Wednesday, August 20, 2014

Pengasas WikiLeaks mahu jaminan tidak diekstradisi ke AS





SYDNEY - Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange (gambar) tidak akan meninggalkan kawasan kedutaan Ecuador di London sehingga menerima jaminan bahawa dia tidak akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), kata peguamnya.
Peguamnya, Jennifer Robinson, menegaskan masalah kesihatan Assange turut memberi impak kepada lelaki berusia 43 tahun itu selepas hampir dua tahun terpaksa tinggal di kediaman kedutaan.
"Beliau (Assange) akan dibenarkan pulang sebaik sahaja pihak kedutaan memberi kebenaran, namun masalah suaka politik kemungkinan menyebabkan dia dihantar ke AS.
"Perkara itu masih belum berlaku," kata Robinson.
Assange yang merupakan seorang warganegara Australia berlindung di kedutaan tersebut sejak Jun 2012 bagi mengelakkan dirinya dihantar ke Sweden kerana berdepan dengan tuduhan merogol dan serangan seksual.
Tuduhan itu telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Assange.
Perkara itu dibimbangi Assange kerana sekiranya dia dihantar ke Sweden, pihak Sweden akan menghantarnya ke AS kerana dikatakan bertanggungjawab mendedahkan dokumen-dokumen rahsia tentera AS.
"Pihak kami akan meminta jaminan agar Assange tidak akan dihantar balik ke AS kerana perkara itu menjadi masalah utama kepadanya," tambah Robinson.
Peguam itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci keadaan kesihatan Assange yang dikatakan mengalami masalah paru-paru dan jantung kerana dia menolak untuk dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan lanjut kerana bimbang akan ditangkap. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3AskdBBli 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment