Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23208#sthash.d1LaGauz.dpuf
Paris: Mengetepikan sementara perbezaan politik, puluhan pemimpin dunia - termasuk yang beragama Islam - malam tadi berjalan bersama di tengah ibu kota Perancis untuk menunjukkan perpaduan global bagi memperingati 17 mangsa keganasan di negara itu.
Antara mereka ialah Perdana Menteri Palestin, Mahmoud Abbas dan rakan sejawatnya dari Israel, Benjamin Netanyahu. Russia yang sedang menghadapi konfik dengan Ukraine pula diwakili menteri luarnya, Sergei Lavrov walaupun Kiev menghantar presidennya sendiri, Petro Poroshenko
Seorang demi seorang tiba untuk bersalaman dengan Presiden Perancis, Francois Hollande, di ruang khas Istana Elysee sebelum memulakan perarakan.
Sejurus sebelum mula menyambut kedatangan pemimpin pelbagai negara, Hollande berkata, Paris menjadi pusat dunia pada malam tadi.
Kira-kira 2,200 anggota keselamatan dikerah mengawal perarakan itu bagi mengelak kemungkinan ia disabotaj dengan penembak tepat ditempatkan di bumbung bangunan.
Pegawai berpakaian preman pula bercampur dengan orang ramai sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan.
Menjelang acara itu, saluran pembetungan di seluruh bandar raya itu juga diperiksa, manakala stesen kereta api bawah tanah ditutup kepada orang ramai.
Namun di sebalik slogan kebebasan bersuara dicadang Perancis, tidak semua orang berpendapat mereka perlu bersetuju dengan Charlie Hebdo.
Ketika sesetengah pihak bertegas dengan kempen Je suis Charlie (Saya Charlie) di media sosial, seorang daripada mangsa serangan yang terselamat dalam insiden itu menganggap sokongan berkenaan tidak ikhlas.
Sesetengah pihak pula mengakui majalah satira itu bertindak keterlaluan kerana mempersendakan sesuatu yang tidak sepatutnya diperlekehkan.
Bersama kempen menyanggah Je suis Charlie, muncul pula hashtag #IamNotCharlie di Twitter.
Bekas kartunis Charlie Hebdo, Bernard Holtrop sendiri menyalahkan ‘rakan’ baru penerbitan itu sebagai punca masalah.
Holtrop berkata, dia gembira ramai orang bersatu mempertahankan hak kebebasan bersuara.
Namun dia berkata, dia rasa hendak ‘termuntah’ kerana seorang daripada penyokong perarakan itu ialah tokoh politik pelampau Belanda - yang turut pernah menghina Islam, Geert Wilders, tiba-tiba mendakwa menjadi sahabat perarakan itu.
“Kita tiba-tiba mendapat ramai rakan baru seperti Ratu Elizabeth, Putin dan sebagainya. Saya ketawa besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:14 AM
No comments:
Post a Comment