Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Malaysia, Abdul Ghani Samsudin berkata, hal demikian adalah kerana kenyataan Eric itu adalah tidak benar kerana dikeluarkan tanpa bukti yang sahih.
“Dia sepatutnya lebih berhati-hati dalam membuat kritikan dan biarlah jelas serta berasas. Jika apa yang didakwanya itu benar, perlu sertakan rujukan tentang teks, khutbah dan siapa yang menyampaikannya bagi membuktikan kesahihan.
“Khutbah diadakan bertujuan untuk mendidik, memberi keinsafan dan jauh sekali digunakan untuk menyebarkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam. Dakwaannya itu cukup jelas mengenepikan elemen-elemen sensitiviti sesuatu agama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Ghani mengulas berkaitan tindakan Eric membuat pertuduhan mengaitkan Jakim dengan penyebaran fahaman ekstremis.
Eric dalam kenyataan Twitter miliknya, menuduh Jakim menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.
Dalam pada itu, Abdul Ghani menasihatkan agar Eric dapat memperbetulkan keadaan dan menyelesaikan perkara itu dengan segera.
“Dia perlu segera memperbetulkan keadaan kerana tindakannya itu boleh diklasifikasikan sebagai satu tentangan terhadap sesebuah agensi dan Islam secara keseluruhannya,” katanya.