Saturday, August 23, 2014

Jokowi kini tiada halangan dilantik Presiden Indonesia



AFP
JOKOWI meneliti dokumen untuk ditandatanganinya di pejabatnya di Jakarta pada 19 Ogos lalu.


JAKARTA - Gabenor Jakarta, Joko 'Jokowi' Widodo kini boleh mengatur strategi melaksanakan agenda pembaharuan Indonesia selepas Mahkamah Perlembagaan mengekalkan kemenangannya pada pilihan raya Presiden sekali gus menolak dakwaan berlaku penipuan undi oleh pencabarnya, Prabowo Subianto.
Bercakap kepada agensi berita AFP di sini, beliau menggariskan matlamat untuk menarik lebih banyak pelaburan asing serta membangkitkan semula semangat bagi menentang amalan rasuah.
Walaupun akan memegang jawatan sebagai lelaki paling berkuasa di Indonesia, Jokowi menegaskan bahawa beliau masih manusia biasa untuk melaksanakan pentadbiran kerajaan.
"Pada setiap hari, saya masih turun padang dan menemui orang ramai. Adalah sangat penting bagi kita mendengar pandangan orang ramai," katanya dengan lemah-lembut.
"Orang ramai memberi kita mandat untuk melakukan tadbir urus," tambah beliau yang memakai baju batik iaitu pakaian tradisional Indonesia.
Imej Jokowi yang gemar turun padang dan sering mengadakan lawatan bagi meninjau masalah rakyat meningkatkan lagi populariti beliau sebagai Gabenor Jakarta.
Beliau akan meneruskan tugas tersebut sehingga Oktober depan sebelum pelantikan rasminya sebagai Presiden baharu Indonesia.
Gaya hidup serta latar belakang beliau sebagai ahli perniagaan yang mengeksport perabot telah memecahkan tradisi dunia politik Indonesia yang sebelum ini dikuasai oleh golongan elit tentera.
Bermula daripada rakyat biasa yang dibesarkan di pondok buluh di Pulau Jawa, kerjaya politik beliau kemudian semakin meningkat naik dalam politik tempatan.
Pada bulan lalu, beliau terpilih sebagai Presiden Indonesia selepas berdepan saingan sengit pencabarnya, Prabowo yang merupakan bekas jeneral tentera dan mempunyai hubungan yang kuat dengan pemerintah autokratik sebelum ini.
Keputusan rasmi pilihan raya Presiden sebelum ini menunjukkan bahawa Jokowi telah memenangi jawatan itu.
Namun, Prabowo telah bertindak mencabarnya di mahkamah.
Pada pilihan raya bulan lalu, Jokowi meraih lebih 80.5 juta undi atau lebih 53 peratus berbanding Prabowo yang menerima 62.2 juta undi atau 46.8 peratus.
Sekitar 190 juta pengundi keluar membuang undi pada pilihan raya Presiden di Indonesia.
Mahkamah Perlembagaan kelmarin memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu sah dan Jokowi kini bersiap sedia mengambil alih jawatan itu daripada Susilo Bambang Yudhoyono.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3BAJgwG6N 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment