Thursday, September 11, 2014

Lapangan terbang Luton dibuka semula selepas disahkan tiada bom

LONDON: Lapangan Terbang Luton di sini dibuka semula selepas pakar pemusnah bom melakukan letupan terkawal ke atas sebuah beg yang mencetuskan kebimbangan.
Kira-kira 1,600 penumpang dikeluarkan dari lapangan terbang, semua penerbangan masuk dan keluar dibatalkan dan jalan raya menghala ke bangunan terminal ditutup.
"Kini tiada lagi amaran keselamatan.
"Skuad bom melakukan letupan terkawal. Ia bukan bom," kata jurucakap polis Bedfordshire.
Pejabat akhbar lapangan terbang menyatakan dalam tweetnya: "Kami sedang berusaha untuk membuka semula lapangan terbang dan memulihkan penerbangan secepat mungkin."
Terdahulu jurucakap lapangan terbang berkata 18 penerbangan dibatalkan atau dialihkan termasuk penerbangan tambang murah easyJet dan Wizz Air, kebanyakannya ke Lapangan Terbang Stansted.
Pegawai lapangan terbang berkata satu 'barangan yang disyaki' dijumpai di kawasan pemeriksaan keselamatan penumpang.
Seorang saksi dipetik Sky News sebagai berkata langkah mengeluarkan orang ramai pada mulanya dilakukan dengan teratur dan tenang tetapi kemudian menjadi kecoh apabila kakitangan lapangan terbang menggesa mereka supaya cepat ke tempat letak kereta.
Penumpang masih dapat dilihat di luar bersama bagasi mereka dan sesekali bertanya kepada polis bila penerbangan akan pulih semula.
Luton adalah lapangan terbang Britain keempat sibuk yang memberi perkhidmatan kepada London, selepas Heathrow, Gatwick dan Stansted dan yang kelima terbesar di negara berkenaan.
Jumlah trafik penumpang tahun lalu adalah kira-kira 9.7 juta orang. - AFP

No comments:

Post a Comment