Makkah: Sebanyak 18 syarikat bersiap sedia mengangkut 1.39 juta jemaah yang dijangka berada di bandar suci untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
Syarikat berkenaan akan menggunakan 19,000 bas, termasuk 452 yang baru dibeli dengan harga lebih SR200 juta (RM168 juta).
Selain berhawa dingin, bas baru itu juga dilengkapi tandas.
Menteri Haji, Bandar Hajjar diberitahu mengenai perkara itu ketika melancarkan unit operasi khas yang bertanggungjawab mengawal pergerakan lalu lintas menghala ke Makkah, Madinah dan Jeddah.
Sementara itu, persatuan syarikat bas Saudi menggesa kerajaan tidak menyewa bas negara luar tahun ini seperti musim haji lalu memandangkan kenderaan yang ada sudah mencukupi.
Bercakap kepada wartawan, Bandar berkata, musim umrah tahun ini berjaya dan enam juta jemaah dari luar negara sepanjang musim itu yang berakhir minggu lalu sudah pulang, kecuali 13,000 yang masih mengatur perjalanan pulang mereka.
Mengenai wabak Ebola, Bandar berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Hal Ehwal Luar bagi memastikan virus itu tidak merebak. Jemaah dari tiga negara barat Afrika - Guinea, Sierra Leone dan Liberia - dilarang menunaikan haji tahun ini.
“Kami akan memastikan semua jemaah selamat,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/20
No comments:
Post a Comment