JAKARTA: Suspek militan yang ditahan polis, mendedahkan satu rancangan untuk menyerang bangunan Parlimen dan polis atas nama jihad.
Ketua Agensi Antipengganas, Ansyad Mbai berkata semalam, dua kumpulan militan berasingan merancang serangan ke atas bangunan Parlimen di Jakarta dan serangan bom ke atas polis di bandar Solo, Jawa Tengah.
“Kami bekerjasama dengan skuad polis antipengganas untuk memburu suspek yang masih bebas dan meningkatkan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap semua bentuk serangan,” katanya.
Bayu Sentiono, 22, yang ditahan selepas kejadian tembak-menembak di Solo minggu lalu hingga menyebabkan dua suspek dan seorang anggota antipengganas maut berkata, kumpulannya merancang lebih banyak serangan.
“Rancangan kami untuk memecah belahkan Solo seperti yang berlaku di Ambon dan Poso. Kami mahu menegakkan undang-undang Syariah dan menubuhkan sistem khalifah di Indonesia,” katanya, merujuk keganasan antara penduduk Islam dan Kristian dan menyebabkan beribu-ribu terbunuh.
Dalam satu video soal-siasat yang dikeluarkan oleh polis semalam, Bayu berkata, mereka mensasarkan polis yang mereka anggap murtad kerana menangkap dan membunuh militan Islam.
Seorang lagi suspek berkata, dia sudah memeriksa bangunan Parlimen tiga kali sebelum ditahan polis Julai lalu, kata Ansyad tanpa mendedahkan butiran tahap mana rancangan itu berjaya dilaksanakan.
“Ada kumpulan kecil di mana tugas mereka tidak berkaitan antara satu sama lai, tetapi mereka semua dari Jemaah Islamiyah (JI) dan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT),” katanya.
JAT yang diisytiharkan pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat diasaskan pada 2009 oleh ulama yang kini menjalani hukuman penjara, Abu Bakar Bashir. - Reuters
No comments:
Post a Comment