Friday, August 22, 2014

52 terbunuh pertempuran di Ukraine


TENTERA Ukraine menangkap anggota pemberontak pro-Rusia di perkampungan Chornukhine di wilayah Lugansk, Ukraine Isnin lalu. Pertempuran tersebut menyebabkan kira-kira 415,800 penduduk melarikan diri, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin. - AFP
LUHANSK 21 Ogos - Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh, manakala 64 yang lain cedera ketika tentera Ukraine menggempur dan menguasai sebahagian besar kubu pemberontak pro-Rusia di Luhansk dan mengepung hampir keseluruhan bandar Donetsk, semalam.
Laman web berita Al-Jazeera melaporkan, tentera Ukraine berusaha selama beberapa minggu untuk mengusir pemberontak dari Luhansk dan Donetsk yang dihuni sejuta orang penduduk.
Terdahulu, beberapa penempatan di Donetsk dihujani tembakan meriam serta pertempuran antara tentera dan pemberontak yang semakin serius.
Sementara itu di Donetsk, seramai 43 orang penduduk maut dan 42 orang lagi cedera dalam masa kurang dua hari akibat bedilan meriam tentera kerajaan semalam, lapor pihak berkuasa.
Selain itu, sembilan anggota tentera, manakala 22 yang lain cedera dalam satu pertempuran di sebuah bandar di luar Donesk, manakala di Luhansk, pertempuran masih berlarutan antara kedua-dua pihak.
Serangan terbaru itu dilancarkan ketika Presiden Ukraine, Petro Poroshenko bersiap sedia untuk mengadakan pertemuan di Minsk bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, pemimpin negara Belarus dan Kazakhstan serta pegawai Kesatuan Eropah (EU) pada minggu depan.
Poroshenko minggu ini berkata, tentera Ukraine telah menyusun semula kedudukan untuk terus memberi tekanan kepada kumpulan pemberontak di Donetsk dan Luhansk, selain mematahkan penguasaan pemberontak bagi menghentikan bekalan senjata dari Rusia.
Dalam pada itu, Rusia menghantar konvoi bantuan besar-besaran bagi membantu penduduk di Luhansk, namun perjalanan konvoi tersebut tersekat di sempadan memandangkan Kiev enggan membenarkan laluannya digunakan oleh konvoi berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140822/lu_04/52-terbunuh-pertempuran-di-Ukraine#ixzz3B4MRBLQf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment