Friday, August 22, 2014

Cadangan guna VMS ke Kabinet



ISMAIL SABRI (kiri) mencedok makanan ke dalam pinggan pengunjung yang hadir pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa cadangan untuk memperluaskan penggunaan sistem pengurusan bot (VMS) ke atas bot nelayan laut dalam ke Kabinet awal bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemasangan VMS tersebut bertujuan untuk memantau kegiatan penyelewengan penjualan hasil ikan negara ke negara asing.
Beliau berkata, kos pemasangan VMS itu dianggarkan berjumlah RM4,000 bagi setiap bot.
“Sistem itu dapat mengesan pergerakan bot terlibat bagi mengelakkan kegiatan pencerobohan di luar zon yang dibenarkan yang dikhuatiri menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai.
“Selain itu, sekiranya berlaku kerosakan atau perkara luar jangkaan, kita dapat memantau mereka melalui sistem ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu di sini semalam.
Beliau mengulas laporan berhubung bekalan ikan dijangka habis 2019 ekoran penjualan hasil ikan negara kepada nelayan asing di samping wujudnya pencerobohan zon.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, dakwaan bahawa bekalan ikan dijangka habis lima tahun lagi adalah andaian semata-mata yang tidak mempunyai asas.
“Ikan berkurangan kalau cara tangkapan itu tidak diubah. Sebab itu pihak kementerian telah melakukan banyak perubahan bagi memastikan bekalan tetap ada.
“Antara perubahan yang dibuat adalah dengan menguatkuasakan pengunaan pukat tunda dengan saiz mata keroncong 38 milimeter bagi melindungi ikan kecil ditangkap bersama ikan komersial lain,”ujarnya.
Beliau turut menegaskan, penjualan ikan kepada nelayan asing dan penyelewengan yang berlaku di lautan adalah di bawah bidang kuasa Maritim Malaysia (APMM) sejak 2005.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3B4WmIs6g 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment