Thursday, September 11, 2014

Cameron beri kata dua kepada warga Scotland



AFP
SEORANG penyokong kemerdekaan menunjukkan isyarat dua jari tanda kemenangan di ibu negeri Scotland, Edinburgh kelmarin.


LONDON - Perdana Menteri United Kingdom (UK), David Cameron semalam memberi amaran kepada pengundi Scotland mereka akan kembali ke dalam kegelapan jika memilih untuk merdeka.
Amaran itu dikeluarkan menjelang kunjungan pemimpin tiga parti utama di UK termasuk Cameron ke Scotland hari ini bagi memujuk penduduk negeri itu supaya kekal dalam persekutuan UK.
Kempen tersebut dilihat penting berikutan pada 18 September ini, penduduk Scotland akan mengundi dalam satu pungutan suara sama ada keluar daripada persekutuan UK selepas 300 tahun.
Situasi di Scotland kini lebih mendesak buat Cameron selepas beberapa tinjauan sebelum ini mendapati lebih ramai penduduk di negeri itu menyokong kemerdekaan.
"UK adalah sebuah negara yang tidak ternilai dan istimewa," kata Cameron dalam akhbar Daily Mail edisi semalam.
"Justeru, jangan ada sesiapa di Scotland ragu. Kami mahu anda (penduduk Scotland) kekal (bersama UK), kami tidak mahu negara ini berpecah.
"Jika UK berpecah, ia akan berpecah selama-lamanya. Oleh itu, pilihan untuk anda adalah jelas iaitu kembali ke dalam kegelapan jika menyokong kemerdekaan atau memilih masa depan yang lebih baik untuk Scotland melalui undian tidak," tambahnya.
Cameron akan berkempen menentang kemerdekaan Scotland dengan disertai pemimpin Parti Demokrat yang juga Timbalan Perdana Menteri UK, Nick Clegg serta Ketua Pembangkang, Ed Miliband.
Beberapa minggu lalu, London tidak menunjukkan minat mendalam berhubung referendum yang bakal diadakan pada minggu hadapan itu.
Ia berikutan beberapa tinjauan pendapat ketika itu menunjukkan majoriti penduduk Scotland menyokong penyatuan bersama UK.
Perubahan hasil tinjauan pendapat baru-baru ini bagaimanapun mendorong pentadbiran Cameron untuk mengubah pendirian.
Kerajaan negara itu kini menawarkan pelbagai insentif termasuk meluaskan kuasa autonomi Scotland meliputi cukai, kebajikan dan perbelanjaan bagi memujuk penduduknya supaya memilih untuk kekal dalam UK.
Menteri Pertama Scotland yang juga pemimpin Parti Kebangsaan Scotland (SNP), Alex Salmond bagaimanapun memandang sinis tawaran tersebut.
Beliau menyifatkan inisiatif London sebagai sudah lapuk dan tidak akan dapat membantu matlamat menghalang kemerdekaan Scotland.
Parti Konservatif pimpinan Cameron yang memerintah UK pula tidak popular di Scotland.
Parti itu hanya menguasai satu daripada 59 kerusi Parlimen Scotland. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0911&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3CxLZTWv8 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment