Tuesday, May 17, 2011

RM30 sekilogram tarikan pencuri

TM Johor rugi RM800,000 apabila 312 kes curi kabel sejak awal tahun


SEDILI: Logam tembaga yang mampu dijual sebagai barangan lusuh pada harga RM30 sekilogram, menyebabkan kabel telefon milik syarikat penyedia khidmat telekomunikasi, Telekom Malaysia (TM) Berhad, di kawasan luar bandar negeri ini, menjadi sasaran mudah kecurian pihak tidak bertanggungjawab.
Sejak awal tahun ini hingga Mac lalu, TM Johor sudah berdepan dengan 312 kes kecurian kabel di seluruh negeri, menyebabkan kerugian kira-kira RM800,000 selain menimbulkan masalah perhubungan kepada ribuan orang ramai khususnya pengguna telefon talian tetap syarikat itu.
Pengurus Besar TM Johor, Mohd Roslan Mohd Rashidi, berkata sepanjang tahun lalu, kecurian kabel di Johor kelima terbesar membabitkan 1,059 kes yang menyebabkan kerugian kira-kira RM3 juta daripada RM33 juta dihadapi TM di seluruh negara.

Katanya, kecurian kabel telefon kelihatan selari dengan peningkatan harga tembaga dalam pasaran, apabila menunjukkan peningkatan ketika harga tembaga meningkat naik, kerana pencuri mengambil kesempatan sebagai sasaran mudah.

“Kecurian menjadi-jadi jika harga tembaga dalam pasaran naik kerana pihak tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan mudah, walaupun hakikatnya mereka menyusahkan orang ramai.

“Malah, akibat tindakan mereka juga, penduduk di kawasan terjejas bukan saja terputus hubungan, malah TM menanggung kerugian dari segi masa, tenaga dan wang untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala," katanya kepada Berita Harian di sini.
Mohd Roslan berkata, daripada kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu, 705 kes berlaku di sekitar Johor Utara menyebabkan kerugian RM1.7 juta, manakala bakinya 354 kes di sekitar Johor Selatan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta.

Katanya, antara daerah yang menjadi penyumbang terbesar kes kecurian dilaporkan adalah Batu Pahat diikuti Kluang, Tampoi/Permai, Senai/Kulai dan Muar dengan kebanyakan kes berlaku di kawasan kampung dan pedalaman.

“Kebiasaannya kecurian didalangi penagih dadah kerana terdesak mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah dan cara paling mudah adalah mencuri tembaga dalam kabel telefon dicuri itu.

“Malah, jumlah kabel yang dicuri berkenaan juga adalah bergantung kepada kenderaan yang dibawa mereka termasuk menggunakan motosikal dan lori yang boleh mengangkut lebih daripada 50 meter kabel untuk diambil tembaga kemudian dijual kepada pembeli logam," katanya.

Mohd Roslan berkata, TM berusaha menangani kecurian yang berlaku dengan mengambil langkah proaktif termasuk memasang sistem penggera (i-watch) yang kini sudah meliputi 80 peratus kabel yang menghubungkan kepada pusat jika berlaku kecurian.

Katanya, TM juga turut mendapatkan kerjasama daripada polis untuk melakukan rondaan terhadap kawasan panas yang sering dilaporkan berlaku kecurian, selain membina terowong di bawah tanah serta memasang jeriji di petak berisi kabel dalam tanah.

INFO
Kes kecurian kabel TM


  • Kecurian kabel menimbulkan masalah perhubungan kepada ribuan orang ramai khususnya pengguna telefon talian tetap syarikat itu

  • RM33 juta kerugian dilamai TM seluruh negara akibat kecurian kabel

  • 705 kes berlaku di sekitar Johor Utara menyebabkan kerugian RM1.7 juta, manakala bakinya 354 kes di sekitar Johor Selatan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta

  • Kebiasaan kes didalangi penagih dadah
  • Berita Harian

    Bom meletup diYala

    ANGGOTA tentera menutup mayat sami Buddha ketika menyiasat kejadian serangan bom di Yala, hari ini. Dua sami terbunuh dan dua anggota tentera cedera ketika bom meletup ketika sami itu mengutip derma. Serangan itu muncul pada ketika jumlah kejadian meningkat di wilayah yang kaya dengan hasil getah -Foto Reuters
    Berita Harian

    Kejatuhan harga minyak membimbangkan

    SINGAPURA: Harga minyak dalam dagangan Asia merudum hari ini, berikutan permintaan yang membimbangkan dan dijangka berterusan sehingga memberi kesan terhadap sentimen bahan bakar itu.


    Kontrak utama New York, minyak mentah light sweet untuk Jun jatuh 26 sen kepada AS$97.11 setong dan minyak mentah Brent North Sea selesa pada 14 sen kepada AS$110.70.
    Kedua-dua kontrak itu ditutup lemah dalam dagangan Amerika Syarikat (AS), semalam. - AFP
    Berita Harian

    Liwat II: Pembelaan Akan Temuramah Najib, Rosmah

    Oleh SALWA SHA’ARI

    KUALA LUMPUR: Peguam Sankara Nair yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa barisan pembelaan kes liwat Ketua Pembangkang itu akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najid Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Menurut Sankara, tindakan tersebut bagi menentukan sama ada Najib dan Rosmah akan dipanggil sebagai saksi pembelaan kepada Anwar, yang telah diarahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    “Najib dan Rosmah telah disenarai pendekkan dalam 30 saksi daripada 72 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada kami,” katanya.

    Bagaimanapun, Sankara tidak dapat menyatakan secara terperinci bila temuramah tersebut akan diadakan kerana ia akan diaturkan oleh pihak pendakwaan.

    Beliau juga memberitahu, selain Najib dan Rosmah, pihaknya akan memanggil dua saksi pakar iaitu masing-masing dari Australia dan India.

    Difahamkan, saksi dari Australia tersebut ialah pakar dalam bidang asid deoksiribonukleik (DNA) Dr Brian Leslie McDonald manakala pakar dari India adalah pakar forensik, Profesor Dr C. Damodaran.

    Ketika diminta untuk mengulas mengenai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang memanggil Anwar untuk membela diri, Sankara berkata, keputusan itu adalah mengecewakan.

    “Kita berasakan tiada kes yang perlu dijawab oleh Anwar tetapi mahkamah telah membuat keputusan sebegitu dan kita akan menyediakan pembelaan.

    “Sebelum ini mahkamah telah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, maka selepas ini kita akan mengemukakan pula saksi-saksi pembelaan. Ini bukan penamat, hanya di peringkat pertengahan,” katanya.

    Anwar, 63, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang didakwa berlaku antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh Ketua Pembangkang tersebut di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

    Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 manakala perbicaraan bermula pada 3 Febuari 2010.

    Secara keseluruhan, seramai 26 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang memakan masa selama 59 hari.

    Ini merupakan pendakwaan kes liwat kali kedua terhadap Anwar, yang telah menghadapi pertuduhan sama pada tahun 2000.

    Semasa itu, Anwar didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar dan dihukum penjara sembilan tahun selepas disabitkan bersalah. Bagaimanapun, hukuman tersebut diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan empat tahun kemudian.

    mStar Online

    Liwat II: Anwar Diarah Bela Diri

    Liwat II: Anwar Diarah Bela Diri

    KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa berlaku tiga tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan tersebut pada Isnin, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Anwar.

    Pada penghakiman yang mengambil masa selama hampir dua jam untuk dibacakan, Mohamad Zabidin berkata, beliau mendapati Mohd Saiful yang merupakan saksi utama dan saksi pertama (SP1) kes telah berkata benar mengenai kejadian liwat itu.

    “Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pihak pembelaan cuba untuk mengatakan bahawa SP1 tidak mempunyai kredibiliti dan dikatakan bukan seorang Muslim yang baik serta datang dari keluarga yang berpecah belah dan seorang pengkhianat.

    “Bagaimanapun, saya berpendapat semua dakwaan tersebut sebagai tidak relevan dan tidak mempunyai merit dalam memutuskan kredibiliti SP1,” katanya.

    Beliau juga menolak hujahan barisan pembelaan Anwar yang mengatakan bahawa kelakuan Mohd Saiful yang tidak meminta bantuan sedangkan boleh berbuat demikian dan menghadiri majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada keesokan hari selepas kejadian menunjukkan kejadian liwat tidak berlaku.

    “Berdasarkan kepada fakta dalam perbicaraan, tidak sukar untuk memahami mengapa SP1 bertindak demikian walaupun tidak rela diliwat.

    “SP1 adalah seorang anak muda yang bekerja dengan tertuduh, iaitu idolanya sejak kecil dan tertuduh memberikan layanan istimewa kepadanya,” katanya.

    Selain itu, Mohamad Zabidin berkata, keterangan Mohd Saiful yang terperinci mengenai apa yang berlaku di antara dia dan Anwar pada hari kejadian turut disokong oleh saksi pakar yang mengesahkan berlaku penetrasi di bahagian dubur SP1.

    “Berdasarkan sampel yang diperoleh dari bahagian rektrum Mohd Saiful, berlaku penetrasi zakar yang meninggalkan air mani di bahagian terbabit,” katanya.

    Beliau juga menolak kemungkinan sampel tersebut tercemar kerana berdasarkan keterangan, sampel tersebut telah dimaterai secepat mungkin selepas ia diambil.

    Pada penghakimannya, Mohamad Zabidin juga berpendapat, bukti sokongan seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyokong kehadiran SP1 di unit kondominium tersebut pada hari kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan yang didaftarkan di atas nama bapa tunang SP1 pada waktu itu.

    Sehubungan itu, Mohamad Zabidin memutuskan bahawa Anwar dan Mohd Saiful berada di unit kondominium tersebut pada masa kejadian liwat itu didakwa berlaku.

    "Atas alasan di atas, saya dapati pihak pendakwaan telah berjaya untuk membuktikan elemen seperti pertuduhan.

    “Oleh itu, tertuduh diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapi,” katanya.

    Beliau seterusnya menetapkan 6 hingga 30 Jun depan untuk Anwar yang memilih untuk membela diri menerusi keterangan bersumpah berbuat demikian selaku saksi pembelaan pertama.

    Anwar kelihatan tenang semasa mendengar keputusan tersebut dan sesekali dilihat memandang ke arah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang duduk bersama anak sulung mereka, Nurul Izzah di galeri awam.

    Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

    Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

    Turut berada di mahkamah sebagai tanda sokongan ialah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dan isteri serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

    Juga berada di mahkamah ialah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) M. Manoharan (Kota Alam Shah), Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas) dan Ronnie Liu (Pandamaran).

    Pada prosiding itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mengetuai barisan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohd Hanafiah Zakaria, CK Wong dan Noorin Badaruddin.

    Barisan pembelaan pula diketuai oleh peguam Karpal Singh dan peguam-peguam Sankara Nair, Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, Marissa Christopher Fernando dan Ram Karpal Singh.

    mStar Online

    Liwat II: Anwar Tidak Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah

    Liwat II: Anwar Tidak Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah

    KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjangkakan bahawa beliau akan dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    “Keputusan itu tidak mengejutkan walaupun mengikut pendapat saya dan peguam, kes itu tidak boleh diteruskan dan tidak mempunyai asas,” katanya semasa ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

    Anwar yang hadir bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah bagaimanapun meluahkan rasa kesalnya terhadap keputusan tersebut.

    “Keputuan hakim seolah-olah beliau terikat sepenuhnya dengan hujahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Seolah-oleh hakim telah memutuskan untuk menghukum,” tambah beliau.

    Ketika ditanya perancangan seterusnya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu, beliau akan terus memperjuangkan kebenaran di peringkat pembelaan, yang akan bermula pada 6 Jun depan.

    “Saya akan memanggil semua saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    “Saya juga akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Datuk Mumtaz Jaafar (bekas atlet negara) serta saksi-saksi lain yang akan mempertahankan kebenaran,” katanya.

    Anwar juga memberitahu, rasional mengapa Najib dan Rosmah dipanggil adalah kerana kedua-dua mereka didakwa telah memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan kes itu.

    Anwar, 63, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang didakwa berlaku antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

    Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat. Anwar didakwa untuk kali pertama bagi kesalahan itu pada 7 Ogos 2008 dan kes berprofil tinggi itu mula dibicarakan pada 3 Februari 2010.

    Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar untuk membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Anwar.

    Pada penghakimannya, Mohamad Zabidin memutuskan Mohd Saiful yang merupakan saksi utama adalah seorang yang boleh dipercayai dan kredabilitinya tidak terjejas.

    Selain itu, Mohamad Zabidin juga berpendapat, keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pakar membuktikan bahawa kejadian penetrasi telah berlaku selain Anwar dan Mohd Saiful berada di unit tersebut pada waktu kejadian.

    mStar Online

    Lelaki ditabal Sultan Sulu kena tahan


    KOTA KINABALU: Selepas tiga bulan menghilangkan diri dipercayai melarikan diri daripada ditahan polis, lelaki yang dilaporkan ditabalkan sebagai Sultan Sulu di di Likas dekat sini, awal Februari lalu, berjaya ditahan lewat petang kelmarin. 


    Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, 54, ditahan sejurus tiba di rumahnya di Likas kira-kira jam 6 petang dari Kuala Lumpur.
    Sumber berkata, suspek tidak melawan ketika ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Khas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kepayan di sini untuk disoal siasat.
    Semalam, polis memperoleh perintah menahan reman suspek selama beberapa hari. 

    Minggu lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata, polis Sabah terpaksa meminta kerjasama Interpol kerana suspek dipercayai sudah meninggalkan negeri itu. 

    Polis yang menjalankan siasatan sejak Februari lalu sudah mengemukakan hasil siasatan kepada Bukit Aman tetapi diminta meneliti beberapa aspek tertentu berkaitan laporan istiadat pertabalan lelaki itu sebagai Sultan Sulu. 

    Februari lalu, polis mengambil keterangan 18 orang berhubung siasatan kes itu kerana ia diklasifikasikan sebagai serius dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam negeri. 
    Bagaimanapun, Datu Mohd Akjan dilaporkan mendakwa, majlis itu bukan pertabalan, sebaliknya kenduri kesyukuran selepas beliau bersetuju menerima tawaran ‘kerajaan sementara Sulu' untuk dipilih sebagai Sultan Sulu Ke-33. 

    Penulis dakwa dicabul Strauss-Kahn 10 tahun lalu

    pix_gal0PARIS: Pengarah urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn yang ditahan di New York kelmarin atas tuduhan cuba merogol, kini didakwa pula melakukan serangan seks di Perancis.

    Seorang peguam Perancis berkata, semalam anak guamnya sedang menimbangkan sama ada untuk mengemukakan tuduhan terhadap Strauss-Kahn di atas insiden yang didakwa berlaku hampir sedekad lalu itu.
    Peguam itu, David Koubbi, berkata anak guamnya, Tristane Banon yang juga seorang penulis mendakwa insiden itu berlaku ketika beliau menemubual Strauss-Kahn, seorang bekas menteri kewangan Perancis di pangsapurinya pada 2002.
    “Kami sedang menimbangkan untuk memfailkan tuduhan,” kata Koubbi dalam satu mesej pesanan ringkas kepada Reuters, semalam.

    Strauss-Kahn, seorang tokoh parti Sosialis, sebelum ini dianggap calon pilihan bagi pilihan raya presiden tahun depan.

    Beliau di didakwa di New York hujung minggu lalu atas tuduhan menyerang secara seksual seorang pekerja hotel.

    Peguam Strauss-Kahn berkata, anak guamnya akan mengaku tidak bersalah.
    Media Perancis termasuk Liberation, Le Parisien dan Le Figaro semalam memuatkan butir terperinci insiden yang berlaku pada 2002 itu.

    Dalam satu temubual bersama televisyen pada 2007, Banon yang berusia 22 tahun ketika itu, berkata Strauss-Kahn memegang tangannya dengan paksa ketika ditemubual dan cuba menggoda beliau.

    “Insiden itu berakhir dengan pergelutan.

    “Kami bergelut di atas lantai, saya menendangnya ketika beliau bertindak menanggalkan coli dan cuba membuka jeans saya,” katanya dalam temubual di televisyen itu.

    Di bawah undang-undang Perancis, dakwaan cuba merogol boleh difailkan sehingga 10 tahun selepas dakwaan serangan berkenaan. – Reuters , bharian

    Kapal Malaysia diserang lagi




    KAPAL MV Finch milik Malaysia berlepas dari Pelabuhan Piraeus, Greek pada 11 Mei lalu.


    KUALA LUMPUR - Sebuah kapal misi bantuan kemanusiaan yang ditaja Malaysia untuk rakyat Palestin di Gaza dihalang dua bot tentera laut Israel yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah awal pagi Isnin waktu Malaysia.
    Kesemua 12 penumpang dan krew, termasuk dua wartawan dari Malaysia bagaimanapun terselamat selepas tentera laut Mesir datang membantu dan mengiringi kapal MV Finch ke pelabuhan Al Arish di Mesir, menurut wartawan Bernama Mohd. Faizal Hassan yang berada di atas kapal itu.
    Kapal bantuan tersebut dengan jurumudi ialah Kapten Jalil Mansor telah berlepas dari Pelabuhan Piraeus, Greece, pada 11 Mei lalu dengan membawa muatan paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.
    Ujarnya, inisiatif kemanusiaan itu dibiayai oleh Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
    Kosmo! Online - Negara

    Tubuh ketua IMF diperiksa polis




    Dominique Strauss-Kahn (dua dari kanan) dibawa oleh anggota-anggota polis keluar dari sebuah balai polis di New York pada Ahad lalu.


    NEW YORK - Tubuh Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn kelmarin diperiksa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bukti berhubung dakwaan serangan seksual yang dilakukannya terhadap seorang pengemas bilik hotel di sini.
    Strauss-Kahn, 62, yang berkahwin dan memiliki empat orang anak sebelum ini memiliki reputasi sebagai penggoda agung wanita.
    Beliau dijadualkan dihadapkan di mahkamah AS semalam berhubung dakwaan melakukan serangan seksual, cubaan merogol dan mengurung mangsa secara haram selepas wanita itu memasuki bilik hotelnya berhampiran Times Square di sini untuk mengemaskannya.
    Peguamnya, William Taylor berkata, ketua IMF itu ditangkap pada Sabtu lepas dan ditahan lebih 24 jam di sebuah balai polis di sini.
    Mangsa kemudian dapat mengecamnya dalam satu kawad cam
    Sekumpulan jurugambar merakamkan beliau dibawa ke sebuah balai polis di sini dalam keadaan tangannya digari seperti penjenayah lain.
    Menurut Taylor, anak guamnya kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menjalani pemeriksaan forensik atas arahan pendakwa raya bagi mendapatkan lebih banyak bukti dalam kes tersebut.
    Beliau dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini awal semalam.
    Seorang lagi peguam Strauss-Kahn, Benjamin Brafman berkata, Pengarah Urusan IMF berkenaan akan menentang semua dakwaan terhadapnya dan menafikan melakukan sebarang kesalahan.
    Ketua IMF itu ditangkap kurang empat jam selepas serangan seksual tersebut didakwa berlaku.
    Beliau ditahan semasa berada dalam pesawat yang dijadual menuju ke Paris ketika pesawat berkenaan hendak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.
    Polis berkata, Strauss-Kahn bersendirian ketika beliau mendaftar masuk ke hotel mewah Sofitel di sini pada tengah hari Jumaat lalu.
    Sementara itu, ketua IMF berkenaan yang memakai kot hujan hitam dan kemeja cerah, dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini semalam.
    Beliau muncul di mahkamah berkenaan di hadapan Hakim Melissa Jackson untuk seketika sebelum dibawa meninggalkan kamar mahkamah melalui pintu belakang.
    Setakat ini, masih tidak jelas mengapa Strauss-Kahn meninggalkan kamar mahkamah tersebut tetapi peguam-peguamnya tidak kelihatan bersamanya sekali gus menunjukkan kesnya masih belum siap untuk perbicaraan.
    Semasa beberapa minit di dalam kamar mahkamah, Strauss-Kahn duduk di atas bangku tempat suspek penjenayah menunggu sebelum mereka muncul di hadapan hakim.
    Beliau tidak kelihatan digari ketika di dalam mahkamah.
    Strauss-Kahn berada di mahkamah untuk membuat pengakuan tidak bersalah dan bagi memohon ikat jamin. - Agensi
    Kosmo! Online - Dunia

    Adik Thaksin bertanding rebut jawatan PM




    YINGLUCK SHINAWATRA dikerumuni jurugambar di ibu pejabat Parti Puea Thai, Bangkok semalam.


    BANGKOK - Adik perempuan bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra semalam mengumumkan akan bertanding sebagai calon parti pembangkang untuk merebut jawatan perdana menteri Thailand pada pilihan raya umum Julai depan.
    Pencalonan wanita Yingluck Shinawatra, 43, oleh parti yang pernah dipimpin Thaksin, Parti Puea Thai menjadikannya wanita pertama bertanding merebut jawatan tertinggi itu selain mengesahkan peranan Thaksin dalam senario politik Thailand walaupun beliau kini tinggal dalam buangan.
    "Saya bersedia berjuang menurut undang-undang dan saya meminta peluang untuk membuktikan diri saya. Saya meminta kepercayaan anda dan anda semua pernah memberikan kepercayaan kepada abang saya," katanya dalam satu perhimpunan parti Puea Thai di sini.
    Keputusan parti itu yang sebulat suara memilih Yingluck sebagai calon utama mereka dibimbangi akan meningkatkan ketegangan di Thailand terutamanya di kalangan mereka yang tidak mahu Thaksin kembali ke negara itu. - AFP
    Kosmo! Online - Dunia

    Monday, May 16, 2011

    Zakiah Anas Enggan Kembali Kepada Suami



    Zakiah Anas.
    PETALING JAYA: Personaliti TV3, Zakiah Anas menegaskan bahawa dia tidak akan kembali ke pangkuan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib sekalipun lelaki tersebut berubah sikap.
    Zakiah juga mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada Mohamad Yusof selain tiada persefahaman dalam perkahwinan yang dibina sejak 18 tahun lalu.
    Sehubungan itu, wakil hakam (penimbangtara) Zakiah, Muhammed Shouib Awalludin membuat kesimpulan menasihatkan Mohamad Yusof untuk menceraikan isterinya dengan lafaz talak satu.
    Perkara itu dinyatakan oleh Muhammed Shouib, yang merupakan seorang bekas kadi dalam laporan hakam tersebut yang dibentangkan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.
    Dalam majlis hakam, Mohamad Yusof diwakili oleh seorang imam masjid, Mohd. Azizi Mohd. Yaakob.
    Sekiranya Zakiah nekad untuk tidak kembali ke pangkuan suami, Mohamad Yusof pula nekad untuk tidak mahu melafazkan cerai.
    Mohamad Yusof berhasrat untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan tersebut kerana dia masih sayang kepada Zakiah dan tidak mahu krisis rumah tangga mereka memberi kesan terhadap dua anak lelaki mereka.
    Menurut Mohd. Azizi, selain itu Mohamad Yusof ingin menyelamatkan Zakiah yang kian hanyut dengan memberi perumpamaan seperti `sampan yang hanyut dalam lautan luas’ kerana meninggalkan rumah tanpa izinnya.
    Ekoran itu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan agar wakil hakam itu untuk sekali lagi mencuba mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga pasangan tersebut.
    Bagaimanapun tiada tarikh yang ditetapkan untuk perintah tersebut dilaksanakan.
    Pada prosiding itu, Zakiah diwakili peguam syarie Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof tidak diwakili peguam syarie.
    Keretakan rumah tangga pasangan tersebut bermula sejak tahun 2009 apabilaZakiah, 45, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di MahkamahRendah Syariah Shah Alam.
    Dia kemudiannya meminda permohonan itu sebanyak dua kali, iaitu kepada fasakh dan taklik sebelum menarik semula permohonan pada 1 September 2009.
    Serentak dengan penarikan itu, Mohamad Yusod, 49, menarik semula permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkannya.
    Pada Januari 2010, Zakiah sekali lagi memfailkan permohonan untuk berceraisecara baik yang berlanjutan sehingga kini.
    Zakiah dan Mohamad Yusof dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15 tahun.
    mStar Online

    Kes polis tembak remaja berulang lagi?


    Keluarga lelaki ditembak tidak puas hati


    PETALING JAYA: Keluarga Mohamad Johari Abu Bakar, lelaki yang ditembak mati di Cyber Valley, Dengkil, kelmarin, membuat laporan polis menuntut badan bebas ditubuhkan kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
    Laporan dibuat ibu mangsa, Salmah Mohamed Shariff, 41, di Balai Polis Damansara, di sini, kira-kira jam 4 petang, mendakwa wujud beberapa kenyataan bercanggah diterima daripada PDRM.

    Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang bertindak sebagai jurucakap keluarga itu berkata, keluarga mangsa mendesak polis mengeluarkan kenyataan telus mengenai keadaan sebenar kejadian.

    “Keluarga mangsa ragu dengan kenyataan dikeluarkan polis seperti dilaporkan kebanyakan akhbar kerana terdapat beberapa fakta bercanggah.

    “Usia sebenar Mohamad Johari adalah 17 tahun manakala kenyataan dikeluarkan polis menyatakan mangsa berusia 20-an. “Ini bermakna mangsa masih remaja dan polis tidak sepatutnya melepaskan tembakan terhadapnya,” katanya.


    Sivarasa berkata, keluarga mangsa juga mendakwa tangan kanan Mohamad Johari patah sedangkan sebelum ini tangannya tidak patah.

    “Sehingga kini, keluarga mangsa masih menunggu laporan lengkap bedah siasat dijalankan terhadap Mohamad Johari dan setakat ini, keluarga itu belum dihubungi pihak hospital mengenai bedah siasat dijalankan. “Kami akan memohon mahkamah mengeluarkan arahan membolehkan bedah siasat kali kedua dilakukan untuk mengetahui punca sebenar tangan kanan mangsa patah,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi berkata, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan.

    “Masih terlalu awal untuk keluarga mempersoalkan kredibiliti polis kerana siasatan masih dijalankan.

    “Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan menyebabkan masyarakat keliru mengenai kedudukan sebenar kes berkenaan,” katanya.
    myMetro

    Rakyat Palestin berontak peringati 'hari malapetaka'


    BANTAH PEMBENTUKAN ISRAEL: Para penduduk Palestin mengusung seorang lelaki yang cedera apabila askar Israel melepaskan tembakan di sempadan Erez, di utara Jaluran Gaza, semalam. -- Foto AFP

    JALURAN GAZA: Kereta kebal tentera Israel semalam melepaskan dua tembakan dan tembakan mesingan ketika lebih 1,000 rakyat Palestin berarak menuju sempadan Gaza-Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 52 orang cedera.
    Perarakan itu diadakan sebagai memperingati ulang tahun ke-63 sejarah hitam Palestin dicerobohi ketika perang yang menjurus kepada pembentukan Israel pada 1948.Rakyat Palestin menganggap Hari Kemerdekaan Israel semalam sebagai 'Nakba' atau malapetaka bagi mereka.Lebih 760,000 rakyat Palestin yang telah diusir keluar daripada kediaman mereka semasa pencerobohan itu.Menurut saksi, para penduduk Gaza telah mara ke arah sempadan Erez sebelum askar Israel melepaskan tembakan.Para pegawai polis Hamas, yang mengawal Gaza, telah cuba menghalang para penunjuk perasaan daripada menghampiri sempadan itu, namun gagal.Mereka melaungkan 'Tidak kepada pendudukan!' dan 'Revolusi untuk membebaskan Palestin.'Perarakan yang serupa dilaporkan di Bukit Golan, dengan pelarian Palestin dari Syria ditembak apabila menghampiri sempadan Israel.Menurut media Israel, empat orang telah ditembak mati sementara sehingga 20 orang dilaporkan cedera.Penghulu kampung Majdal Shams, Encik Dolan Abu Salah, berkata antara 40 dengan 50 penunjuk perasaan telah mara ke sempadan Israel di Bukit Golan.'Apa yang saya tahu, mereka telah memecahkan pintu masuk sempadan,' katanya.Di sempadan Israel dengan Lebanon pula, tentera Israel telah menembak mati lagi empat orang penunjuk perasaan proPalestin dan mencederakan lagi 11 orang.Lebih 5,000 penunjuk perasaan turut berarak di bandar selatan Rafah di Gaza, yang bersempadankan Mesir.Mengulas perkembangan semalam, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata:'Saya kesal wujud kumpulan pelampau di kalangan penduduk Arab Israel dan di negara-negara jiran yang telah menjadikan hari penubuhan negara Israel kepada hari hasutan, keganasan dan kemarahan.'Apabila Israel dibentuk pada 1948, sekitar 160,000 rakyat Palestin yang kekal menetap di negara itu dan kini dikenali sebagai penduduk Arab Israel.Golongan itu kini seramai 1.3 juta atau sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Israel.Perarakan serupa telah turut dilaporkan di Baitulmakdis timur dan Tebing Barat.Jumaat lalu, rakyat Mesir telah berhimpun di Dataran Tahreer, sebagai menunjukkan sokongan kepada para penduduk Palestin.Mereka telah melaungkan slogan 'Kami korbankan jiwa dan raga demi Palestin'.Pegawai Mesir berkata pasukan keselamatan akan menghalang penunjuk perasaan daripada mendekati sempadan untuk mengelakkan pertempuran dengan Israel yang mempunyai sejarah pertikaian dengan Mesir pada 1967 dan 1973. -- AFP, AP, Reuters.

    Halijah derita penyakit misteri





    Aminah Baharum (kiri) menunjukkan penyakit ganjil yang dihidapi anaknya, Halijah Awi di Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah, Perak, semalam.


    KAMPUNG GAJAH 15 Mei - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
    Begitulah penderitaan ditanggung Halijah Awi, 30, yang menderita penyakit ketumbuhan misteri di seluruh badannya sejak berumur lima tahun.
    Ketumbuhan misteri yang semakin merebak itu juga menyebabkan wanita dari Kampung Pulau Tiga Kiri di sini, kini hanya mampu melihat dengan sebelah mata kerana mata kirinya membengkak, seolah-olah matanya jatuh ke bawah.
    Akibat penyakit misteri itu juga, Halijah terpaksa berhenti sekolah ketika darjah enam kerana tidak tahan ejekan kawan-kawan sekolah.
    "Sejak saya dilahirkan, penyakit ini sudah berada di dalam badan saya dan ketika umur lima tahun, saya menyedari penyakit ini telah merebak ke seluruh anggota badan dan rasa gatal-gatal itu lama-kelamaan naik ke muka dan merebak ke bahagian mata.
    "Biji-biji ini amat menyiksakan saya kerana ia amat panas dan kadang-kadang terasa amat gatal sehingga saya terpaksa berendam di dalam air selama lima jam untuk meredakannya," kata Halijah ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
    Menurut Halijah, dia kini cuma berkurung di dalam rumah kerana merasa sangat segan dengan jiran-jirannya disebabkan ketumbuhan tersebut.
    "Saya juga ingin mempunyai ramai kawan dan mendirikan rumah tangga seperti orang lain tetapi apakan daya, orang tidak mahu berkawan dengan saya kerana takut melihat rupa saya yang hodoh ini," katanya diiringi air mata.
    Sementara itu, ibunya, Aminah Baharum, 54, berkata, banyak usaha telah dibuat untuk mengubati penyakit misteri anaknya itu termasuk berjumpa dengan bomoh tetapi tidak juga sembuh.
    "Halijah pernah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dua tahun lalu tetapi penyakitnya bukan sahaja tidak sembuh, malah semakin merebak ke seluruh badan sehingga tangannya juga membengkak.
    "Lebih membimbangkan saya apabila dua lagi anak saya seakan-akan mendapat penyakit sama apabila mereka turut mengalami gatal-gatal pada badan," ujarnya.
    Menurut Aminah, dia sudah kehabisan ikhtiar apatah lagi dengan kekangan kewangan kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan selepas kematian suaminya dua tahun lepas.
    "Bantuan dari JKM itu untuk menampung perbelanjaan kami pun tidak cukup. Kadang-kadang kami terpaksa berjimat cermat dengan makan nasi berlaukkan sambal kelapa sahaja untuk meneruskan hidup," katanya.

    Dibelasah polis


    Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID


    KESAN cedera di badan Muhammad Farhan yang didakwa dipukul bertubi-tubi dengan cota oleh seorang anggota polis di Jalan Pegoh-Alor Gajah, Melaka, semalam.


    MELAKA 15 Mei – Bukan sahaja dituduh terlibat dalam lumba haram yang didakwa tidak dilakukannya, seorang remaja berusia 22 tahun mendakwa dia dibelasah bertubi-tubi menggunakan cota oleh seorang anggota polis di Jalan Pegoh, di sini semalam.
    Remaja terbabit, Muhammad Farhan Abdul Malek mendakwa, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, dia sedang menunggang motosikal seorang diri menuju ke rumah seorang saudaranya di Pegoh.
    Menurutnya, ketika melalui Jalan Pegoh, dia terkejut apabila tiba-tiba melihat satu kon polis melayang entah dari mana sehingga mengenai seorang penunggang motosikal lain di hadapannya.
    “Saya cuba mengelak motosikal terbabit, tetapi tidak sempat menyebabkan saya melanggarnya sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini hari ini.
    Dia yang berasal dari Taman Kebaya, Alor Gajah di sini menambah, ketika menahan kesakitan, seorang anggota polis tiba-tiba datang ke arahnya dan mengheretnya ke tepi jalan sambil menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.
    Menurut Muhammad Farhan, polis berkenaan turut mendakwa sedang membuat sekatan jalan raya dan menuduhnya merempit serta hendak melanggar sekatan jalan raya walaupun tiada sekatan polis atau penghadang dibuat sebelum kejadian.
    “Tanpa usul periksa, polis itu terus memukul belakang badan saya beberapa kali menggunakan cota tanpa menghiraukan kesakitan yang saya alami akibat kemalangan.
    “Setelah melemparkan kata-kata kesat kepada saya selama kira-kira 30 minit, polis berkenaan dan rakannya menghantar saya ke Hospital Alor Gajah menaiki kereta peronda polis dan meninggalkan saya di sana,” dakwanya lagi.
    Tambahnya, selepas mendaftar sebagai pesakit, dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang automotif di sini terus menghubungi sepupu dan bapanya memaklumkan kejadian itu.
    Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Malek Enden, 57, berkata, akibat kejadian itu anaknya kini mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah tangan dan patah tulang rusuk belakang badan dipercayai akibat dipukul dengan cota.
    Katanya, dia kesal dengan sikap anggota polis itu yang bertindak tanpa usul periksa terhadap anaknya.
    Berikutan kejadian itu, Abdul Malek kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pegoh

    Nak masuk Gaza diarah patah balik



    SEKATAN jalan raya yang sebelum ini dilakukan anggota polis kini diambil alih tentera bermula semalam, memperketatkan kawalan di sempadan Rafah berikutan sambutan 'Nakba'   menyebabkan kumpulan wartawan Media Prima gagal memasuki Palestin walaupun mempunyai surat kebenaran daripada kerajaan Mesir.
    SEKATAN jalan raya yang sebelum ini dilakukan anggota polis kini diambil alih tentera bermula semalam, memperketatkan kawalan di sempadan Rafah berikutan sambutan 'Nakba' menyebabkan kumpulan wartawan Media Prima gagal memasuki Palestin walaupun mempunyai surat kebenaran daripada kerajaan Mesir.

    Tentera Mesir soal petugas Media Prima gara-gara segulung rokok daun

    KUMPULAN wartawan Media Prima yang cuba memasuki Gaza sehari sebelum rakyat Palestin mengingati ulang tahun ke-63 Nakba semalam diarah berpatah balik oleh tentera yang mengadakan sekatan jalan selepas Terusan Suez di sebelah Gurun Sinai, kurang 100 kilometer dari pelabuhan Al Arish.
    Sebelum itu, kami ditahan dan beg digeledah pihak berkuasa di sekatan jalan pertama di Ismaliya sebelum melalui jambatan merentasi Terusan Suez, gara-gara segulung rokok daun dan tembakau yang dibawa salah seorang anggota kumpulan itu.
    Dalam kejadian jam 4 petang waktu tempatan itu, pihak berkuasa menahan dan menyoal penulis, jurugambar NSTP, Rosdan Wahid, wartawan TV3, Mohd Harris Hazri Abdul Halim dan jurukamera, Ahmad Azizi Adnan, mengenai tembakau itu selama 20 minit yang disangka ganja dan dilarang di negara Arab.

    Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Al Arish sebelum ditahan di dua sekatan di sebelah Gurun Sinai sebelum diarah pulang ke Kaherah atas faktor keselamatan kerana rancangan penunjuk perasaan untuk mengadakan protes besar-besaran di sepanjang sempadan Rafah, semalam.

    Jumaat lalu, Berita Harian yang berkesempatan membuat liputan di Medan Tahrir menyaksikan ribuan rakyat Mesir berkumpul di medan yang menjadi titik tolak kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada saudara mereka di Palestin sempena mengingati ulang tahun ke-63 Nakba yang disambut setiap 15 Mei.

    Hari Nakba atau hari ‘bencana’ merujuk kepada pengusiran paksa lebih 760,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka bagi membolehkan penubuhan negara Yahudi pada 1948 dengan dianggarkan seramai 4.7 juta pelarian Palestin berasal dari keturunan mereka yang diusir.
    Difahamkan, sekurang-kurangnya 20 bas yang membawa penunjuk perasaan Mesir yang berhasrat mengadakan protes di sempadan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza diarah berpatah balik ke Kaherah oleh pihak tentera yang kini membuat sekatan menuju ke sempadan wilayah konflik itu.

    Beberapa kereta perisai dan trak tentera dengan anggota tentera kelihatan di beberapa sekatan jalan utama, termasuk sekatan jalan sebelum melalui Suez.

    Dalam perjalanan pulang, kami menyaksikan berduyun-duyun kenderaan yang menuju arah Al Arish ditahan dan diperiksa ketat oleh tentera termasuk beberapa bas yang membawa kumpulan aktivis yang bercadang mengadakan protes di sempadan Rafah.

    Kerajaan baru selepas rejim Mubarak dilaporkan pro perjuangan Palestin dan menjadi orang tengah kepada perjanjian perdamaian antara Hamas dan Fatah yang dipersetujui minggu lalu, bagi membolehkan penubuhan kerajaan perpaduan dan memberi laluan kepada pilihan raya parlimen diadakan di Palestin.

    Agensi berita AFP melaporkan ribuan polis Israel dikerahkan ke Jerusalem dan beberapa kawasan lain untuk mengawal keadaan dan meningkatkan tahap keselamatan selepas seorang remaja terbunuh dalam pertempuran menjelang hari mengingati Nakba. 

    13 rakyat Palestin ditembak


    Tentera Israel serang penunjuk perasaan cuba masuk kawasan Yahudi


    MAJDAL SHAMS, Bukit Golan: Tentera Israel menembak mati 13 penunjuk perasaan Palestin yang cuba memasuki kawasan diduduki Yahudi itu dari tiga sempadan berasingan iaitu Syria, Lubnan dan Gaza semalam. 

    Insiden berkenaan berlaku pada hari ‘Nakba’ (bencana) iaitu hari penubuhan Israel pada 1948 yang menyebabkan beratus ribu warga Palestin diusir keluar dari negara mereka.
    Di sempadan Lubnan dengan wilayah diduduki Yahudi, 10 warga Palestin ditembak mati apabila ditembak tentera Israel yang menghalang mereka memasuki wilayah berkenaan.
    Pasukan keselamatan Lubnan berkata lebih 100 orang cedera dalam insiden berkenaan yang berlaku di Maroun al-Ras. 

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau berharap insiden berkenaan tidak akan mencetuskan keganasan yang lebih dahsyat. 

    Media Syria melaporkan tentera Israel menembak mati dua orang daripada berpuluh-puluh pelarian Palestin yang cuba memasuki Bukit Golan dari Syria. 

    Di Semenanjung Gaza pula, tentera Israel menembak ke arah 82 penunjuk perasaan yang menghampiri pagar yang memisah wilayah dikuasai Hamas itu dengan Israel. 
    Dalam satu insiden berasingan, tentera Israel berkata pihaknya menembak mati seorang lelaki yang didakwanya cuba memasang bom berhampiran sempadan. 

    Di Tel Aviv, seorang pemandu lori warga Israel berbangsa Arab merempuh kereta dan pejalan kaki, membunuh seorang lelaki dan mencederakan 17 orang. 

    Polis masih menyiasat sama ada insiden itu adalah satu kemalangan atau satu serangan. 

    Saksi berkata pemandu berkenaan ditahan. 

    Di Tebing Barat yang diduduki Israel, remaja Palestin dan tentera Israel bertempur beberapa jam di pusat pemeriksaan yang memisahkan Ramallah, pusat pentadbiran Palestin dan Baitulmaqdis. – Reuters 

    Tujuh sekeluarga ditahan berhubung kes tetak dan rompak


    JOHOR BAHARU: Seorang pemandu teksi dan kesemua enam anggota keluarganya ditahan polis berhubung kes kejadian tetak, membawa senjata berbahaya di tempat awam dan merompak stesen minyak di sini semalam.
    Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata tujuh sekeluarga itu ditahan polis pada kira-kira 2.05 petang di Taman Pelangi selepas berjaya dipujuk oleh polis supaya menyerah diri.

    Katanya insiden bermula dengan kejadian seorang lelaki berusia 25 tahun ditetak di kepala dengan sebilah pedang oleh bapa saudaranya yang berusia 49 tahun di rumah bapa saudaranya di Bandar Baru Permas Jaya pada 9 malam, Jumaat lalu.

    Mangsa yang menerima empat jahitan membuat laporan polis pada 12.05 tengah hari semalam, katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Bertindak atas laporan itu, polis telah pergi ke rumah suspek namun mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi telah membawa isterinya yang berusia 37 tahun, bayi perempuan 16 bulan serta empat anak lelaki masing-masing berusia lapan, 12, 14 dan 15 tahun menaiki teksi menghala ke Bandar Baru Permas Jaya.

    Keputusan kes liwat Anwar hari ini



    KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga tahun berlanjutan, kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

    Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah akan memberi keputusan pagi ini selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak di akhir pendakwaan sama ada akan membebaskan Anwar atau memanggil bela diri.
    Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
    Anwar yang kini dihimpit kontroversi rakaman video seks pernah didakwa atas tuduhan serupa iaitu meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada 2000 namun selepas disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara empat tahun, hukuman terhadapnya diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.
    Seramai 27 orang saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 3 Februari tahun lalu dengan saksi pertama ialah pengadu sendiri, Mohd. Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar ketika menghantar fail yang tertinggal di pejabat.
    Mohd. Saiful dalam keterangannya juga mendakwa tidak membuang air besar selama dua hari selepas kejadian sebelum membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008.

    Sunday, May 15, 2011

    Buang hantu percuma sebulan


    BALING - Penduduk yang mempunyai penyakit misteri sanggup menunggu lebih dari empat jam untuk mendapatkan rawatan di pekan Baling apabila sekumpulan pengamal perubatan tradisional menawarkan perkhidmatan percuma sebulan.

    Rawatan yang dijalankan dari jam 9 sehingga 12 malam itu diketuai pengamal perubatan, Norhisham Abdul Halim dan 12 pembantu.

    Pengamal perubatan, Yop Musa Talip, 50, berkata, rawatan berkenaan bertujuan membantu pesakit yang menderita berikutan gangguan syaitan dan jin.

    “Rawatan ini menggunakan ayat suci al-Quran sepenuhnya, namun begitu semua ini hanya bergantung kepada keizinan-Nya,” katanya.

    Rawatan ini terpaksa dilanjutkan sehingga 21 Mei ini berikutan permintaan orang ramai.

    Yop berkata, kehadiran mereka mendapat kelulusan pihak berkuasa sebelum memulakan sesi perkhidmatan.

    Menurutnya, antara rawatan yang dilakukan adalah membuang saka, menghalau gangguan jin dan syaitan, pengurangan ketagihan dadah dan sebagainya.

    “Di sini, kami akan membantu sedaya yang mungkin untuk membuang semua ‘benda’ yang berada di dalam badan pesakit,” katanya.

    Pesakit yang juga bekas penagih dadah, Zulkifli Abdul Rahman, 42, berkata, dia sudah menagih dadah selama 10 tahun.

    “Bila saya dengar ada kumpulan yang boleh mengurangkan ketagihan dadah, saya datang ke pekan ini untuk mendapatkan rawatan.

    Alhamdulillah, selepas tiga hari mendapatkan rawatan, ketagihan saya berkurangnya dan kini bebas daripada dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

    Kebanyakan penduduk setempat menggelar kumpulan berkenaan sebagai Buang Hantu apabila kejayaan mereka mengubati penyakit misteri.
    SH

    Enam minit sekali cerai di Arab Saudi

    JEDDAH: Perpisahan berlaku setiap enam minit di Arab Saudi menjadikan negara itu mencatatkan peratusan paling tinggi kes pasangan bercerai berbanding negara lain di rantau Teluk iaitu 79 peratus sehari.


    “Ini menunjukkan institusi keluarga benar-benar memerlukan bimbingan,” kata pakar kaunseling keluarga, Abdullah al-Sadhan, dalam kursus latihan kaunseling menggunakan telefon di Jeddah.
    “Kaunseling menggunakan telefon penting untuk pasangan muda yang berkahwin yang mencatatkan jumlah paling tinggi dalam kes perceraian,” kata kaunselor pembimbing keluarga itu.
    Akhbar Saudi Gazette memetik al-Sadhan sebagai berkata, 30 peratus pasangan yang menerima kaunseling menggunakan telefon kembali kepada keputusan mereka untuk bercerai sementara perkhidmatan di Jeddah menghasilkan kadar kejayaan lebih tinggi dengan 34 peratus. – Agensi
    Berita Harian Online