KEADAAN trafik mulai sibuk di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Seremban arah selatan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman pada saat akhir bagi menyambut Hari Raya Aidiladha esok. - Foto Iqmal Haqim Rosman |
KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di semua lebuh raya menghala utara, selatan dan pantai timur dilapor sesak setakat 5 petang ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata, aliran trafik ke selatan, keadaan mula sesak dari Putra Mahkota ke Seremban.
Beliau berkata, trafik turut sesak dari Behrang ke Slim River, Tapah ke Gopeng dan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar di sebelah utara.
"Trafik juga sesak dari Hospital Sungai Buloh ke Rawang berikutan warga kota yang mula bercuti sempena sambutan Aidiladha, esok," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berkata, aliran trafik sesak selepas terowong Genting Sempah namun trafik di kawasan lain berada dalam keadaan terkawal.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM di 1800-88-7752.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment