SABTU, 4 OKTOBER 2014 @ 11:22 AM
INCHEON, Korea Selatan: Tiga pegawai kanan Korea Utara tiba di Korea Selatan dalam lawatan luar biasa hari ini bagi menghadiri majlis penutup Sukan Asia, sekali gus berpotensi membawa kejayaan dalam hubungan tegang antara kedua-dua negara Korea itu.
Hwang Pyong So yang mengetuai delegasi itu tiba di lapangan terbang Incheon lengkap berpakaian seragam tentera, diiringi dua pembantu kanan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un. Mereka dijangka bertemu pegawai kerajaan Korea Selatan.
Tiba di sebuah hotel bersama Menteri Penyatuan Korea Selatan untuk satu mesyuarat khas tertutup, pegawai kanan Korea Utara kelihatan ceria sementara seorang daripada mereka, Choe Ryong Hae, mengangguk apabila ditanya oleh pemberita sama ada mereka optimis mengenai hasil lawatan mereka.
Lawatan itu disifatkan sebagai kejutan kerana Pyongyang telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada negara jirannya serta Presiden Park Geun-hye hampir setiap hari, dengan mengkritik panggilan pemimpin itu supaya Pyongyang menamatkan program senjata dan memperbaiki keadaan hak asasi manusia.
Walaupun hubungan tegang dengan Selatan, Korea Utara telah membuat lawatan diplomatik berprofil tinggi sejak beberapa minggu lalu, dengan Menteri Luar negara itu membuat lawatan ke beberapa ibu negara dan menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bulan lalu.
Korea Utara berada di bawah sekatan PBB bagi ujian nuklear dan peluru berpandu yang menyebabkan negara itu berada dalam pengasingan antarabangsa namun ia menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan dengan kuasa utama dunia termasuk Amerika Syarikat dan China bagi program nuklearnya.
Kedua-dua negara Korea itu secara teknikal berperang kerana konflik pada 1950-1953 yang berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.
Pertempuran bersenjata dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengakibatkan tentera di kedua-dua belah pihak terbunuh, manakala pada 2010 ramai orang awam terbunuh apabila Utara mengebom kepulauan Selatan.
Secara amnya, Korea Selatan mengalu-alukan lawatan Korea Utara dan berharap ia mampu membawa kepada kejayaan susulan hubungan yang dingin selama lebih empat tahun itu.
"Kerajaan berharap kehadiran delegasi peringkat tinggi pada majlis penutup Sukan Asia itu menjadi satu peristiwa yang positif bagi hubungan baik antara Selatan dan Utara," kata jurucakap Kementerian Penyatuan, Lim Byeong-Cheol. - Reuters
BH
No comments:
Post a Comment