Friday, August 22, 2014

Rizab tenaga merosot ke paras mencemaskan

JUMAAT, 22 OGOS 2014 @ 11:05 AM
Turbin gas bagi Stesen Janakuasa Segari di Lumut, Perak.
 
KUALA LUMPUR: Rizab tenaga Malaysia sudah merosot ke paras yang mencemaskan dan kerajaan wajar mempertimbangkan keadaan ini dengan serius, kata penganalisis.

Mengikut kalangan penganalisis, satu daripada langkah yang boleh diambil oleh kerajaan ialah menggantikan segera beberapa loji tenaga yang sudah uzur, dan jika langkah ini gagal diambil, loji berkenaan akan menjadi beban kepada rizab tenaga dalam tempoh 48 bulan akan datang.

Ia juga boleh menjejaskan visi dan misi negara ini untuk menjadi negara dunia pertama menjelang 2020, kata mereka.

Ketua Unit Penyelidikan di Mercury Securities, Edmund Tham, berkata tenaga elektrik adalah satu daripada komponen yang memacu industri pembuatan dan perkhidmatan dunia.

"Krisis tenaga akan melembapkan enjin pertumbuhan, manakala krisis tenaga yang berpanjangan boleh menyebabkan pelabur berpindah ke tempat lain," katanya.

Penganalisis di CIMB Investment Bank, Faisal Syed Ahmad, berkata rizab tenaga akan susut sebanyak 10 peratus dalam tempoh itu jika kerajaan tidak berbuat sesuatu dalam empat tahun akan datang untuk meningkatkan pengeluaran.

"Grid (kebangsaan) mungkin mempunyai margin rizab yang lebih rendah daripada dijangkakan dan ini mungkin meningkatkan risiko terputusnya bekalan.

"Disebabkan terputusnya bekalan ini, margin rizab boleh susut sebanyak 10 peratus berbanding kira-kira 31 peratus, dengan mengandaikan kedua-dua loji kuasa tidak menghadapi masalah," tulis beliau dalam laporannya mengenai sektor kuasa negara dua bulan lalu.

Ketua Penyelidikan Runcit Maybank Investment Bank, Tee Sze Chiah, berkata permintaan elektrik Malaysia dijangka meningkat sebanyak tiga hingga empat peratus setahun, hampir-hampir mencerminkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dari 2000 hingga 2013 pada kadar kira-kira 4.4 peratus.

"Permintaan bagi tenaga tidak terhad kepada Malaysia sahaja, ia berlaku di mana-mana di dunia, tetapi dalam kes Malaysia wujud keperluan untuk menggantikan loji-loji yang sudah berusia dengan segera," tegasnya.

Pada 2012, ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika itu, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata permintaan bagi tenaga elektrik melebihi bekalan, dan beberapa industri tidak mendapat bekalan yang diperlukan.

"Rancangan yang rapi perlu dibuat bagi pembangunan sistem kuasa," beliau dilaporkan berkata pada satu forum bertajuk 'Adakah Tenaga Nuklear Satu Pilihan Bagi Malaysia'.

Ketika ini, TNB adalah pembekal terbesar tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, manakala Sabah Electricity Sdn Bhd dan Sarawak Electricity Supply Corp masing-masing pembekal bagi Sabah dan Sarawak.

Sumbangan tenaga juga disokong oleh beberapa penjana tenaga bebas (IPP). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment