Wednesday, August 20, 2014

Melihat keunikan keputusan 17 Ogos, mungkinkah Dun bubar?


WAN NORDIN WAN YAACOB | .

TANGGAL 17 Ogos 2014 telah berlalu.Tarikh yang penuh mendebarkan untuk rakyat, ahli PAS dan pendukung Pakatan Rakyat melihat bagaimana PAS merentasi  polemik isu penggantian Menteri Besar Selangor yang berlarutan sejak Ramadan lagi.

Tanggal 17 Ogos yang lalu menjadi satu tarikh yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia bahkan antarabangsa dengan pelbagai persepsi dilayangkan bahawa dalam hal ini PAS lambat bertindak.

Tidak kurang melihat PAS seolah-olah membiarkan sahaja apa yang berlaku untuk tidak diatasi segera. Namun bagi PAS sebagaimana Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat ia merupakan salah satu 'historical moment' dalam sejarah panjangnya di pentas politik tanah air.

Keputusan telahpun dicapai. Semua orang sudah tahu. Yang penting adalah dinamika yang berlaku dalam PAS sepanjang berinteraksi dengan isu ini adalah pengalaman yang amat berharga khususnya dalam menilai pelbagai aliran pandangan dan menguruskan krisis yang sejenak berlaku.

Tidak terbayang dek fikiran bahawa PAS akan datang dengan keputusan 'chek mate' dengan menamakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Azmin Ali sebagai calon MB kerana bagi mata umum, PAS sebelumnya konsisten menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagaimana beberapa kenyataan sebelumnya.

Perkiraan Umno-BN pula mahu melihat PAS konsisten menyokong Khalid Ibrahim seperti yang direntakkan Umno apatah lagi ada tangan-tangan hitam yang sedang berwayang di belakang tubuh Khalid untuk terus bertahan dan bertahan walau selepas dipecat partinya.

Biarpun media Umno-BN melihat ia satu pusingan-u, namun dinamika PAS dalam meredah isu sepenting ini agar menjaga Tahaluf Siyasi yang dibina dengan pengesahan dalam tiga Muktamar PAS kebelakangan ini membayangkan betapa PAS selaku 'Abang Sulung' memiliki jiwa yang sangat demokrasi dan bertanggungjawab.

Hatta jika PAS berpendirian kekal bersama Khalid sekalipun, pastinya tahaluf yang dibina tidak akan diputuskan begitu sahaja untuk bercerai talak tiga dengan Pakatan Rakyat kerana dalam saranan Majlis Syura Ulama PAS telah mengingatkan bahawa PAS kekal bersama Pakatan Rakyat.

Inilah uniknya PAS, setiap keputusan dibawa ke meja perbincangan dan ada 'guide line' yang memberi sedikit panduan untuk kepimpinan meneroka isu yang sedang dan telah dihadapi dengan baik.

Bak kata Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, keputusan ini juga menggambarkan bahawa Presiden parti, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seorang yang sangat demokrasi dalam membuat dan menyatakan keputusan.

Lihat sahaja bagaimana Presiden PAS melayarkan majlis mesyuarat yang penuh mendebarkan dan penuh 'sangkaan' sebelumnya, dan datang dengan satu keputusan yang akhirnya meredakan ketegangan semua pihak.

Biarpun masih ada yang 'kurang setuju' dengan keputusan ini, namun PAS terus utuh bersama kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang memiliki sikap dan sifat kepimpinan serta kepemimpinan.

Buat masa ini Umno boleh sahaja 'gigit jari' dengan keputusan ini, namun harus diingatkan juga bahawa Umno boleh juga menggunakan 'remote' nya untuk mengheret permainan hingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

Apapun, ahli dan rakyat sudah mula dapat menilai kematangan PAS membelah badai demokrasi untuk sekali lagi menjadi Abang Sulung yang sangat bertanggungjawab dalam memerhatikan saudara mara dalam Pakatan Rakyat tidak terus terbadai dek ombak ganas ciptaan Umno-BN.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor yang bakal berjalan selepas kematian Allahyarham Dato' Noor Zahidi Omar awal pagi tadi boleh menjadi satu kayu ukur kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam merintis semula jalan yang berlubang serta berlopak sebelum ini untuk teguh bersama panji menentang kezaliman.

Dun Pengkalan Kubor adalah kawasan yang ditandingi PKR, dan kemudiannya Parlimen Tumpat yang memayungi kawasan ini adalah kerusi di bawah PAS. Ini keunikan yang harus digunakan sebaiknya dalam merencana satu semangat bersama semula agar tidak lagi ada tuding-menuding yang mewajarkan perpecahan berlaku.

Di pihak PKR pula, harus ada satu sikap menghormati 'Abang Sulung' dalam membuat sebarang keputusan yang akhirnya akan membabitkan ketiga-tiga parti untuk disepakati. Pengajaran kes MB Selangor adalah 'ladang terbaik' buat semua pemimpin dalam Pakatan Rakyat untuk meneladaninya.

BN sedang bergoyang sakan, Umno sedang retak akibat serangan Tun Mahathir Mohamad ke atas Dato' Seri Najib Tun Razak, peluang sebaik ini harus diambil kesempatan untuk Pakatan Rakyat terus membawa aspirasi rakyat.

Sama-sama kita semua mengambil iktibar dalam menjiwai semangat Tanggal 17 Ogos 2014...

Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat usah ragu dan curiga dengan PAS, rakyat pula harus terus bersemangat untuk mendepani isu-isu politik yang akan menjadi tiang seri hidup di bumi Malaysia ini. –HARAKAHDAILY 20/8/2014

No comments:

Post a Comment