Friday, August 22, 2014

Jeneral Prayuth dilantik PM baharu Thailand


PRAYUTH
BANGKOK 21 Ogos - Parlimen Thailand, hari ini mengundi memilih ketua kerajaan junta Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha sebagai Perdana Menteri baharu negara ini.
Prayuth menerima sokongan 191 daripada 197 anggota Parlimen dengan tiga daripada mereka berkecuali, manakala tiga lagi tidak hadir.
Pelantikan Prayuth, bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Raja Bhumibol Adulyadej, walaupun pengesahan diraja dilihat hanya sebagai satu prosedur biasa.
Ketua tentera itu yang dilihat sebagai seorang penyokong kuat diraja bagaimanapun tidak hadir pada proses pemilihan tersebut kerana Prayuth menghadiri satu majlis tentera di luar Bangkok.
Beliau memberi isyarat tentang cita-cita politiknya selepas menukar uniform yang dipakainya dengan memakai sut dan tali leher semasa hadir di Parlimen pada Isnin lalu bagi membentangkan bajet negara yang diluluskan tanpa sebarang tentangan.
Langkah Jeneral itu untuk melepaskan pakaian seragamnya dan mengambil alih tampuk pemerintahan tertinggi negara, dilihat mengukuhkan penguasaan tentera dalam politik negara ini.
Kerajaan junta menolak untuk mengadakan pilihan raya umum baharu sebelum Oktober 2015 di sebalik rayuan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah untuk mengembalikan sistem demokrasi di Thailand.
Prayuth yang bakal bersara sebagai Panglima Angkatan Tentera Thailand pada September ini, dilihat sebagai penentang kuat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2006.
Menurut pemerintah tentera, mereka mahu melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan kemelut politik dan keganasan jalanan, namun pengkritik melihat tindakan Prayuth menyingkirkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dalam rampas kuasa pada 22 Mei lalu sebagai usaha membersihkan pengaruh Thaksin di Thailand. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140822/lu_05/Jeneral-Prayuth-dilantik-PM-baharu-Thailand#ixzz3B4MpH7n3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment