Saturday, August 23, 2014

Perwakilan luah rasa tak puas hati proses pemilihan

SABTU, 23 OGOS 2014 @ 8:33 AM

Oleh Norakmah Mat Youb Dan Muhammad Yusri Muzamir
KERUSI yang disediakan untuk tetamu kongres PKR di ruang tengah Stadium Malawati Shah Alam kelihatan kosong, semalam.
 
bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2014 semalam, menjadi medan luahan tidak puas hati dan kemarahan perwakilan terhadap proses pemilihan parti itu yang berakhir awal bulan ini.

Perwakilan mendakwa wujud budaya tidak sihat sepanjang pemilihan berlangsung termasuk amalan politik wang, penipuan, penyelewengan dan pengkhianatan.

Timbalan Ketua Cabang Kubang Kerian, Norhanazalmah Mat Yusoff, mendakwa berlaku penyelewengan dan pengkhianatan pada pemilihan cabang itu.

Tukar tanpa pengetahuan

Norhanazalmah yang juga Ketua Wanita Cabang itu, berkata beliau dan ahli keluarganya ditukarkan ke Cabang Bachok tanpa pengetahuan semata-mata untuk menghalangnya bertanding di Cabang Kubang Kerian.

Katanya, lawannya bersubahat dengan pimpinan negeri menggunakan kabel pimpinan pusat.

"Perbuatan licik ini diberikan sokongan oleh segelintir pimpinan pusat. Perbuatan bodoh ini seharusnya tidak berlaku dalam kalangan pimpinan pusat kerana mereka adalah orang yang pandai membezakan baik buruk.

"Berani saya katakan bahawa kamulah orang yang akan merosakkan parti ini kelak kerana ingin menyingkirkan orang seperti saya," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita PKR pada kongres itu di Stadium Malawati di sini, semalam.

Perwakilan dari Kedah, Noraini Ahmad, berkata pemilihan parti itu memperlihatkan banyak penipuan termasuk ahli membeli undi, selain proses pengundian yang memakan masa lama.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita PKR Kedah, berkata jika parti belum bersedia, sewajarnya sistem pemilihan beralih kepada kaedah lama.

"Sepanjang pemilihan berlangsung, kita dapat melihat perpecahan dalam kalangan wanita dan ini sangat menyedihkan," katanya.

Budaya fitnah, caci

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika menyampaikan ucapan dasar, kecewa kerana budaya memfitnah dan mencaci sesama sendiri berleluasa sepanjang proses pemilihan parti.

"Saya kecewa kerana ketika berkempen ada yang memfitnah satu sama lain. Sepatutnya kita harus menghindar politik durjana yang mengejar jawatan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan tertinggi parti akan mengkaji dan merombak semula sistem pemilihan bagi memastikan setiap undi mempunyai nilai yang tinggi.

Zuraidah turut menegur ketua wanita cabang yang gagal mengadakan mesyuarat agung walaupun proses pemilihan sudah selesai.

"Kita mempunyai 150 cabang tetapi hanya 110 cabang yang mengadakan mesyuarat. Apa jadi dengan 40 yang lain?," katanya.

Justeru, katanya, satu peruntukan dalam perlembagaan parti akan digubal bagi membolehkan ketua cabang yang gagal mengadakan dan menghadiri mesyuarat dikenakan tindakan disiplin.

No comments:

Post a Comment