Saturday, January 26, 2013

Perancis musnah dua pangkalan militan



Tentera Perancis memeriksa sebuah kenderaan yang digunakan militan Islam yang terbakar dalam serangan tentera udara Perancis di pinggir pekan Diabaly, Mali, kira-kira 460 kilometer ke utara Bamako, ibu negara Mali pada 21 Januari lalu. Tentera Mali dibantu tentera Perancis berjaya menawan semula pekan itu. - AP
BAMAKO 25 Jan. - Jet pejuang Perancis memusnahkan dua pangkalan militan Islam di utara Mali, malam tadi ketika kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu mula berpecah.
Terdapat laporan menyatakan tentera Mali melaksanakan hukuman mati, dengan sebuah kumpulan hak asasi mendakwa sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh di pusat bandar Sevare dan beberapa mayat dicampak ke dalam telaga.
Serangan bom sepanjang malam tadi menjadikan pekan Ansongo, kira-kira 80 kilometer dari bandar Gao, serta pangkalan militan di kampung berhampiran Seyna Sonrai sebagai sasaran, kata jurucakap tentera Mali yang enggan dikenali, semalam.
''Jet pejuang Perancis berjaya menyerang kedudukan militan di Ansongo dan kawasan berhampiran.
''Serangan itu berjaya dan mengakibatkan kemusnahan teruk kepada musuh,'' kata jurucakap tersebut.
Seorang sumber keselamatan Niger mengesahkan serangan itu dan berkata, dua pangkalan militan musnah termasuk bekalan minyak dan gudang senjata mereka.
Di kawasan sempadan Ouallam di Niger, lebih 2,000 tentera Chad dan 500 tentera Niger yang mendapat mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerahkan untuk melancarkan serangan ke atas militan.
Kumpulan nuklear Perancis, Areva berkata, mereka telah meningkatkan tahap keselamatan ke atas operasi perlombongan uranium di Niger.
Sementara itu di Mali, kumpulan pertama 6,000 tentera Kesatuan Eropah bagi menyertai kempen ketenteraan di Mali mula beroperasi di utara negara ini, tempat yang dikuasai tiga kumpulan yang dikaitkan dengan al- Qaeda selepas berlaku rampasan kuasa di Bamako.
Konflik antara kumpulan militan itu tercetus, semalam setelah Pergerakan Azawad mengumumkan berpaling tadah daripada kumpulan Ansar Dine dengan menyatakan mereka menolak sebarang unsur keganasan dan mahu krisis di Mali diselesaikan secara aman. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130126/lu_02/Perancis-musnah-dua-pangkalan-militan#ixzz2J2FfVvia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment