Thursday, May 5, 2011

Militan di Yaman ikrar balas dendam


ADEN: Seorang pemimpin cawangan al-Qaeda di pedalaman Yaman semalam berikrar untuk membalas dendam ke atas pembunuhan Osama bin Laden oleh tentera Amerika Syarikat.
“Kami akan bertindak balas terhadap kematian pemimpin kami, Sheikh Osama bin Laden dan akan membuktikannya kepada musuh Islam,” katanya kepada AFP ketika dihubungi menerusi telefon dari Abyan, selatan Yaman.

Wilayah berkenaan ialah kubu kuat al-Qaeda.

“Mereka akan lihat apa yang mereka tidak pernah menjangka. Kami sedang menyiapkan rancangan untuk meneruskan jihad,” kata pemimpin itu yang enggan namanya disiarkan kerana alasan keselamatan.

“Kesyahidan Osama tidak bermakna jihad akan berakhir,” katanya.

Beliau juga berkata: “Osama sudah menyiapkan ‘seribu singa’ sepertinya yang akan mengikuti jejak langkahnya sehingga kami mencapai janji Allah kepada kami - Khalifah Islam.” Amerika Syarikat Isnin lalu mengumumkan pasukan komando elitnya menembak mati Osama dalam serangan terhadap vila mewahnya berhampiran Islamabad, ibu negara Pakistan.


Penduduk di bandar Mudia, Mahfad dan Loder di Abyan yang dikuasai al-Qaeda berkata, rangkaian penyokong kumpulan itu yang bertafakur dengan kematian Osama menggantung sepanduk hitam di kediaman mereka dan sepanjang jalan.

Cawangan al-Qaeda Saudi dan Yaman bergabung pada Januari 2009 untuk membentuk Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), sekali gus memberi ancaman serius kepada kepentingan Amerika Syarikat di Yaman dan juga Presiden Ali ABdullah Saleh. - AFP

No comments:

Post a Comment