TEMERLOH 1 Okt. - Seorang bapa merayu anak perempuannya, Norfazliana Abdullah, 21, yang meninggalkan rumah sejak 10 September lalu supaya pulang segera memandangkan keadaan kesihatan ibunya semakin teruk.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121002/ws_04/Bapa-rayu-anak-pulang-kesihatan-ibu-semakin-teruk#ixzz289czDZrj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Bapa tersebut, Idris Awang Ngah, 60, berkata, isterinya, Aishah Abu Samad, 60, amat merindui Norfazliana selain bimbangkan keselamatannya.
Menurutnya, kehidupan Aishah menjadi semakin tidak keruan dan sering terjaga dari tidur seolah-olah mahu mengejutkan anak kesayangannya itu untuk makan bersama.
''Keadaan isteri saya berterusan sejak hari pertama Norfazliana keluar dari rumah. Saya merayu sekurang-kurangnya dia telefonlah ibunya dan memberitahu keadaan yang sebenar.
''Norfazliana atau nama timangannya, Liya sebelum ini ada tinggalkan nota yang menyatakan dia ingin pergi jauh," kata Idris kepada Utusan Malaysia di Kampung Paya Pulai di sini hari ini.
Idris yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pejabat Daerah Temerloh berkata, jirannya ada ternampak Norfazliana menaiki kereta berwarna putih sekitar pukul 10.30 pada malam kejadian, namun tiada berita lagi diterima selepas itu.
Katanya lagi, Norfazliana dan kakaknya Norisa, 35, adalah anak angkat mereka kerana tidak dikurniakan anak sendiri sejak berumahtangga.
''Kami memelihara dia sejak berusia setahun apabila bapa kandungnya yang juga anak saudara saya meninggal dunia 20 tahun lalu.
''Selepas tamat pengajian di sebuah kolej di ibu negara tiga bulan lalu, dia ada memberitahu ingin mencari kerja. Semasa belajar di kolej dia selalu berjumpa dengan ibu kandungnya.
''Saya berharap dia dapat menelefon isteri saya untuk melepaskan rasa rindu," katanya.
Kata Idris, dia telah mencari anak keduanya itu di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur dan Melaka selain Muar dan Segamat di Johor, tempat ibu kandungnya pernah menetap.
Malangnya, jiran tempat tinggal ibu kandung Norfazliana memberitahu, dia sudah berpindah dan tidak bekerja lagi di kawasan itu.
Menurut Idris, Norfazliana merupakan seorang anak yang baik, sentiasa menghormati mereka dan bukan gadis yang suka memberontak.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121002/ws_04/Bapa-rayu-anak-pulang-kesihatan-ibu-semakin-teruk#ixzz289czDZrj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment