Friday, August 22, 2014

Awie bantah permohonan Rozana ketepi perintah hak jaga anak


ROZANA MISBUN

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Penyanyi dan pelakon, Awie mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini terhadap permohonan isterinya untuk mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara ke atas tiga anak mereka yang diperoleh artis itu, 21 Julai lalu.
Awie turut mengemukakan bantahan terhadap permohonan Rozana Misbun, 36, untuk membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) olehnya pada 16 Julai lalu untuk menghalang wanita itu daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.
Peguam syarie, Mohd. Hafizal Parcho yang mewakili Awie memaklumkan, bantahan itu dikemukakan berikutan permohonan Rozana itu adalah di luar tempoh masa yang dibenarkan oleh mahkamah iaitu 14 hari setelah perintah berkenaan diserahkan kepada isteri anak guamnya itu pada 24 Julai lalu.
Beliau turut memohon agar mahkamah mendengar terlebih dahulu bantahan awal yang difailkan hari ini sebelum meneruskan prosiding bagi permohonan yang dikemukakan oleh Rozana.
Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain yang mendengar kes itu kemudian menetapkan 18 September ini keputusan bantahan awal yang dikemukakan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, terhadap permohonan Rozana.
Rozana memfailkan permohonan tersebut pada 8 Ogos lalu dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah di sini tiada bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kedua-dua perintah itu terhadapnya mahupun suaminya setelah Awie didakwa sengaja memanipulasi fakta tentang alamat kediamannya untuk mengelak daripada permohonan itu didengar di bawah bidang kuasa mahkamah negeri Selangor.
Wanita itu juga mendakwa, Awie telah mengemukakan fakta-fakta yang salah dan tidak benar untuk mendapatkan perintah sementara itu melalui afidavit sokongan penyanyi itu.
Menurut Rozana lagi, mereka berdua berkahwin pada 20 Jun 2005 di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Selatan Thailand dan pernikahan tersebut sehingga kini tidak pernah didaftarkan di negara ini.
Pada 21 Julai lalu, Hakim Syarie, Nassir Abdul Aziz dalam keputusannya membenarkan Awie mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anaknya itu selain membenarkan permohonan injunksi.
Sementara itu, Rozana melalui peguam syarienya, Majdah Muda turut memohon mahkamah meminda perintah hak lawatan Rozana terhadap anak-anaknya, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, selama dua jam dan sebanyak dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan serta terhad di bekas rumah kelamin pasangan itu di Taman Ukay Bistari.
Beliau memohon agar hak lawatan itu dipindahkan ke rumah ibu bapa Rozana di Pantai Murni, Jalan Pantai Dalam di sini.
Ini berikutan Rozana telah mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada 7 Jun lalu setelah mendakwa dicederakan oleh suaminya itu pada 2 Jun lalu.
Majdah turut memohon perintah menghalang penyiaran berita yang melibatkan kedua-dua kes berkenaan termasuk menghalang peguam kedua-dua pihak membuat sebarang kenyataan di akhbar atau mana-mana media sosial.
"Anak guam saya telah diprejudiskan di media sosial dan akhbar sedangkan kes ini belum dibicarakan malah sudah ada pengadilan oleh orang ramai terhadap anak guam saya dan ini adalah tidak adil kepadanya," ujar beliau.
Hakim Mohd. Amran menolak kedua-dua permohonan secara lisan itu sebaliknya meminta pihak peguam mengemukakan permohonan secara bertulis.
"Permohonan perlu dibuat secara teratur dan tidak sepatutnya ia dibuat secara mengejut seperti ini," katanya.
Beliau turut menjelaskan, laporan media pada asasnya bukan menjadi suatu halangan kerana ia mendidik orang ramai mengenai prosedur mahkamah.
"Selagi ia tidak memprejudis mana-mana pihak dan mengganggu prosiding mahkamah ia dibenarkan kecuali ia mengganggu maka mahkamah akan mengambil tindakan serta-merta," tegas beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140822/ma_02/Awie-bantah-permohonan-Rozana-ketepi-perintah-hak-jaga-anak#ixzz3B4Q77xzs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment