Wednesday, August 20, 2014

Australia-Indonesia jalin kerjasama pertahanan


Penunjuk perasaan membakar gambar bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebagai membantah tindakan Canberra mengintip pemimpin Indonesia di luar Kedutaan Australia di Jakarta pada 26 November tahun lalu. - AGENSI
SYDNEY 19 Ogos - Australia dan Indonesia bersetuju mengenepikan pertikaian berhubung isu pengintipan yang mengeruhkan hubungan kedua-dua negara dengan membuka laluan untuk kerjasama pertahanan penuh.
"Kami telah mencapai persetujuan dalam isu pemahaman bersama dan kami sedang mengatur masa untuk menandatanganinya," kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop kepada Fairfax Media, hari ini.
Menurut Bishop, perjanjian itu akan ditandatangani di Indonesia oleh Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa, disaksikan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Bishop berkata, perjanjian itu merupakan komitmen dua negara untuk menghormati kedaulatan antara satu sama lain dan tidak membahayakan kepentingan bersama'.
"Ini bermakna, kami tidak akan menggunakan sumber risikan untuk membahayakan kepentingan Indonesia," katanya.
Hubungan antara dua negara itu merosot ke peringkat terendah pada November tahun lalu selepas satu laporan menyatakan agensi risikan Australia cuba mengintip perbualan Susilo dan orang kanannya pada 2009.
Selain Susilo, isteri beliau, Ani; bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla; jurucakap hal ehwal luar, menteri keselamatan dan penerangan turut menjadi sasaran agensi risikan elektronik Australia semasa pentadbiran Kevin Rudd sebagai Perdana Menteri.
Jakarta yang berang dengan laporan itu menggantung kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang utama. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140820/lu_05/Australia-Indonesia-jalin-kerjasama-pertahanan#ixzz3Asdv0qNi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment