang jelas menunjukkan tiada majoriti lagi untuk Khalid.
Seperti yang dijelaskan dalam kenyataan bersama pegawai kanan dua parti berkenaan: “Khalid perlu memanggil sidang Dun Selangor untuk melakukan undi kepercayaan bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan daripada Adun Pas dan Umno.”
Sama juga halnya dengan ‘Kajang Move’ yang menjadi pemula kepada kemelut MB. Ada pihak kata ‘Move’ – sesetengah orang menyebutnya ‘Lipat Kajang’ – tersebut hanyalah taktik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan kerakusan kuasa.
Tetapi bagi yang memihak kepada ketua ‘de facto’ PKR itu, ‘Kajang Move’, ‘Lipat Kajang’, ‘Kajang Pak Malau’ atau apa sahaja sebutannya adalah strategi paling ampuh dalam usaha PR untuk mengambil alih Putrajaya daripada BN.
Pendek kata bagi orang politik, khasnya kepimpinan tertinggi – juga pihak yang berkepentingan – mereka akan melakukan apa sahaja yang nampak munasabah bagi mencapai atau mengekalkan ‘status quo’, dan selalu bersedia menghadapi tikam belakang, cakar belakang, main belakang, sesama sendiri.
Apabila gajah sama gajah bertarung, siapa yang akan mati tersepit di tengah-tengah, kalau bukan sang pelanduk? Bagi rakyat terbanyak di Selangor, mereka bukan mengikuti sangat kemelut politik yang melanda.
Mereka lebih tertumpu pada usaha harian untuk meneruskan hidup – mencari makan untuk anak-isteri, memikirkan tambang bas sekolah, kenaikan harga ikan kembung, dan seribu satu macam masalah. Mereka tidak kisah pun Wan Azizah atau Khalid.
Rakyat khasnya pengundi Selangor sebenarnya sudah terlalu muak dengan hubaya-hubaya politik yang entah apa-apa. Sejak dua PRU lalu apabila tsunami politik membawa kepimpinan baharu di Selangor, geram dan percakaran politik tidak pernah reda.
Lima tahun setelah PRU12 rakyat melihat serang-menyerang tidak henti-henti, termasuk hal-hal dalam kain, antara PR dan BN. Masing-masing salah menyalahkan, saling mendedahkan, saling membuka pekung. Masa banyak dihabiskan untuk politiking, hinggakan kepentingan rakyat diabaikan.
Beberapa contoh paling jelas:Sana-sini orang mengeluh sistem pungutan sampah – domestik dan pukal – sudah tidak terurus, lintang-pukang. Penghuni di kawasan-kawasan perumahan rakyat, juga perumahan mewah, hidup dalam timbunan sampah. Busuk sepanjang masa sebab sampah tidak dipungut mengikut jadual.
Kesan pungutan sampah tidak menentu ialah longkang tersumbat sana-sini, air bertakung, dan aedes membiak. Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan, Selangor adalah negeri paling teruk kes demam denggi – 4,589 kes, tujuh kematian, sejak Januari hingga Julai.
Kemelut air masih tidak nampak tanda-tanda akan berakhir. Musim raya pun paip tidak berair. Sudahlah persekitaran busuk kerana sampah tidak dipungut, tidak dapat mandi pula sebab air selalu dicatu. Seksanya rakyat!
Sana-sini tumbuh pusat-pusat pelacuran dan judi haram. Rumah urut dan pusat hiburan haram sama banyak dengan kedai kopi. Semua ini membiakkan lagi masalah sosial yang memang sedia kronik.
Dulu maki-hamun politik tercetus oleh BN dan PR. Akhir-akhirnya sesama PR pun saling bercakaran. Masing-masing sibuk merebut kuasa, hal-hal rakyat terus diketepikan. Rakyat Selangor sudah bosan dan meluat. Hentikanlah segera hubaya-hubaya politik haprak ini!
No comments:
Post a Comment