JAKARTA: Skuad antipengganas Indonesia menahan 11 suspek militan Islam yang didakwa merancang menyerang Kedutaan Amerika Syarikat (AS), sebuah plaza berhampiran Kedutaan Australia dan pejabat Freeport-McMoRan Copper & Gold.
Menurut polis semalam, anggota Detachment 88 turut merampas sebutir bom serta pelbagai peralatan membuat bom milik kumpulan Harakah Sunniyyah Untuk Masyarakat Islami (Hasmi).
Jurucakap polis Indonesia, Suhardi Alius, penahanan oleh skuad elit polis di Pulau Jawa itu adalah kejayaan terkini pihak berkuasa membanteras militan di negara itu. Katanya, penahanan itu dibuat 10 tahun selepas serangan bom di Bali yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya warga asing. “Bukti pertama ditemui di sebuah kawasan perumahan di Madiun, berupa sebutir bom yang sedia untuk digunakan selain pelbagai bahan mentah untuk membuatnya.
“Polis juga menemui beberapa buku panduan membuat bom,” katanya. Bagaimanapun, Suhardi tidak memberikan butiran lanjut mengenai kumpulan berkenaan. Suhardi berkata, antara sasaran Hasmi ialah Konsulat AS di Surabaya, Jawa Barat; Kedutaan AS di Jakarta; Plaza 89 juga di Jakarta yang terletak di depan Kedutaan Australia.
Turut menjadi sasaran, kata Suhardi, bangunan pejabat syarikat perlombongan Freeport-McMoRan Copper & Gold.
“Hasmi juga bercadang menyerang anggota pasukan Brimob (unit elit Briged Mobil yang juga dikenali dengan nama Baret Biru) di Srondol, Jawa Tengah,” katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment