SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan membincangkan terlebih dahulu permintaan Dewan Muslimat Pas yang mahu kerusi Dun Pengkalan Kubor dikembalikan kepada Pas selepas dua penggal ia gagal dimenangi calon PKR.

Untuk itu, Anwar berkata, PKR akan menghantar Timbalan Presidennya, Mohammed Azmin Ali bagi mengadakan perbincangan lanjut.

"Kita (PKR) serah pada YB Azmin, Azmin yang akan bincang.

"Memang kerusi itu tradisinya milik PKR, tetapi apabila ianya telah dibangkitkan oleh Pas, cara kita adalah adakan perbincangan," katanya kepada pemberita pada Kongres PKR, di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian bagi mengulas permintaan Ketua Dewan  Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof yang berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini mungkin sudah tiba masanya corak politik di Dun Pengkalan Kubor diberikan nafas baharu.

“Setelah beberapa penggal sebelum ini kita telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tetapi tidak diberi kemenangan. Bermakna rakyat perlukan selera baharu.

“Pas perlu mengisi tempat itu (Dun Pengkalan Kubor) kerana paling penting adalah untuk mencapai kemenangan dan saya berharap perkara ini dipertimbangkan pihak atasan,” ujar Siti Zailah.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang ditemui media berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin bersama pimpinan PKR Kelantan dan Pusat untuk mendapatkan maklum balas sebelum perkara itu dibawa ke peringkat tertinggi untuk diputuskan PR.

"Buat masa ini kita tidak mahu buat sebarang spekulasi kerana masih dalam proses perbincangan.

"Mengikut tradisi, kerusi Pengkalan Kubor diwakili PKR untuk dua penggal iaitu pada 2008 dan 2013. Sudah tentu ada permintaan untuk mengekalkan kerusi ini,"katanya.

Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada PKR akan terus mengekalkan kerusi Pengkalan Kubor kerana Kongres Nasional PKR masih berlangsung.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser Rabu lalu.

Pengkalan Kubor terletak di bawah Parlimen Tumpat yang mempunyai lima Dun di bawahnya. Empat daripada Dun berkenaan dimenangi oleh Pas pada PRU13.