Friday, August 22, 2014

Pengorbanan isteri setulus hati


MUHAMAD MAT YAKIM
22 Ogos 2014


YA, ia mungkin cerita biasa bagi kebanyakan orang namun pada diri saya, ketulusannya begitu dirasa. Kerana itu, pengakuan yang ringkas ini begitu menyentuh hati hingga mempengaruhi saya untuk memberi penghormatan kepada si empunya cerita. Ia adalah catatan seorang isteri di Facebook beberapa hari lalu.

Ini kisahnya:  “Sudah hampir dua minggu bercuti untuk jaga suami yang sakit. Melayan kerenah suami dan anak yang sakit agak berbeza. Anak yang sakit lebih banyak tidur dan berkurung dalam bilik.

Makan apa pun tak mahu, jenuh fikir nak masak apa supaya mereka terbuka selera untuk makan. Tetapi apabila suami yang sakit, manjanya mengalahkan budak-budak.

“Macam-macam dia nak makan. Kadang-kadang terasa penat juga masuk dapur tetapi sayang punya fasal, ikut saja. Cuma satu perkara tentang dia yang saya sangat suka ialah apabila masakan saya menepati selera dia, dia tak lokek memuji dan akan makan berulang kali.

“Kalau masakan tak menjadi, dia tak pula kutuk, malah akan ‘repair’ balik dan akan tetap habiskannya. Yang pasti, cukup bulan ini, poket sayalah pula yang sakit sebab ambil cuti tanpa gaji.”

Ringkas tetapi mencetus bermacam-macam rasa, meresap jauh ke dalam jiwa.

Sebaik membaca catatan ini, hati saya segera mengingati isteri. Ya, untuk saya, pengorbanan isteri juga tidak kurang. Walaupun saya tidaklah pernah terlantar sakit hingga masuk wad - moga dijauhkan ALLAH - apa dilakukan isteri setiap hari, bekerja dan pada masa sama mengurus rumah tangga, itu juga pengorbanan besar namanya.

Saya bukan mahu 'angkat' isteri sendiri tetapi untuk kita semua berkongsi rasa, menghargai dan menghormati mereka yang begitu penting di sisi kita.

Jika kita – suami – terpaksa ambil alih kerja buat isteri di rumah selepas balik kerja, agaknya berapa lama kita mampu bertahan?

Saya yakin, ramai yang seperti saya, kelu untuk menjawab soalan itu. Seperti juga saya dan rakan-rakan lelaki sekelas yang kelu selepas ditanya oleh pensyarah kami bulan puasa lalu: “Siapa yang pernah bangun masak untuk sahur?”

Kami semua terdiam, tiada siapa pun yang berani jawab soalan mudah itu.

Bukan kerana tidak tahu jawab, tetapi ....

Akhirnya, dia sendiri yang menjawab, “saya tiap-tiap hari (masak untuk sahur) ketika saya ada di rumah, kecuali jika outstation. Lepas selesai masak, baru saya kejut isteri dan anak-anak...”

Bunyi jawapannya berasa macam tidak mahu percaya tetapi mengenali pensyarah saya itu, saya yakin pengakuannya.

Katanya lagi, sejak mula berkahwin, dia dan isterinya memang ada persefahaman bahawa tugas memasak bukan hanya urusan si isteri.

Sejak itu, untuk sarapan, si suami yang sediakan. Bukan sahaja sarapan bahkan juga bekal untuk anak-anak ke sekolah. Tengah hari, makan di luar. Untuk makan malam, isteri pula sediakan.

Bagi saya, pasangan ini melayari rumah tangga dengan cara istimewa. Pasti ramai anggap si isteri sangat bertuah dan mengidam mahukan suami begitu tetapi ...

Apa yang dibuat, tidaklah susah mana. Tetapi itulah yang membezakan si suami dengan ramai lelaki lain, termasuk saya. Dan itulah juga yang menjadikan rumah tangga mereka begitu istimewa.

Saya sendiri sejak dengar cerita pensyarah saya itu, berazam mahu jadi seperti dia. Sudah hampir dua bulan, azam masih kekal azam, belum pun dimulakan.

Saya yakin, masuk dapur bagi wanita adalah perkara yang sangat utama. Mereka akan jadi orang yang paling bahagia di dunia jika suami, sanggup masuk dapur ambil alih sebahagian tugas mereka, tidak kiralah sama ada secara bergilir ataupun tidak.

Namun ramai juga yang anggap itulah tugas hakiki mereka. Tidak kiralah penat bagaimana sekalipun mereka bekerja seharian mencari rezeki di luar rumah, urusan dapur tetap digagahi juga.

Wanita memang luar biasa. Saya pernah hadapi kompelin  wanita sendiri kerana menulis kritikan kepada lelaki yang membiarkan isteri sendirian di dapur pada bulan puasa sedangkan dia bersenang lenang tonton  TV.

 Kata wanita itu, mengapa ditegur sedangkan kerja dapur memang tanggungjawab isteri?

Sungguh luar biasa isteri yang seperti ini. Saya tidaklah sampai minta suami ambil alih kesemua kerja isteri di dapur, cukuplah sekadar melakukannya bersama-sama.

Mengapa hal lain boleh bersama-sama sedangkan urusan dapur diserah bulat-bulat kepada isteri?

Kalau isteri sudah ambil sebahagian tanggungjawab kita cari rezeki, kita juga perlulah ambil sebahagian tanggungjawab mereka. Kerja dapur bukan lagi urusan hakiki isteri pada zaman ini seperti juga cari rezeki bukan semata-mata dilakukan oleh suami.

No comments:

Post a Comment