Saturday, October 4, 2014

Ketahui simptom kanser untuk rawatan awal - Pakar


MELAKA: Lebih banyak mesej dan maklumat mengenai simptom kanser perlu disampaikan kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap penyakit itu.
Pakar Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Melaka, Dr Daniel Wong Wai Yan, berkata kebanyakan masyarakat di negara ini kurang didedahkan mengenai simptom dan maklumat penyakit kanser sehingga lambat mendapatkan rawatan.
"Malah mereka sukar menjalankan pemeriksaan kesihatan jika mengalami simptom tersebut. Masyarakat masih kurang faham mengenai simptom kanser malah lebih cenderung mendapatkan rawatan tradisional ... apabila sudah lewat baru mereka datang ke hospital," katanya.
Antara simptom awal kanser adalah kehilangan berat badan mendadak, batuk kronik atau sakit dada, kerap terkena jangkitan kuman, bengkak muka dan kerap mengalami kekejangan perut, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Program Silver Lining 2014 anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama-sama Mahkota Medical Centre oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di Hotel Hatten di sini, hari ini.
Dr Wong berkata, kebanyakan mereka yang berisiko tinggi untuk menghidap kanser adalah pada usia lebih 60 tahun dan menasihatkan golongan itu membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap.
Timbalan Presiden NCSM, Clare Ratnasingham, berkata pihaknya sedang berusaha meningkatkan kesedaran tentang simptom kanser kepada masyarakat bagi membolehkan mereka mendapat rawatan awal secara optimum.
"Kita juga mengadakan program di kampung-kampung, sekolah dan universiti bagi memberi pendedahan dan didikan mengenai kanser agar penyakit ini dapat dicegah pada peringkat awal," katanya.
NCSM ialah sebuah badan kebajikan berdaftar yang menawarkan khidmat pendidikan, rawatan dan sokongan bagi mereka yang menghadapi penyakit kanser.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment