Friday, September 9, 2011

30,000 pekerja kerajaan protes layanan buruk


Penunjuk perasaan melaungkan slogan dan mengibarkan bendera ketika mereka berarak melalui Parlimen New South Wales di Sydney, semalam. - AFP



SYDNEY 8 Sept. - Kira-kira 30,000 guru, jururawat, polis dan bomba berhimpun di bandar raya ini hari ini bagi memprotes layanan ke atas pekerja perkhidmatan awam.
Perhimpunan terbesar di Sydney sejak beberapa tahun itu diadakan bagi menentang rancangan kerajaan negeri New South Wales yang mahu memberhentikan 5,000 pekerja sektor awam dan menyekat peningkatan gaji pekerja awam pada 2.5 peratus.
Guru adalah kumpulan terbesar yang menyertai protes itu dengan sekolah-sekolah di seluruh Sydney ditutup, sementara pekerja feri turut mogok dan menyebabkan perkhidmatan di pelabuhan bandar itu lumpuh.
"Saya berdiri di sini dan melihat 30,000 orang dari seluruh negeri berada di depan saya untuk menghantar mesej yang jelas kepada Ketua Menteri, Barry O'Farrell.
"Hentikan pemotongan itu dan kembalikan hak kami. O'Farrell tidak akan mengambil apa-apa pun," kata Setiausaha Kesatuan New South Wales, Merk Lennon.
O'Farrell yang menjadi Ketua Menteri di negeri paling popular di Australia ini sejak Mac lalu, menyifatkan protes itu sebagai 'tidak berfaedah'.
"Ia hanya bertujuan untuk menghuru-harakan keadaan.
"Ini adalah cubaan kesatuan untuk menunjukkan kuasa mereka yang menyusahkan orang awam dan tidak berfaedah kerana dasar ini tidak akan berubah," katanya.
Menurut kesatuan, perhimpunan dalam skala sama turut diadakan di seluruh negeri ini. - AFP

Thailand rampas dadah RM98.7 juta



09/09/2011 2:28am

BANGKOK 9 Sept - Pihak berkuasa Thailand merampas dadah jenis heroin dan methamphetamine anggaran bernilai 33 juta dolar (RM98.7 juta) yang dipercayai telah diseludup dari negara Myanmar, semalam.
Menurut pasukan petugas tentera di sempadan berkata, mereka bertindak atas maklumat yang diterima dan menubuhkan tempat pemeriksaan di utara wilayah Chiang Rai pada lewat semalam.
Pasukan tersebut cuba menghalang sebuah lori pikap yang mencurigakan tetapi berjaya melepasinya.
Kemudian lori tersebut dijumpai terbiar bersama dadah yang mengandungi 95 kilogram methamphetamine dan 3.4 kilogram heroin tetapi suspek belum ditangkap.
Ini merupakan rampasan besar yang dipercayai bernilai kira-kira 33 juta dolar (RM98.7 juta).
Myanmar merupakan pengeluar candu kedua terbesar di dunia selepas negara Afghanistan dan pemberontak bersenjata di kalangan etnik minoriti di timur negara tersebut dipercayai menjadi pengedar utama dadah jenis heroin dan methamphetamine. – AFP

PAS: Kajian ilmiah pelajar UM rumus Mat Indera bukan komunis

KUALA LUMPUR, 8 Sept — PAS pusat meneruskan usaha membawa bukti mengenai Ahmad Indera, yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong dengan menegaskan kajian ilmiah seorang pelajar universiti menunjukkan beliau bukan seorang ahli komunis.
Kajian itu dihasilkan oleh Ayub @ Uiop Kassim dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada 1973.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, kajian bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” itu adalah kajian untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera.
Ahmad Zuhdi berkata, kajian itu bertujuan meneliti keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Ahmad yang turut dikenali sebagai “Mat Indera” dan peristiwa berdarah Bukit Kepong.
Dalam kenyataan terbaru semalam, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman merumuskan Mat Indera bukan seorang pejuang kemerdekaan, tetapi ahli PKM.
Ahmad Zuhdi menambah, meskipun kajian tersebut dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Nawi Idrus iaitu Ketua Pengawal Kampung dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan.
“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.
“Setakat kajian Pusat Penyelidikan PAS mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kajian tersebut, kata Ahmad Zuhdi, pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama iaitu “Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”
Selain itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.
“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas,” katanya.
Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Ibrahim Jubah dan Muhammad Yassin Muhammad iaitu bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.
Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.
Malah katanya, menurut pengkaji lagi pada muka surat 30, Muhammad Yassin begitu kritis dengan perkembangan politik tanah air, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.
Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
“Fakta ini sekali gus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.
Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.
Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.
Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, katanya,  Pusat Penyelidikan PAS berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal.
Ini, jelasnya sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” muka surat 357-358: “Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.
“Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu.”
Justeru, tegas Ahmad Zuhdi,  Pusat Penyelidikan PAS melihat kenyataan Samad itu hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dalam ceramahnya.

Isu Tauliah: Masjid, surau Selangor dilarang jemput ahli politik beri ceramah



September 08, 2011
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menolak rayuan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad untuk mendapatkan tauliah selaras dengan perkenan Sultan Selangor yang tidak memberi tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama kepada mana-mana ahli politik terutama di masjid dan surau negeri itu.
Sehubungan itu pengurusan surau dan masjid di negeri tersebut dilarang menjemput Khalid atau mana-mana ahli politik bagi menyampaikan kuliah dan ceramah agama.
“Mais dengan ini mengingatkan dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor supaya tidak menjemput, membenarkan atau memberikan peluang kepada YB Khalid dan mana-mana ahli politik untuk memberikan ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah Mais yang masih berkuat kuasa,” kata Pengerusi Mais Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam kenyataan itu, Adzib juga berkata, Khalid memang tidak mempunyai tauliah mengajar agama di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.
Malah Mais juga mengesahkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memanggil Khalid untuk memberi keterangan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, Khalid tidak boleh membuat apa-apa penyampaian agama termasuk tazkirah, ceramah, kuliah dan pengisian agama di masjid dan surau ekoran ketiadaan tauliah dari Mais.
“Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RN3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Adzib berkata, rayuan Khalid berhubung penarikan tauliah beliau ditolak pada mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Mais yang bersidang 23 Jun lalu.
Selain isu membabitkan kedudukan Khalid, Jais juga membatalkan tauliah yang diberikan kepada Adun Meru Dr Abdul Rani Osman bulan lalu.
Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Dr Rani tidak menolak kemungkinan tindakan Jais membatalkan tauliah kuliah agama yang dikeluarkan kepada beliau tahun lalu bermotifkan politik ketika pilihan raya umum ke-13.
Malah, Dr Rani mendedahkan beliau juga difahamkan ramai lagi pemimpin PAS Selangor dan dari negeri-negeri lain turut telah ditarik balik tauliah yang membenarkan penyampaian kuliah agama di negeri paling kaya di Malaysia itu.
Bagaimanapun beliau tiada jumlah angka yang tepat mengenai pemimpin-pemimpin PAS yang terbabit.
Selangor diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat sejak Mac 2008.
“Saya difahamkan ramai lagi pemimpin PAS sudah ditarik balik tauliah, tidak disambung tempoh kelayakan tauliah,” kata beliau.
“Saya fikir ia ada kaitan dengan politik, kerana pilihan raya sudah dekat... mereka sedar pemimpin-pemimpin PAS sudah semakin dekat dengan rakyat... mereka yang datang ke masjid dan surau, yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata beliau.
Difahamkan Badan Perhubungan PAS Selangor akan membuat pendirian pada  mesyuarat bulannya minggu depan.
Kelmarin, Jais mengenakan tuduhan ke atas Khalid kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah ketika Ramadan.
Perbicaraan ditetapkan 24 November ini Mahkamah Syariah Klang.
Khalid didakwa menyampaikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberi tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.
Dr Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu manakala Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam pula sebagai salah seorang timbalanya.
Adun Meru itu menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.
Jais mewajibkan mana-mana pihak walaupun berlatarbelakangkan pendidikan agama mendapatkan permit atau tauliah, dan ia akan diperbaharui setiap tahun.

Thursday, September 8, 2011

Sekurang-kurangnya 43 maut dalam nahas pesawat bawa pasukan hoki

FOTO diambil dari stesen televisyen Russia NTV menunjukkan anggota penyelamat sedang menjalankan operasi menyelamat selepas pesawat Yak-42 yang membawa pasukan hoki ais, Lokomotiv Yaroslavl ke ibu negeri Belaruss, Minsk terhempas kira-kira 300 kilometer timur laut Moscow sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Tunoshna, awal pagi tadi. - Foto EPA, BHARIAN




2011/09/08

TUNOSHNA: Sebuah pesawat yang membawa pasukan hoki ais untuk beraksi pada perlawanan pertama musim ini terhempas awal pagi tadi menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang maut termasuk beberapa pemain Olimpik dan bekas bintang NHL.

Pesawat Yak-42 yang membawa juara Russia tiga kali, Lokomotiv Yaroslavl ke ibu negeri Belaruss, Minsk terhempas kira-kira 300 kilometer timur laut Moscow.
Pakar bedah tempatan berkata, seorang pemain Russia dan pegawai terselamat daripada nahas berkenaan. - AFP

Tiga bulan sekeluarga bergelap



KAMPUNG KEBAKAT – “Tiga bulan kami hidup tanpa bekalan elektrik, bila malam memang gelisah anak–anak kepanasan sehingga terpaksa dibuka pintu seluas–luasnya, biar angin dari luar masuk, sejuk sikit rasanya,” luah seorang ibu, Rohani Taib, 41.

Rohani berkata, suaminya, Wan Mat Wan Bakar, 53, yang bekerja sebagai buruh Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) tidak mampu menjelaskan bil elektrik yang tertunggak berjumlah RM1,100.

“Pendapatan suami saya bukannya besar sangat, kena jelaskan pinjaman perumahan yang didiami kami anak beranak lagi, perbelanjaan sekolah anak–anak, memang kami terhimpit,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami sudah cuba sedaya upaya untuk menjelaskan bil tertunggak itu, namun kerana kesempitan hidup, wang yang dikumpul tidak mencukupi.

“Bulan Ramadan baru–baru ini, kami berbuka puasa dan bersahur guna pelita minyak tanah, walau tidak selesa, namun anak–anak reda, malah anak bongsu saya yang berusia tujuh bulan pun faham, langsung tidak meragam walau pun tinggal dalam gelap” katanya di rumahnya di perumahan Kebakat.

Bagaimanapun, kesusahan keluarga tersebut selesai selepas Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi membantu menjelaskannya.

Berikutan itu, tiga hari sebelum Aidilfitri, rumah mereka disambungkan semula bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Rohani berkata, sejurus bekalan elektrik disambung semula, anak-anak melompat kegembiraan kerana dapat menyambut Aidilfitri tanpa perlu bergelap dan dapat menonton televisyen selepas tiga bulan semua peralatan elektrik tidak berfungsi.

“Sempat juga saya masak juadah Aidilfitri, walau terkilan tahun ini tidak dapat membuat biskut raya kerana bekalan elektrik dipotong,” katanya yang mempunyai 10 anak, dua darinya belajar di kolej manakala enam lagi bersekolah menengah dan rendah.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Che Abdullah kerana dengan bantuannya, dia sekeluarga dapat beraya dengan sempurna.-SH

KJ tak layak 'lawan' Mat Sabu



ALOR SETAR - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) tidak layak berdebat dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kerana tidak setaraf.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, hanya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak bersemuka dengan Mat Sabu kerana masing-masing berwibawa untuk berbahas dalam isu yang dibangkitkan.

“Khairy hanya Ketua Pemuda, tetapi Mat Sabu dan Muhyiddin sama-sama Timbalan Presiden dan layak berdebat. Siapa Khairy nak lawan dengan Mat Sabu? Tak kan pula pasukan bola sepak Brazil nak lawan pasukan dari Tokai, Pendang, tarafnya jauh beza,” katanya, pada media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Mat Sabu sengaja membuat helah untuk berdebat dengan Muhyiddin, setelah dirinya dicabar oleh Khairy.

“Ini bukan helah, cuma orangnya tak sesuai,” katanya.

Menurutnya, Mat Sabu perlu diberi peluang oleh semua saluran media untuk mengemukakan fakta dan bukti berhubung kenyataannya itu, tetapi haknya dinafikan.

“Malangnya beliau tidak diberi peluang untuk huraikan fakta dia. Cubalah bagi peluang untuk beliau kemuka hujah dan bukti supaya rakyat tidak keliru,” katanya.

Kelmarin, Khairy tetap bertegas mahu berdebat dengan Mat Sabu dan mendesak pemimpin itu menyahut cabarannya, sebaliknya Mat Sabu tetap dengan pendiriannya berdepan dengan Muhyiddin.
-SH

PAS dakwa penduduk sementara pula jadi pemilih



KUALA LUMPUR, 8 Sept — Susulan isu pemastautin tetap, PAS kini mendedahkan kepincangan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mendakwa kali ini penduduk sementara pula didaftarkan sebagai pengundi.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat berkata, hasil pemeriksaan pihaknya telah berjaya membongkar satu lagi manipulasi dalam pilihan raya untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
“Kali ini kita bongkarkan tentang bagaimana penduduk sementara ini menjadi pengundi yang sah, penduduk sementara adalah sebelum menjadi pemastautin tetap... pemastautin tetap tidak boleh mengundi, apatah lagi penduduk sementara.
“SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekali lagi mencatat sejarah apabila penduduk tetap disahkan boleh mengundi, pemeriksaan kita di JPN mendapati pengundi ini memegang kad pengenalan berwarna hijau,” kata beliau pada sidang media di sini.
Menurut Suhaizan, pihaknya telah mengenal pasti beribu nama penduduk sementara yang telah didaftarkan sebagai pengundi, namun hari ini hanya mahu mendedahkan tiga nama terlebih dahulu.
“Mereka adalah Numi Syukri yang memegang kad pengenalan bernombor 880306-11-5096, semakan melalui JPN mendapati dia adalah penduduk sementara dan dia boleh mengundi di kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Hulu Besut dan Parlimen Besut.
“Yang kedua adalah Hasmidah Surahbil juga seorang penduduk sementara tetapi boleh mengundi di DUN Semenyih dan Parlimen Hulu Langat manakala Jamaluddin Tahir yang memegang kad pengenalan bernombor 840803-12-5475  yang boleh mengundi di DUN Bangi dan Parlimen Serdang,” katanya.
Ekoran pendedahan terbaru ini, beliau mendesak agar SPR dan JPN memberikan jawapan segera berhubung perkara itu.
“Kita minta JPN beri jawapan adakah benar penduduk tetap ini dibenarkan untuk mengundi, jika benar kemudian kita akan minta SPR pula untuk memberikan penjelasan.
“Kita juga desak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak adakan pilihan raya, tidak bubarkan Parlimen selagi perkara-perkara yang dituntut kami dan pihak yang lain diperbaiki. Jika mahu bubar Parlimen juga, kami akan minta rakyat sekali lagi turun dalam perhimpunan Bersih 3.0 sebelum pilihan raya umum ke-13,” katanya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut pula berkata senarai penduduk tetap yang diberikan hak mengundi melibatkan hampir keseluruhan kawasan negeri itu dengan bilangan yang terbanyak adalah warganegara Myanmar.
“Bermula dari Besut hingga ke Kemaman, kalau SPR tidak berpuas hati kita boleh jumpa, saya ada senarai.
“Ya, jumlah yang terbanyak adalah Myanmar iaitu seramai 5006 orang, ini yang terkini sehingga 24 Julai 2011. Daripada jumlah itu 2,272 berada di Kemanan dan lebih separuh daripada itu berada di Dun Kijal iaitu tempat menteri besar Terengganu,” katanya.
Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman berkata pihaknya tidak boleh menerima kekalahan dengan cara yang salah.
“Kalau kita bertanding di padang yang sama kemudian kita kalah ia tidak mengapa, tapi kalau kita kalah dengan tidak adil itu, kita tidak boleh terima,” katanya.
-INSIDER

Pemuda PAS: MB Johor macam British, label Mat Indera semberono

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Pemuda PAS menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor semalam mengenai Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan kontroversi terbaru mengenai tragedi Bukit Kepong, sebagai tidak rasional dan dibuat secara semberono.
Sehubungan itu Pemuda PAS Johor juga mengajak Datuk Abdul Ghani Othman agar berdialog dengan mereka mengenai pendirian beliau, yang dilontar pada sidang media semalam dan juga menerusi rencana tulisannya dalam dua akhbar harian tempatan hari ini.
“Dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi (menurut kajian dan pembacaan saya) satu keputusan muktamad adakah pejuang-pejuang berhaluan kiri dikira sebagai pejuang atau pengkhianat.
“Tindakan beliau (Ghani) melabel Mat Indera (Ahmad Indera) dengan semudahnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional,” kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Suhaizan bertanya, jika tindakan Mat Indera menyerang rumah pasung Bukit Kepong 1950 yang pentadbirnya ketika itu adalah British dan benderanya masih lagi bendera Union Jack, “saya mahu beliau beritahu kepada saya apakah status Tok Janggut yang turut mengambil tindakan yang sama sewaktu menentang penjajah British di Kelantan?”
“Yang ketiga, bagaimanakah Ghani(gambar) boleh bercanggah dengan penulisan berkaitan Mat Indera sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan dalam buku Pengukir Nama Johor yang beliau sendiri menjadi penaung dan penulis prakata bagi buku ini?
“Bahkan buku itu merupakan terbitan Yayasan Warisan Johor yang merupakan agensi kerajaan negeri itu sendiri? Bagaimana selama ini semuanya OK dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?” kata beliau lagi.
Suhaizan menambah, bahkan satu penemuan dan kajian baru tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong 1950 juga perlu dijadikan asas agar ruang kepada debat ilmiah dan kajian akademik dibuka semula, bukan dengan cara melabel secara semberono sepertimana dilakukan oleh Ghani.
“Saya amat mempertikaikan kenyataan dikeluarkan Ghani pagi ini.
“Saya sendiri sebagai anak jati negeri ini berasa amat kecewa dengan hujah-hujah dikemukakan beliau. Pada saya beliau seolah-olah berfikiran penjajah,” kata Suhaizan lagi.
Katanya, hujah-hujah yang beliau gunakan adalah saling “tak tumpah seperti alasan dan hujah dari seorang pagawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan air mata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu.”
“Saya juga cabar Ghani untuk berdialog secara terbuka di daerah Muar, Johor.” katanya lagi.
Dalam tulisannya hari ini, Ghani menegaskan Mat Indera merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai kegiatan dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Ghani berkata, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.
Semalam, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya.
“Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun,” kata Ghani lagi.
-INSIDER

MB Johor dakwa Mat Indera komunis, rancang serangan Bukit Kepong

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan Ahmad Indera atau lebih dikenali sebagai “Mat Indera” telah merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai “kegiatan haramnya” dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Dalam berita muka depan Berita Harian hari ini, yang bersandarkan pada rencana khas Ghani sendiri, Menteri Besar juga mendakwa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Mat Indera ketika ditangkap pada Oktober 1952 di Kampung Baru Seri Medan. — Foto ihsan Pengukir Nama Johor
Semalam, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya.
“Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun,” kata Ghani lagi.
Ghani menulis, apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan darurat pada 19 Jun 1948 semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan PKM diharamkan dan ramai ahlinya mengambil tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Umno.
“Perjuangan melalui parti dan gerakan Umno yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pascamerdeka di negara ini.
“Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata Ghani dalam rencananya.
Tulisan ini diterbitkan sehari selepas Ghani berkata, Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Semalam, Ghani menegaskan, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah ahli PKM dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
Dalam tulisan hari ini, Ghani menambah, tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
“Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.
“Kemuncak pembabitan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu ialah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950. Fakta yang diperoleh daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas itu terhadap pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong,” katanya lagi.
Ghani menulis, sebagai seorang daripada pemimpin Rejimen Ke-10 PKM, Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.
“Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.
“Sedangkan, ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara,” katanya.
Malah kata beliau, Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk daripada Malayan Union British sebelum itu.
Tambah beliau, komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan People’s Democratic Republic of Malaya yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.
“Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.
“Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan,” katanya.
Mat Indera ditangkap dua tahun selepas tragedi Bukit Kepong.
Sehubungan itu kata beliau, akhirnya Mat Indera berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan pengganas yang diharamkan sehingga ke hari ini.
“Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.
“Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan Umno yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi,
-INSIDER

Adakah Rosli Dhoby juga pengkhianat?

Sebelum tanggal 31 Ogos 1957, Malaya masih lagi dijajah oleh British. Jadi sesiapa saja yang bekerja dengan British semasa zaman tersebut mesti patuh dengan arahan penjajah British sama ada mereka suka atau tidak.

Jadi persoalannya sekarang adakah mereka yang mempertahankan kerajaan British pada zaman tersebut boleh dianggap sebagai hero mempertahankan tanah air atau mempertahankan
kerajaan penjajah British?

Adakah mereka dapat imbuhan atau penghargaan setelah pemerintah British meninggalkan Malaya?

Kita minta mereka yang pernah bertugas dengan pemerintah British dahulu fikir baik-baik mengapa mereka sanggup bermati-matian mempertahan pemerintahan penjajah British sehingga sanggup menangkap dan membunuh perjuang kemerdekaan selain komunis.

Sekali lagi kita tegaskan bahawa apa yang Mohamad Sabu maksudkan bukan menyokong perjuangan komunis tetapi membela nasib perjuang kemerdekaan yang di anggap sebagai pengganas atau pemberontak.

Jadi bagaimana pula dengan nasib Rosli Dhoby, adakah beliau juga dianggap pengkhianat negara kerana membunuh gabenor British?Adakah mata-mata atau polis yang berjaya menangkap Rosli Dhoby boleh dianggap sebagai hero?

Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang Sarawak yang menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau. Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir DuncanStewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember
1949.

Beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut atas permintaan ibu beliau yang diugut akan ditembak.

Fikir-fikirlah sendiri siapa yang kejam semasa zaman tersebut? Kita juga pernah mendengar kerajaan BN pernah mengampunkan pengganas komunis yang menyerah diri dan memberi beberapa keistimewaan sekiranya mereka meninggalkan perjuangan.

Kemungkinan tidak mustahil ada di kalangan mereka dalam pemerintah sekarang walaupun mereka tidak mengangkat senjata tetapi ideologi mereka masih ada terpahat dalam hati.

Kita minta para pengkaji sejarah kena perbetulkan kesilapan sejarah yang telah diresapi oleh unsur-unsur penjajah di mana para perjuang kemerdekaan dianggap pengkhianat dan mereka yang bekerja dengan pemerintah penjajah pula dianggap sebagai hero.

PAS juga minta para pengkaji sejarah menjalankan tugas mereka dengan jujur dan amanah agar rakyat tahu sejarah tanah air dengan sebenar dan tepat tanpa di pengaruhi oleh unsur-unsur politik perkauman dan sebagainya.

PAS sama sekali tidak pernah merestui perjuangan komunis dan minta agar pemimpin BN jangan memutar belitkan kenyataan Mat Sabu kononnya PAS menyokong komunis.

Penulis merupakan timbalan pesuruhjaya III PAS Sarawak dan yang dipertua PAS Miri.
MKINI

MAIS larang Khalid Samad mengajar agama di S'gor


Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak membenarkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak boleh membuat apa-apa penyampaian agama di masjid dan surau di seluruh Selangor kerana tidak mendapat tauliah dari MAIS.
Ia termasuklah tazkirah, ceramah, kuliah dan apa-apa pengisian agama, demikian menurut satu kenyataan MAIS hari ini.
Pengerusinya, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata rayuan Khalid berhubung tauliah beliau, ditolak melalui mesyuarat Jawatankuasa Tualiah MAIS yang bersidang pada 23 Jun 2011.

"Penolakan ini adalah selaras dengan perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak memberi tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama Islam kepada mana-mana ahli politik terutama di masjid dan surau di Selangor," katanya.
Oleh itu, MAIS dengan ini mengingat dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor supaya tidak menjemput, membenarkan atau memberi peluang kepada Khalid dan mana-mana ahli politik untuk memberi ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah MAIS yang masih berkuatkuasa.

Sementara itu , Khalid mendakwa sehingga kini beliau tidak menerima jawapan berhubung penjelasan yang dimintanya berhubung alasan tidak diberi tauliah kerana "kerana mempunyai rekod jenayah".

"Pada 30 Oktober 2009, JAIS kata lupakan, (kamu) tak diberi tauliah (sebab) tak layak," katanya sambil mendakwa tindakan JAIS itu dipengaruhi sikap MAIS dan campurtangan Umno dan BN.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Khalid juga menunjukkan gambar "bukti" yang didakwa menunjukkan Mohd Adzib menyokong BN.

Antara gambar yang didedahkan adalah Mohd Adzib bersama-sama dengan ahli parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan dalam satu majlis yang diadakan dalam kawasan perkarangan masjid ketika pilihan raya parlimen itu.

Dalam gambar tersebut, Kamalanathan memakai baju yang mempunyai logo dacing - simbol bagi BN.

"Saya minta dia jawab," kata Khalid yang juga yang dipertua PAS Shah Alam.

DAP sokong PAS gesa kaji semula sejarah merdeka



KUALA LUMPUR, 8 Sept: Kerajaan harus mengkaji sejarah berpandukan fakta, bukannya bermotifkan politik, kata dan Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok.
“Saya menyokong cadangan PAS supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula sejarah pejuangan kemerdekaan negara kita agar mereka yang telah benar-benar menyumbang kepada usaha tersebut dapat dikenali, dihormati dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, semua pelajar sejarah tahu pemimpin Umno bukannya satu-satunya pihak yang telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, sebagaimana disebarkan oleh pemimpin Umno selama ini.
Pada hakikatnya, kata beliau mereka yang telah berjuang mencapai kemerdekaan pada ketika itu termasuklah gerakan persatuan perniagaan, persatuan pekerja, pihak media daripada pelbagai bahasa, golongan intelektual, kumpulan kebudayaan, golongan Islam dan pihak berhaluan kiri.
Namun begitu, ujarnya media aliran utama tidak memberitahu orang ramai tentang sejarah yang sebenarnya selama ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Seputeh menambah, sesetengah aspek sejarah yang tidak dikehendaki dipadamkan manakala sesetengah tokoh yang terpilih diagung-agungkan.
“Sepastinya, sejarah sesebuah bukanlah sesuatu yang kemas dan rapi tetapi kompleks dan berkepelbagaian, apatah lagi bagi tanah air kita yang terdiri daripada berbilang etnik kaum,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menyaran kerajaan agar menerima cadangan PAS untuk mengkaji semula sejarah secara objektif, jujur dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak secara bersama.
“Umno harus hentikan tuduhan “buta sejarah” terhadap pihak lain semata-mata kerana ingin mengagung-agungkan sumbangan Umno.
“Kalau tidak, pada akhir harinya, Umno terbukti tidak berani mengakui hakikat sejarah,” katanya lagi.
-HARAKAHDAILY

'Sudah 12 hari saya diserang'



KUALA LUMPUR, 8 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memulakan hujah dalam forum malam tadi dengan melahirkan rasa pelik kenapa beliau diserang begitu rupa oleh Umno dan akhbarnya Utusan Malaysia dan media pro-Umno yang lain.

Menurutnya, malam tadi genap 12 hari 12 malam beliau diserang.

"Bermula 21 Ogos hari tu sehinggalah hari ini. Setengah jam warta berita, 10 minit serang saya.

"Saya pun kadang-kadang duduk depan cermin perhati diri saya, dimana mereka takut sangat kat aku ni. Kaya pun tidak, berpengaruh pun tidak," katanya disambut ketawa hampir 200 hadirin yang hadir.

Turut serta sebagai panel forum anjuran NGO - Free Public Forum M'sia (FPF) itu ialah Pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penulis blog, Hishammudin Rais.

Forum bertajuk 'Mat Indera - Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan' itu berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KSCAH).

"Ada yang cadang saya dibuang ke luar negara, ada yang cadang saya di ISA, ada yang cadang saya dibuang sahaja ke Laut China Selatan. Ugutan mcm-macam.

"Ini tidak lain kerana apa yang saya cakap dicampur dengan rekaan Utusan, apa yang saya tak cakap dilaoporkan sebagai cakap. Ini satu fitnah," katanya menjelaskan penyebab dirinya diserang.

Berhujah lanjut, Mohamad tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Mohamad Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukan pengkhianat bangsa seperti dituduh Umno.

Perkara itu juga menurutnya dinukilkan sendiri dalam buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera sebagai pejuang bangsa.

Sambil merujuk tragedi Bukit Kepong 1950 lalu, Timbalan Presiden PAS itu berkata anggota polis di Rumah Pasung yang diserang Mohamad Indera adalah polis British.

"(Kepada) polis jangan lah panik, pembahaginya adalah 31 Ogos 1957, serangan (Rumah Pasung) Bukit Kepong itu sebelum merdeka, anggota polis sebelum 1957 adalah polis British," katanya sebagai jawapan kepada anggota dan pesara polis yang dilaporkan Utusan sebagai tidak senang dengan kenyataannya.

Pecah tembelang


Dalam pada itu Hishammudin Rais pula berkata, Mohamad diserang kerana penipuan fakta kemerdekaan oleh Umno selama ini ibarat sudah pecah tembelang.

Kontroversi kenyataan Mohamad berhubung isu Mat Indera katanya telah menyebabkan masyarakat mula sedar sejarah sebenar kemerdekaan.

"Untuk Umno, (Bukit Kepong) inilah kiblat perjuangan mereka. Setiap tahun tunjuk Bukit Kepong.

"Sekarang Umno dan Utusan takut sebab tembelang pembohongan sudah pecah, kiblat mereka sudah runtuh," katanya sambil memuji keberanian Mohamad.

Umno juga jelasnya cuba memperbodohkan rakyat dengan tulisan sejarah versi mereka.

Sehubungan itu, isu Mat Indera ini perlu dijadikan momentum untuk rakyat melihat kembali sejarah negara.

Aziz Bari pula turut sependapat bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan bukan pengkhianat bangsa seperti didakwa Umno.

Katanya ianya turut dibuktikan dengan beberapa fakta sejarah dan testimoni ahli keluarganya.

"Sehingga kini belum ada kenyataan konkrit bagi menafikan hujah ini," katanya.

Dalam forum tersebut, kesemua mereka juga turut bersetuju agar sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini perlu juga mengiktiraf jasa golongan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang mengangkat senjata menentang penjajah, dan bukannya dari tokoh Umno semata-mata.
HARAKAHDAILY