Wednesday, August 20, 2014

Menteri puji sikap ahli parlimen PAS


HARAKAHDAILY | .

SEPANG: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz memuji sikap Ahli Parlimen PAS Sepang Mohamed Hanipa Maidin yang menurutnya, sering membangkitkan isu penumpuan industri pelancongan di Sepang.

Selain Hanipa, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang juga aktif membangkitkan hal itu di Dewan Rakyat.

"Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapakan terima kasih pada Ahli Parlimen Sepang dan juga Ahli Parlimen Seputeh kerana banyak kali membangkitkan di Parlimen tentang isu pelancongan di Sepang dan mereka berdua banyak kali meminta saya membuat lawatan ke  Sepang bagi melihat sendiri tempat tempat menarik di sini yang perlu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap di Avani Gold Coast semalam ketika membuat lawatan sehari ke sini bagi meninjau dan melihat sendiri kawasan-kawasan yang menarik untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

Dalam ucapannya, beliau juga mengucapakan terima kasih kepada pihak Avani Gold Coast khususnya kepada Bapak Yanki yang telah melabur wang yang begitu banyak bagi memajukan Gold Coast sebagai destinasi pelancongan.

Beliau turut berjanji bahawa pihak Kementeriannya akan memberi sokongan padu untuk Kerajaan memperuntukkan belanjawan yang mencukupi dalam Rancangan Malaysia ke 11 nanti bagi memajukan Sepang sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia kerana lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, ketika perbahasan di Dewan Rakyat, Hanipa telah beberapa kali meminta Kerajaan memberikan tumpuan yang lebih kepada Sepang sebagai destinasi pelancongan kerana Sepang adalah pintu masuk utama para pelancong ke negara ini .

Beliau juga menegaskan banyak destinasi menarik dan produk-produk pelancongan di Sepang masih belum dibangunkan secara pesat meskipun ada destinasi pelancongan di situ yang menarik masyarakat antarabangsa seperti pesta sukan perahu layar antarabangsa di Batu Laut yang diadakan setiap tahun.

Beliau juga meminta pihak Kerajaan dapat menaik taraf jalanraya di Sepang khususnya jalan jalan utama ke destinasi pelancongan di Sepang.

Turut hadir dalam lawatan sehari menteri itu adalah wakil kerajaan Selangor dari Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Datuk Roslan, Teresa dan Adun Sg Pelek.

- HARAKAHDAILY 20/8/2014

No comments:

Post a Comment