Wednesday, August 20, 2014

28 rakyat Malaysia dikenal pasti



ATAS: Hishamuddin (tengah), Rohani (paling kiri) dan Tiong Lai (paling kanan) pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat kepada editor kanan media berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 28 daripada 43 mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 warga Malaysia telah dikenal pasti setakat semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu, 15 merupakan penumpang manakala 13 yang lain adalah anak kapal.
Jumlah 28 jenazah itu melibatkan 14 orang Islam dan 14 lagi bukan Islam.
"Pada Jumaat ini, saya boleh sahkan jenazah yang terlibat adalah 15 (warga Malaysia) campur satu (warga Belanda) akan dibawa pulang (ke Malaysia), tetapi ada kemungkinan bertambah dan ini akan dapat disahkan esok (hari ini)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat kepada editor kanan media berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di sini semalam.

KANAN: Anggota ATM mengusung keranda yang diturunkan dari pesawat semasa melakukan raptai persediaan menerima jenazah mangsa nahas MH17 di KLIA kelmarin.


Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, istiadat pada Jumaat ini merupakan istiadat pengebumian pertama yang dikelolakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan jenazah orang awam.
Beliau menjelaskan, istiadat penghormatan seumpama itu biasanya diberikan hanya kepada pemimpin dan perwira negara.
"Istiadat ini memperlihatkan peranan ATM buat julung kalinya terlibat secara langsung dalam memberi penghormatan kepada rakyat biasa. Saya percaya kami dapat melakukan yang terbaik. Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dibuat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3AsmD1j2q 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment