Anak mahu kesan bapa jadi wali nikah
Siti Zubaidah menunjukkan gambar ayahnya.
BESUT – Seorang kakitangan wanita Pejabat Agama Daerah Besut merayu orang ramai membantu mengesan bapa kandungnya, Zalamidin Hussin, 52, yang berpisah dengan ibunya sejak empat tahun lalu untuk mewalikan pernikahannya pada awal Disember depan.

Siti Zubaidah Zalamidin, 25, yang menetap di Kampung Gong Bayor berkata, selepas bapanya berpisah dengan ibunya Wan Siti Wan Musa, 54, pada 2008, kali terakhir dia bertemu bapa di Hospital Kuala Lipis, Pahang pada Julai 2010.

Menurutnya, dia melawat bapanya bekas anggota tentera terlantar di hospital berkenaan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di daerah itu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Selepas itu saya tidak mendapat khabar berita daripada ayah. Usaha menghubunginya melalui telefon juga gagal kerana dia sudah menggunakan nombor telefon lain.

“Pada Aidilfitri lalu saya pergi juga mencari bapa saya di kampung halamannya di Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan namun saudara maranya memberitahu tidak tahu di mana bapa saya berada malah dia juga sudah lama tidak pulang,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Zubaidah merayu bapanya pulang untuk mewalikan pernikahan atau jika terdapat pihak tahu di mana bapanya berada supaya memaklumkannya.

Menurutnya, dia akan melangsung perkahwinan dengan lelaki pilihannya, Mohd Fathi Mohd Yusof, 24, yang berasal Pendang, Kedah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya menerusi talian 013 9549283.