Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak hampir dua kali ganda berbanding 18,000 orang yang menyertai bantahan sama pada minggu lalu selepas kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) merancang mengadakan protes anti-Islam di bandar raya berkenaan.
Datuk Bandar Dresden, Helma Orosz turut menggesa penyokong PEGIDA agar menukar fikiran dan menyertai kempen menentang perkauman.
Jelas Orosz, beliau menyertai demonstrasi itu bukan kerana membantah orang ramai menyertai PEGIDA, tetapi disebabkan rasa tidak takut perbezaan kulit atau budaya dengan orang lain.
“Saya percaya, jumlah orang ramai yang menyokong kempen menentang perkauman telah menunjukkan isyarat jelas bahawa masyarakat negara ini saling bergandingan dan tidak melupakan pihak yang bimbang dengan pengaruh Islam.
“Kami tidak mengabaikan mereka (penyokong PEGIDA), malah mengajak mereka menyertai kempen ini,” katanya.
Dalam bantahan yang diadakan hari ini, orang ramai turut membawa sepanduk bertulis “Bantulah pelarian’, ‘Kita semua ketawa dalam bahasa yang sama’, dan ‘Jerman untuk semua orang’ sebagai tanda sokongan kepada pendatang asing yang beragama Islam.
Bagaimanapun, penganalisis menyuarakan kebimbangan bahawa protes anti-Islam anjuran PEGIDA yang akan diadakan esok di Dresden, dijangka mendapat sambutan hangat ekoran serangan pengganas di Perancis.
Pensyarah sains politik Universiti Teknikal Dresden, Werner Patzelt berkata, serangan di Paris akan memberi kesan terhadap demonstrasi anti-Islam serta memberi pengaruh yang besar kepada PEGIDA.
“Saya menjangkakan lebih 20,000 orang akan menyertai bantahan tersebut esok di Dresden,” katanya. – AFP