Thursday, September 11, 2014

Arab Saudi perkenal kempen pengurusan haji


KERAJAAN Arab Saudi melancarkan kempen besar-besaran sempena musim haji tahun ini bagi mendidik rakyat dan pekerja asing tentang kepentingan mendapatkan permit haji bagi memperoleh perkhidmatan pengurusan haji yang lebih baik. - AGENSI
MEKAH 10 Sept. - Kerajaan Arab Saudi melancarkan kempen media secara besar-besaran sempena musim haji tahun ini bagi mendidik rakyat dan pekerja asing tentang kepentingan mendapatkan permit haji bagi mendapatkan perkhidmatan pengurusan haji yang lebih baik.
Gabenor Mekah, Putera Mishaal bin Abdullah melancarkan "Kempen Mengerjakan Haji Secara Betul dengan Memiliki Permit", kempen bertujuan mengelakkan jemaah berselerak di kawasan awam dan mengawal jemaah supaya tidak bersesak-sesak.
Mishaal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji berkata, bandar itu sudah bersedia menerima kedatangan musim haji, semua sektor telah bersedia dan pihaknya tidak akan mensia-siakan usaha untuk berkhidmat kepada tetamu Allah.
Sementara itu, kempen tersebut juga bagi memastikan sesiapa yang mempunyai permit haji sahaja layak mendapatkan perkhidmatan dan mereka yang mematuhi standard etika yang ditetapkan serta peraturan sepanjang berada di Tanah Suci ini.
Dalam kempen yang dihadiri oleh semua kementerian dan jabatan kerajaan, sektor telekomunikasi memainkan peranan sebagai strategi penaja, dan juga membantu mewujudkan kesedaran awam.
"Kami yakin atas usaha yang dilakukan, arahan di bawah kepimpinan Arab Saudi akan menawarkan perkhidmatan terbaik di Mekah," kata Gabenor itu.
Menteri Haji, Bandar Hajjar pula berkata, permit yang diperkenalkan itu adalah untuk mengehadkan jumlah kemasukan jemaah haji ekoran kepadatan ruang di Mekah, keadaan ini boleh ditangani sekiranya jemaah dibenarkan hanya melakukan haji sekali dalam tempoh lima tahun.
"Permit haji pada dasarnya bukan untuk menyekat jemaah, namun merupakan langkah pengawalan yang harus diambil memandangkan jumlah peningkatan tiga kali ganda kemasukan jemaah musim ini berbanding tahun-tahun lalu yang boleh menjejaskan pengurusan haji," tambah beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140911/lu_05/Arab-Saudi-perkenal-kempen-pengurusan-haji#ixzz3CxGp53FL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment