Thursday, September 11, 2014

Najib lakukan lawatan rasmi pertama ke Azerbaijan



DUTA Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman ketika sidang media mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Azerbaijan hari ini. - Foto BERNAMA
BAKU, Azerbaijan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melakukan lawatan rasmi pertama ke Azerbaijan mulai esok hingga Jumaat atas undangan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Duta Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Abdul Rahman, berkata lawatan itu akan merintis jalan bagi kerjasama rapat antara Malaysia dan Azerbaijan dalam bidang-bidang kepentingan bersama terutamanya perdagangan dan pelaburan.
"Malaysia dan Azerbaijan menjalin hubungan diplomatik pada 1995. Pada 2013, jumlah perdagangan dengan Azerbaijan berjumlah AS$18.3 juta (RM57.7 juta), jumlah eksport ke Azerbaijan ialah AS$15.3 juta (RM48.2 juta) sementara import dari Azerbaijan ialah AS$3 juta (RM9.6 juta)," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

TIGA bangunan milik Hotel Fairmont Azerbaijan yang merupakan salah satu mercu tanda terkenal di bandaraya Baku, Azerbaijan. - Foto BERNAMA
Semasa lawatan ke Azerbaijan, Najib akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Aliyev diikuti mesyuarat dua hala.
"Mesyuarat itu akan memberi kesempatan terbaik bagi kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu kepentingan bersama termasuk isu serantau dan antarabangsa, dan memupuk kerjasama melalui usaha sama baharu bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Azerbaijan," katanya.
Najib dan Aliyev juga dijangka memeterai deklarasi bersama yang menggariskan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala dan ekonomi dalam pelbagai bidang, katanya.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba di Baku pada Khamis malam.
Pada Jumaat, selepas upacara sambutan rasmi di Istana Presiden, Najib dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan Aliyev diikuti dengan mesyuarat delegasi antara Malaysia dan Azerbaijan.
Kemudian mereka akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) termasuk kerjasama ekonomi, saintifik dan teknikal serta latihan diplomat dan antara Petronas dan Syarikat Minyak Negara Azerbaijan (SOCAR) mengenai kerjasama dalam sektor minyak dan gas.
Najib juga dijadual merasmikan pembukaan Kedutaan Malaysia di Baku, Azerbaijan.
Malaysia menubuhkan pejabat kedutaan di Baku pada 1 April lalu.
Najib juga akan menyampaikan undangan secara peribadi kepada Presiden Azerbaijan untuk melakukan lawatan negara ke Malaysia.
Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaan daripada Soviet Union ketika itu pada Oktober 1991.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment