Kumpulan penyokong perikatan membantah isu perkauman mengadakan protes menyelar tindakan pengikut Pegida di Berlin.
Kumpulan penyokong perikatan membantah isu perkauman mengadakan protes menyelar tindakan pengikut Pegida di Berlin.
BERLIN - JERMAN.  Puluhan ribu penduduk berarak di bandar timur Dresden sebagai membantah Islamophobia susulan protes anti-Islam yang semakin meningkat di Jerman.

Lebih 35,000 orang menyertai perhimpunan itu bagi menggesa pihak berkenaan supaya menghentikan tunjuk perasaan berunsur perkauman dan kebencian agama di negara terbabit.

Ia turut disertai Datuk Bandar Dresden, Helma Orosz yang bertindak memberi amaran keras kepada kumpulan pelampau supaya tidak mencetuskan kekacauan untuk memecahbelahkan penduduk di bandar tersebut.

Difahamkan, jumlah peserta yang menyertai perhimpunan tersebut adalah lebih ramai berbanding 18,000 penunjuk perasaan ketika protes anti-Islam anjuran Pertubuhan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (Pegida) pada Isnin lalu.

Sebelum ini, Canselor Jerman, Angela Merkel pernah menyelar Pegida dan pengikutnya kerana menyokong protes yang berunsur perkauman serta kebencian agama.

Sentimen antiimigran mula menular di bandar utama di negara itu selepas dasar kerajaan menggalakkan kemasukan pendatang dan golongan pelarian dari Syria serta Iraq. - Press TV