Tuesday, May 24, 2011

Jangan jadikan isu bangsa sebagai ideologi: Abdul Hadi




KULAIJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepada seluruh kaum agar tidak menjadikan semangat ke‘bangsa’an sebagai ideologi untuk meraih sokongan dan kedudukan sehingga menzalimi kaum lain.

Beliau berkata, masyarakat majmuk yang berbilang kaum adalah kelebihan kepada negara ini untuk membina kekuatan dan khususnya dalam perkongsian ilmu pengetahuan.

“Tidak salah jika kita sayang bangsa masing-masing tetapi yang penting kita tidak boleh zalimi orang lain dan tidak berlaku adil.

“Islam sendiri membenarkan agama lain menjalankan kepercayaan masing-masing. Setiap agama ada hak masing-masing yang berlainan dan ada juga hak yang sama dengan agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi turun padang bersama Jawatankuasa Pas Kawasan Kulai dan DAP Parlimen Kulai untuk bertemu masyarakat setempat di pasar malam Taman Putri Kulai, di sini, kelmarin.

Abdul Hadi berkata, negara majmuk ini memerlukan dasar pentadbiran yang adil dan pemerintahan berkebajikan bagi memastikan hak dan kepentingan setiap rakyat terpelihara tanpa mengira perbezaan kaum.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru kepada seluruh rakyat Johor melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan tidak terus memilih kerajaan yang didakwa gagal memerintah.

“Hari ini kita alami banyak masalah misalnya isu kenaikan harga minyak dan kejadian jenayah yang tidak terkawal kerana kerajaan yang dipilih tidak dapat menjalankan pemerintahan dengan betul.

“Kita mahu rakyat pilih pemimpin yang boleh tunaikan tanggungjawab dan ini sudah terbukti oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir beberapa negeri dan tiada seorang pemimpin yang ditangkap kerana penyelewengan.

“Rakyat perlu berubah kerana kita tidak boleh buat perubahan yang besar jika rakyat sendiri tidak berubah,” katanya.
SH

Nyaris jadi mangsa arus




SEREMBAN – Ibu kepada tiga kanak-kanak yang hanyut di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, baru-baru ini nyaris menjadi mangsa kepala air ketika sedang mencari anaknya di kawasan air terjun hutan rekreasi itu, Rabu lalu.

Wan Azlela Wan Abdullah, 33, berkata, ketika kejadian, dia bersama beberapa anggota keluarga dan saudara mara sedang mencari anaknya, Nur Syaza Shakinah, 2, yang masih belum ditemui sehingga kini sejak dihanyutkan arus deras, 3 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, dia seorang diri mahu turun ke sungai untuk mencari anaknya, sementara yang lain mahu berehat.

“Ketika mahu menurunkan kaki, tiba-tiba datang kepala air dari arah atas dan ketika itu air terus naik mendadak.

“Mujur saya belum turun ke bawah dan sempat berlari ke belakang apabila air sungai naik secara mendadak selepas berlakunya kepala air,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Wan Azlela berkata, kejadian tersebut berlaku dengan sekelip mata, di tambah pula tiada petanda akan berlaku kepala air.

“Ketika kejadian cuaca amat cerah, tiada hujan dan keadaan air sungai amat cetek sekali.

“Mujur sewaktu kejadian kepala air itu tiada seorang pengunjung pun yang datang bermandi-manda,” katanya.

Wan Azlela berkata, insiden kepala air itu juga bukan berlaku sekali, malah berlaku empat hari berturut-turut.

“Bukan sahaja hari itu, tetapi esoknya, diikuti hari Jumaat dan Sabtu turut berlaku kejadian kepala air.

“Kepala air paling besar sekali pada Jumaat malam, apabila air naik mendadak sehingga mencapai paras jambatan di kawasan itu,” katanya.

Berikutan itu, dia bimbang sekiranya kejadian menimpa anaknya itu berulang lagi dan berharap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk mengelakkan pengunjung diancam fenomena kepala air itu.
SH

Anak dakwa Felda peroleh pinjaman KWSP RM6 bilion, tuntut penjelasan ~ Kembara Jr @Blogspot


KUALA LUMPUR, 24 Mei — Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Felda memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa agensi persekutuan itu memperoleh pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dipercayai mahu menampung masalah kewangan dialami.
Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, pihaknya mendapat maklumat Felda telah berbuat demikian dan oleh itu mahu pengurusan Felda dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menjelaskan sama ada benar atau tidak perkara itu.
Beliau berkata mendapat maklumat itu daripada minit mesyuarat daripada Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) yang menyebut “permohonan sara hidup yang dibincangkan untuk dinaikkan telah dibawa ke mesyuarat gabungan JKKR dan telah dipersetujui tetapi setelah dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Perunding Peneroka, jawapannya adalah dukacita, tidak dapat dipertimbangkan kerana Felda telah meminjam dari KWSP untuk pembangunan lot peneroka sebanyak RM6 bilion.”
Bagaimanapun katanya, beliau tidak tahu bila pinjaman sejumlah itu diperoleh.
Justeru tambah Mazlan, pihaknya mempersoalkan tindakan Felda itu sambil menyifatkan ia tidak wajar selain menuntut penjelasan.
“Belum pun reda isu kemerosotan rizab Felda, terdapat pula laporan yang menyebut bahawa Felda telah meminjam daripada KWSP sebanyak RM6 bilion. Dakwaan Anak ini jika benar, ia satu perkara amat memeranjatkan.
“Untuk apa wang RM6 bilion ini dipinjamkan? Bagi tujuan apa? Kerajaan mesti membuat penjelasan segera kerana ia memberi implikasi sangat buruk kepada pengurusan Felda keseluruhannya,” katanya pada sidang media di sini.
Sebelum ini Mazlan mendakwa Felda mengalami kemerosotan rizab tetapi telah dinafikan oleh Ahmad dan kerajaan.
“Alasan-alasan yang digunakan Datuk Ahmad Maslan berhubung kemerosotan rizab Felda yang merosot dari RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 ialah ia telah digunakan untuk menampung kos peneroka.
“RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta untuk pinjaman rumah, RM253 juta untuk Tabung Kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk bangunan baru Felda, namun laporan Felda meminjam daripada KWSP, ini amat mengejutkan dan kita mahu tahu apa yang berlaku,” kata Mazlan.
Tegas ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu, sekiranya dakwaan itu tidak benar satu penafian perlu dibuat pengurusan Felda dan Ahmad.
“Kita mahu tahu kebenaran,” kata beliau.
Pada sidang media hari ini, Mazlan meminta agar Felda menjelaskan tentang status anak-anak peneroka yang meneruskan pengajian di Pusat Latihan Kejuruteraan Penerbangan Malaysia (METC).
“Anak menerima aduan mengenai status anak peneroka yang belajar di METC, walaupun peluang belajar di sana satu langkah yang dialu-alukan tetapi ia mesti telus dan Felda mesti jawab persoalan ini.
“Yang pertama apakah status terkini program itu? Berapa kos sebenar untuk seorang pelajar? Apakah jenis lesen yang akan mereka dapat? Adakah benar dakwaan kos yang dibayar Felda terlalu mahal? Setakat manakah pelajar METC ini mendapat pentauliahan yang melayakkan mereka untuk pergi lebih jauh,” soalnya.
Anak dakwa Felda peroleh pinjaman KWSP RM6 bilion, tuntut penjelasan ~ Kembara Jr @Blogspot

Ruang udara Greenland pula ditutup

REYKJAVIK (Iceland): Sebahagian ruang udara Greenland ditutup semalam ekoran debu ledakan gunung berapi di Iceland.
Jurucakap penguasa ruang udara Greenland, Naviair, Cik Helle Kogsbell, berkata langkah itu diambil kerana debu dari gunung berapi Grimsvoetn, yang meletup lewat Sabtu lalu, telah mula merebak ke wilayahnya.Denmark negara pertama selain Iceland yang telah menutup ruang udaranya ekoran letupan gunung berapi itu.Namun, penguasa penerbangan Iceland semalam berkata ia berharap dapat membuka semula lapangan terbang utama negara itu lewat semalam.'Keadaan nampak lebih baik hari ini (semalam) dan kami berharap dapat membuka semula lapangan terbang Keflavik hari ini atau malam ini (semalam). Kami kurang pasti waktunya tetapi sekurang-kurangnya kami sedang meninjau kemungkinan itu,' kata jurucakap penguasa penerbangan, Cik Hjordis Gudmundsdottir.Pihak berkuasa negara-negara Eropah lain pula sedang memantau keadaan di tengah-tengah kebimbangan letupan terbaru itu akan menjejas penerbangan di serata benua itu, sebagaimana berlaku tahun lalu.Pakar keselamatan Eropah telah memberi amaran debu itu boleh merebak ke Scotland hari ini, sebelum sampai di Britain dan Perancis serta Sepanyol dua hari kemudian.Pengendali lapangan terbang Norway, Avinor, pula semalam berkata ia telah menghentikan penerbangan antara Norway dengan Svalbard di Arctic.'Awan debu akan sampai ke ruang udara perairan yang memisahkan Norway dengan Svalbard. Oleh itu, tiada penerbangan ke atau dari Svalbard hari ini (semalam),' kata jurucakap Avinor, Encik Ove Narvesen.Letupan gunung berapi Eyjafjallajoekull di Iceland pada 14 April tahun lalu menyebabkan ruang udara Eropah ditutup enam hari dan 100,000 penerbangan dibatalkan kerana kebimbang debunya boleh merosakkan enjin pesawat.Kerugian pembatalan itu mencapai AS$1.7 bilion ($2.1 bilion).Seorang pakar geologi di Universti Iceland, Encik Magnus Tumi Gudmundsson, berkata sukar meramalkan bila letupan gunung berapi Grimsvoetn akan berhenti. -- Bloomberg, Reuters, AFP.Cyberita Online Luar Negara

AS kesal Presiden Yaman langgar lagi perjanjian letak jawatan

WASHINGTON: Amerika Syarikat melahirkan rasa kesal atas tindakan Presiden Yaman, Encik Ali Abdullah Saleh, mengetepikan lagi perjanjian meletak jawatan.

Mengulas tindakan Encik Saleh, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, berkata:

'Kami menggesa beliau agar segera mengotakan komitmen beliau akan memindahkan kuasa secara aman dan teratur dan memastikan kehendak rakyat Yaman yang sah dipenuhi. Masa untuk bertindak ialah sekarang.'

Kelmarin, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menggantung usahanya bertindak sebagai perantara bagi menyelesaikan krisis politik Yemen selepas Encik Saleh enggan menandatangani perjanjian itu.

Perjanjian itu membolehkan beliau berundur dalam tempoh 30 hari dan diberi imuniti daripada didakwa.

Ini kali ketiga beliau menarik diri daripada menandatangani perjanjian itu pada minit-minit terakhir.

'Amerika Syarikat sangat kesal oleh keengganan berterusan Presiden Saleh menandatangani inisiatif Majlis Kerjasama Teluk,' kata Cik Clinton.

Di ibu kota Sanaa kelmarin, para penyokong Encik Saleh berhimpun menentang perjanjian itu.

'Kami menolak tindakan menandatangani inisiatif Teluk dan penggulingan kuasa ke atas (pemerintah) yang sah,' sorak mereka.

Pada masa sama, penunjuk perasaan anti-pemerintah berhimpun di bandar raya itu menggesa Encik Saleh berundur dengan segera.

Mereka mengugut akan mempertingkat bantahan mereka dengan berarak menuju bangunan- bangunan pemerintah.

Pembangkang mendakwa lebih 170 orang terbunuh akibat tindakan pasukan keselamatan sejak awal Januari lalu.

Dalam pada itu, Cik Clinton turut mengecam tindakan penyokong bersenjata Encik Saleh mengepung kedutaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Sanaa, menyebabkan Duta Amerika, Encik Gerald Feierstein, dan para diplomat asing lain terperangkap, kelmarin.

Mereka bagaimanapun telah dapat dibawa keluar menggunakan helikopter. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Pilu lihat adik tertimbus di depan mata




SEBAK: Awie ditenangkan bapa saudaranya di Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur, kelmarin. -- Foto HARIAN METRO



TANAH RUNTUH DI RUMAH ANAK YATIM DI SELANGOR
SEPANG: Seorang abang tidak dapat melupakan detik-detik melihat adik bongsu dan rakan-rakannya tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang kelmarin.
Mohd Awie Abdul Latiff, 12 tahun, ketika menceritakan kejadian itu, berkata dia bingkas berlari menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan rakan-rakan.Namun, adiknya, Allahyarham Mohd Riezman, sembilan tahun, tidak berbuat demikian kerana menunggu dua lagi rakannya sebelum mereka terperangkap di bawah runtuhan tanah.'Saya tarik tangan adik ketika kami lari menyelamatkan diri, tapi kaki adik tersangkut pada besi khemah dan dia jatuh. Saya tarik lagi tangannya tapi runtuhan batu jatuh ke arah kami dan menimpa kepala adik.'Saya mahu mengorek tanah mencari adik, namun orang ramai menghalang. Saya terus menangis kerana hanya mampu melihat adik tertimbus depan mata,' katanya.Dalam kejadian tanah runtuh sekitar 2.30 petang Sabtu lalu di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felda Semungkis, Batu 14, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.Enam belas terkorban dalam tragedi itu manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan selamat.'Walaupun tak sempat menyelamatkan Iman (Mohd Riezman), saya bersyukur kerana dapat memenuhi permintaan arwah yang mahukan hadiah jam tangan dan minyak wangi semasa hari lahirnya Januari lalu.'Saya membelanjakan RM56 ($22) membeli jam tangan 'Ben 10' dan minyak wangi yang dibeli melalui rakan senior. Iman sangat gembira dan selalu memakai jam tangan itu,' kata Mohd Awie, anak kelima daripada enam beradik yang sudah kematian bapa.Dia menambah, ibunya, Cik Intan Anisah Alang, 40 tahun, mahu mengambilnya daripada rumah anak yatim tersebut dan tinggal semula bersama keluarga di Taman Bukit Mewah, Kajang.Sementara itu, Cik Intan Anisah, berkata arwah anaknya itu sempat menghantar kad sempena Hari Ibu baru-baru ini.'Sudah hampir setahun saya tidak bertemu dengannya. Kali terakhir kami berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.'Dalam pertemuan itu, Iman sempat menghadiahkan sehelai tudung kepada saya. Dia juga hadiahkan kad Hari Ibu yang cukup bermakna buat saya,' katanya.Seorang lagi mangsa, Mohd Harris Izzudin, 11 tahun, yang cedera di kaki kanan dan tangan kiri akibat tersepit, berkata semuanya berlaku terlalu cepat.Menurutnya, beliau sedih melihat keadaan rakan yang terperangkap dan menjerit kesakitan serta meminta pertolongan.'Saya lihat dan dengar dengan jelas, ada yang melaungkan azan, menyebut Allahuakbar dan menjerit meminta diselamatkan.'Ada yang sebahagian badan sudah tertimbus melambai tangan meminta tolong, namun keadaan menjadi senyap selepas 30 minit kemudian,' katanya. -- Utusan Malaysia, Harian Metro, BHM.Cyberita Online Luar Negara

DNA Babi Dalam Tepung Kek Jenama Terkenal


PETALING JAYA: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.
Lebih memeranjatkan, blog Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com turut mendakwa bahawa bahan-bahan berkenaan kini dikatakan digunakan oleh rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.
Laman web www.halal.gov.my milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.
Jakim turut menyenaraikan bahan makanan itu digunakan rangkaian kedai kek berkenaan.
"Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menggunakan produk keluaran Puratos Malaysia Sdn. Bhd. dikehendaki menukar produk tersebut kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf dan mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.
"Selain itu, mereka perlu melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri," menurut laman web itu, Isnin.
Khamis lalu, tiga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di Kluang atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi DNA babi di kedai minuman, Kluang Rail Coffee tanpa meletakkan pernyataan kewujudannya pada label pembungkusan kopi itu.
Ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. (Rail Passion) tersebut iaitu Lim Jit Chiang, 37, dan abangnya, Lim Jit Tong, 42, serta sepupu mereka, Lim Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading pula menghadapi tuduhan menyedia dan membungkus kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel untuk jualan kepada syarikat Rail Passion.
mStar Online : DNA Babi Dalam Tepung Kek Jenama Terkenal

Panggilan SOS Selamatkan Kelasi Daripada ‘Kapal Neraka’


PORT KLANG: Lima belas kelasi kapal terkandas dalam sebuah kapal kontena dan hidup dalam keadaan yang amat dahsyat sejak lebih setahun yang lalu meminta bantuan supaya ada pihak membebaskan mereka daripada tinggal atas ‘kapal neraka.
13 rakyat Bangladesh, dua warga Indonesia hidup dengan hanya memakan beras, sayuran dan kacang dal turut diarahkan tidur di atas dek terbuka kapal tersebut sejak ia berlabuh di pelabuhan Northport sejak 4 Mei tahun lalu.
Keadaan yang menyedihkan di atas kapal MV Banga Biraj menyebabkan salah seorang anak kapal cuba membunuh diri sementara seorang lagi mendakwa isterinya di Dhaka telah mengancam untuk meninggalkannya.
Anak kapal yang terdesak itu terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan Malaysia kerana mereka sangat keletihan dan sudah tidak mampu menanggung kesengsaraan mental yang dahsyat atas apa yang berlaku ke atas mereka.
Lebih memburukkan keadaan adalah apabila, semua anak kapal tidak menerima gaji sejak lapan bulan yang lalu.
Kapal mereka terlibat dalam satu pertikaian undang-undang yang tidak menemui jalan perdamaian selepas terlibat dengan satu kemalangan di Northport.
mStar Online : Panggilan SOS Selamatkan Kelasi Daripada ‘Kapal Neraka’

Erdogan nafi dalangi skandal

BURSA 23 Mei – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menafikan dakwaan parti beliau mendalangi skandal video seks yang memaksa enam anggota kanan sebuah parti pembangkang nasionalis meletakkan jawatan beberapa minggu sebelum pilihan raya umum negara ini.
“Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) tidak mempunyai kaitan dengan skandal video seks itu,” katanya ketika berkempen di bandar Bursa menjelang pilihan raya 12 Jun ini.
Enam ahli Parlimen Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) pimpinan Devlet Bahçeli meletakkan jawatan kelmarin, selepas satu laman web memberi amaran akan menyiarkan rakaman video yang menunjukkan mereka melakukan hubungan seks.
Empat lagi anggota kanan MHP sudah pun meletakkan jawatan selepas laman web itu menyiarkan video seks mereka
Sementara itu, Pendakwa Raya Pihak Berkuasa Khas Istanbul, Adnan Cimen meluaskan siasatan melibatkan skandal video seks yang menyebabkan peletakan jawatan 10 ahli politik kanan MHP itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Wanita Turki (TKDF) yang beribu pejabat di Ankara, Canan Gullu pula berkata, skandal video seks ini telah menyakiti kaum wanita di negara ini.
“Walaupun wanita tidak terlibat dalam politik Turki sepenuhnya, skandal video seks telah menjadi ‘faktor penentu’ kepada politik.
“Kaum wanita lebih tersinggung apabila video seks itu dibincangkan ketika berkempen dan ramai kaum hawa akan menjadi teragak-agak sama ada mahu mengundi MHP atau tidak pada 12 Jun ini,” katanya kepada akhbar Todays Zaman.
Menurutnya, wanita sering digunakan sebagai ‘alat politik’ di Turki berbanding dianggap sebagai orang penting dalam politik. – AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Raisuddin Hamzah sakit dada, kes bubar nikah tangguh 22 Ogos



SHAH ALAM 23 Mei - Prosiding perbicaraan kes pembubaran nikah Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya ditangguhkan setelah penyanyi era 1980-an itu mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif yang mewakili Raisuddin memberitahu bahawa dia dihubungi oleh anak guamnya sendiri pagi ini untuk memaklumkan perkara tersebut.
Berikutan kejadian itu, menurutnya, Raisuddin sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Karang, Kuala Selangor.
Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin kemudian menetapkan kes disambung bicara pada 22 Ogos ini.
Sementara itu, plaintif iaitu bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah, 51, yang diwakili oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie hadir ke mahkamah.
Pernikahan Raisuddin, 54, dengan Siti Fatimah, 23, di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Beliau membuat permohonan tersebut dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka yang kini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah yang sama.
Pasangan itu telah diperintah tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disahkan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Puting beliung landa AS, 116 orang terbunuh


JOPLIN, Missouri 24 Mei - Pasukan mencari dan menyelamat terus bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat setelah puting beliung melanda pekan Missouri yang setakat ini mengorbankan 116 orang.

Seorang penduduk, Roger Dedick berkata, rumahnya berusia 17 tahun ranap sama sekali selepas dalam kejadian itu dan merupakan puting beliung paling ganas dalam enam dekad pernah melanda pekan itu.
Dia terpaksa menggunakan besi bagi mencungkil sisa runtuhan untuk membolehkannya keluar dari rumah yang ranap.
Seorang lagi penduduk Carolyn Hall dan anaknya berusia belasan tahun tidak dapat menahan sebak semasa mencari sisa pakaian yang masih tertinggal di rumah mereka yang turut musnah dalam bencana itu.
Lebih 2,000 bangunan rosak atau musnah dalam kejadian itu menyaksikan puting beliau dengan kelajuan kira-kira 320 kilometer sejam menghancurkan sebahagian besar bandar berkenaan Ahad lalu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Bekas tahanan Guantanamo Bay saman Bush


BORDEAUX 24 Mei - Seorang rakyat Algeria menyaman bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush di mahkamah Perancis kerana ditahan selama lapan tahun di penjara Guantanamo Bay kerana disyaki sebagai pengganas.

Saber Lahmar, 42, berkata, dia ditahan ejen AS pada 2001 di Bosnia, di mana dia bekerja sebagai guru Bahasa Arab, dan ditahan 'seperti haiwan' di penjara AS tersebut selama lapan tahun dan dibebaskan tanpa tuduhan pada 2009.
Pihak berkuasa AS menuduh Lahmar merancang untuk menentang As dan tentera bersekutu di Afghanistan. Kini Lahmar menetap di Perancis.
Lahmar berkata, dia telah diseksa dengan pelbagai teknik termasuk kejutan elektrik, gangguan tidur dan dilemaskan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Bersatu selepas tragedi



MUHD AIZAD gembira dapat bertemu dengan ibu kandungnya, Nor Suzana yang terpisah sejak berusia dua tahun di wad khas bencana Hospital Ampang, semalam.
MUHD AIZAD gembira dapat bertemu dengan ibu kandungnya, Nor Suzana yang terpisah sejak berusia dua tahun di wad khas bencana Hospital Ampang, semalam.

Kejadian tanah runtuh Hulu Langat pertemu ibu, anak berpisah 11 tahun

AMPANG: Di sebalik kesedihan kehilangan sepupu, rakan dan penjaga Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Sabtu lalu, tragedi tanah runtuh itu rupa-rupanya ada hikmah tersendiri buat Muhd Aizad Qusyhairiry Abd Karim, 13, apabila dapat bertemu ibu kandungnya yang terpisah sejak 11 tahun lalu.

Tanpa diduga, Muhd Aizad Qusyhairiry yang sedang dirawat di wad khas bencana Hospital Ampang di sini, semalam dikejutkan dengan kehadiran ibu kandungnya, Nor Suzana Abdullah, 37. Malah, pelajar Tingkatan Satu itu tidak mengenali wanita terbabit sehingga diberitahu ibu angkatnya, Nor Aida Yaacob, 37.
“Terkejut... tak sangka di hospital ini saya bertemu semula dengan ibu kandung yang berpisah sejak berusia dua tahun. Perasaan memang tak dapat digambarkan. Gembira bercampur sedih dan terharu,” katanya yang patah pergelangan tangan dan retak siku kiri akibat tertimbus dalam runtuhan tanah sehingga paras dada dalam tragedi yang mengorbankan 16 mangsa.
Sejak ibu bapanya berpisah pada 2000, Muhd Aizad Qusyhairiry dan abangnya, Mohd Alif Zafran, 15, dijaga dan dibesarkan oleh Nor Aida yang juga ibu saudara mereka.

Sepanjang tempoh 11 tahun itu, Muhd Aizad Qusyhairiry tidak pernah mendengar khabar berita, apa lagi bersua muka dengan ibu kandungnya, walaupun pelbagai usaha dilakukan keluarga angkatnya untuk mencari Nor Suzana, termasuk melalui akhbar.

Nor Suzana yang tinggal di Jalan Klang Lama bersama suami barunya, pula berkata, ketika berpisah dengan dua anak serta bekas suaminya 11 tahun lalu, beliau sedang mengandung anak perempuan, Aerryssa Fadiana, yang kini berusia 11 tahun dan dalam jagaannya.

“Bukan saya tidak pernah cuba mencari dua anak saya itu. Sudah empat kali saya ke rumah bekas suami di Semenyih untuk berjumpa mereka, tetapi ketika itu tiada sesiapa di rumah,” katanya yang mendapat tahu Muhd Aizad Qusyhairiry terbabit dalam tragedi tanah runtuh itu selepas menonton Buletin Utama TV3.
Beliau berkata, hatinya berdebar-debar apabila melihat nama Muhd Aizad Qusyhairiry dipaparkan di televisyen antara mangsa terselamat.

“Jauh di sudut hati, saya yakin budak itu anak kandung saya yang berpisah sekian lama. Berikutan itu, saya bulatkan tekad datang ke hospital menemuinya dan melepaskan kerinduan yang terbuku 11 tahun lamanya.

“Saya bersyukur kerana bukan saja dipertemukan semula dengan Muhd Aizad Qusyhairiry, malah lebih penting dia terselamat dalam tragedi itu. Saya berharap selepas ini dapat menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti remaja lain,” katanya yang sebak dengan pertemuan tidak disangka itu.

Sementara itu, Muhd Aizad Qusyhairiry ketika menceritakan pengalamannya berdepan saat cemas tanah runtuh itu, berkata beliau tertimbus sehingga paras dada dan dihempap papan hampir dua jam sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

“Ketika itu, saya cuma teringatkan ibu (ibu angkat, Nor Aida). Saya hanya mampu memanggil nama ibu. Apa yang berlaku di sekeliling ketika itu saya sendiri tak dapat mengingatinya,” katanya yang kelihatan sihat tetapi masih trauma dengan tragedi berkenaan.

Dalam tragedi itu, sepupunya, Mohd Riezman Abdul Latif, 9, turut terkorban. Muhd Aizad Qusyhairiry tinggal di asrama madrasah berkenaan sejak empat tahun lalu, manakala abangnya menuntut di sekolah lain di Hulu Langat.Berita Harian Online | Bersatu selepas tragedi

Bakal sambut anak sulung

SHAH ALAM - Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menetapkan pada 14 Julai depan bagi menyemak afidavit pembelaan isteri Jimmy Shanley, Norjahan Salleh berhubung dua permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan selebriti itu pada awal tahun ini.
Peguam syarie, Saadiah Din yang mewakili isteri Jimmy, Nursuhaila Eliani, 25, bagaimanapun meminta tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan selepas bulan Julai.
Ini kerana jelas beliau, anak guamnya dijangka melahirkan bayi sulung pasangan itu pada waktu terdekat dan akan menjalani tempoh berpantang selama dua bulan.
Walaupun dibantah peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus yang mewakili Jimmy namun Hakim Syarie, Saharuddin Selamat membenarkan permohonan defendan.
Kosmo! Online - Negara

Isteri pernah kahwin orang lain

KANGAR - Seorang isteri yang menceraikan suaminya menerusi sepucuk surat taklik palsu daripada Jabatan Agama Islam Songkhla, Thailand Disember lalu rupa-rupanya pernah berkahwin dengan lelaki lain pada 2006 tanpa prosedur yang sah.
Ekoran pendedahan yang mengejutkan itu, permohonan suaminya, Yusri Ahmad Jusoh, 43, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam untuk mengesahkan perkahwinan mereka di negara jiran akhirnya terbantut.
Lebih malang, kegagalan wanita tersebut, Intan Fazilah Othman, 34, menghadirkan diri ke mahkamah telah memaksa Hakim Syariah, Azeeman Omar menangguhkan prosiding tersebut sekali lagi.
"Saya perlu mendengar keterangan dan melihat kes Intan berhubung dia mendakwa pernah berkahwin dengan lelaki lain sebelum mengahwini kamu (Yusri).
"Oleh itu, kamu (Yusri) mesti berusaha meminta isteri kamu (Intan) hadir di mahkamah menjelaskan perkara tersebut serta bukti berhubung dakwaan itu," kata Azeeman.
Kosmo! Online - Negara

Monday, May 23, 2011

SECRET RECIPE TIDAK HALAL....AWAS....









SECRET RECIPE TIDAK HALAL....AWAS....

Astghfirullah...dah berapa banyak aku melantak kek di secret recipe...Ya ALLAH ampunkanlah dosa hambamu...Kenapa tanda logo halal JAKIM terpampang di pintu masuk kedai ni...??
Tidak berfungsikah LOGO HALAL ini..Rakyat terutamanya umat Islam tertipu lagi...

PENEMUAN DNA BABI DALAM BAHAN RAMUAN SYARIKAT PURATOS MALAYSIA SDN BHD


Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia Bil.14/2011 yang diadakan pada 12 Mei 2011 telah memutuskan permohonan Syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd ( JAKIM-20100609-123757 ) adalah tidak berjayaberikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam bahan ramuan ( Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder ) yang digunakan syarikat tersebut. Sehubungan itu, semua pemegang ataupemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menggunakan produk keluaran Syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd dikehendaki untuk melakukan perkara-perkara seperti ketetapan berikut :

  1. menukar produk tersebut kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf;

  1. mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf ( jika berkaitan );

  1. melakukan proses samak; dan

4. mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri.



anakmuaallaf: SECRET RECIPE TIDAK HALAL....AWAS....
Secret Recipe nafi guna gelatin babi

SHAH ALAM – Secret Recipe menafikan khabar angin mengatakan produk keluaran syarikatnya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam dua bahan yang digunakan untuk ramuan kek keluaran mereka.

Eksekutif Halal Secret Recipe, Wan Zawani Wan Ahmad berkata, pihaknya kesal berlaku hebahan dalam beberapa blog yang memberitahu kedua-dua bahan yang dikenal pasti mengandungi gelatin babi.

“Kami amat kesal kejadian begini boleh berlaku walhal perkara ini langsung tidak terjadi di syarikat kami kerana kami sepenuhnya menggunakan bahan-bahan ramuan yang halal serta mendapat persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jika terdapat sebarang kemusykilan berhubung perkara ini, anda boleh berhubung terus dengan pihak kami di talian 03-78034891 dan berhubung dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula turut mendakwa bahan itu kini digunakan rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.

Sementara itu, laman web milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Zawani berkata, syarikatnya tidak pernah menggunakan bahan keluaran syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd, sebaliknya menggunakan beberapa bahan diambil dari rangkaian syarikat sama yang beroperasi di Belgium.

“Kesemua bahan diambil di Belgium terlebih dahulu mendapat perakuan halal daripada Jakim. Malah, kita tidak ada kena mengena atau mengambil bahan ramuan dengan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd,” katanya.-sinarharian

Belasah isteri separuh mati dek cemburu

KOTA BELUD (Sabah): Seorang lelaki 'naik hantu' apabila melihat isterinya berjalan dengan lelaki lain.

Dia membelasah isterinya separuh mati dan menetak hingga putus jari keempat kaki kirinya.
Lelaki itu kemudian membunuh diri dalam kejadian di Kampung Gentoung Rosok, di sini, itu.Dalam kejadian 12.40 tengah Jumaat lalu itu, Cik Dua Tulis, 46 tahun, parah di kepala selain patah tangan kiri selepas suaminya, Sibin Tetobok, 46 tahun, membelasahnya menggunakan parang dan kayu.Sibin dikatakan berang melihat isterinya itu berjalan bersama lelaki lain di sawah lalu mengamuk keliling kampung sambil menjerit akan membunuh isterinya.Beberapa penduduk kampung menghubungi polis.Seorang jiran mangsa berkata beliau terdengar pergaduhan antara pasangan itu sebelum polis tiba beberapa minit kemudian dan menemui mangsa dalam keadaan parah manakala suaminya menghilangkan diri.Ketua Polis Daerah Kota Belud, Timbalan Superintenden (DSP) Mohan Nadasen, mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa kini dirawat di Hospital Kota Belud kerana cedera parah di beberapa bahagian tubuhnya.Menurutnya, polis kemudian menjejaki suaminya di sebuah pondok tetapi sebaik saja menyedari kehadiran polis, dia meminum sejenis cecair, dipercayai racun, lalu rebah dan tidak sedarkan diri.Dia meninggal dunia di hospital, kata DSP Mohan. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

Amnesty bidas Aceh kerana laksanakan hukuman sebat

JAKARTA: Kumpulan hak asasi, Amnesty International, semalam membidas pelaksanaan hukuman sebat di wilayah Aceh, Indonesia, dua hari selepas negara itu berjaya menduduki kerusi dalam Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Amnesty menggesa Jakarta supaya memansuhkan undang-undang kecil yang digunakan wilayah separuh autonomi itu menjatuhkan hukuman sebat secara terbuka ke atas sekurang-kurangnya 21 orang lelaki kerana kesalahan berjudi bulan ini.

'Nampaknya, pihak berkuasa Aceh semakin menggunakan hukuman sebat di khalayak awam, melanggari undang-undang antarabangsa,' kata pengarah Asia Pasifik Amnesty, Encik Sam Zarifi, dalam satu kenyataan.

'Pemerintah Indonesia harus bertindak menghentikan hukuman-hukuman ini yang berupa kezaliman, tidak berperi kemanusiaan, atau layanan yang menjatuhkan martabat serta sering menjadi satu penderaan,' kata beliau dalam kenyataan itu.

Sejumlah 16 orang dilaporkan telah dikenakan hukuman sebat di Aceh tahun lalu, kata kenyataan itu lagi.

Amnesty berkata hukuman sebat melanggar Konvensyen PBB terhadap Penderaan, dengan Indonesia secara rasmi menerimanya pada 1998.

Ia menggesa pemerintah pusat negara tersebut supaya menyemak undang-undang kecil itu agar ia dapat mematuhi undang-undang dan piawaian hak asasi antarabangsa dan nasional.

Aceh, yang terletak di bahagian paling utara Sumatera, melaksanakan undang-undang syariah pada 2001 sebagai sebahagian daripada satu pakej autonomi yang bertujuan menamatkan sentimen pemisahan di kalangan penduduknya.

Hukuman sebat di wilayah itu pula lebih bertujuan memberi kesan malu daripada mencederakan. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Jumlah korban meningkat kepada 16 orang


KORBAN DITEMUI: Para penyelamat mengangkat mayat korban tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang ditemui pagi semalam. -- Foto REUTERS


Empat mayat kanak-kanak terakhir ditemui awal pagi semalam
HULU LANGAT (Selangor): Jumlah korban akibat tanah runtuh di sebuah rumah anak yatim di sini menyusuli hujan lebat kelmarin meningkat kepada 16 orang, menurut polis semalam.
Ini selepas mayat empat lagi mangsa tertimbus ditemui para penyelamat.Polis mengumumkan juga operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan.Tanah runtuh yang menimbus hampir setengah Rumah Anak Yatim dan Anak- Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, itu berlaku sekitar 2.30 petang kelmarin.Seramai 25 penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus.Seorang pegawai polis di tempat kejadian dipetik agensi berita AFP semalam sebagai berkata kesemuanya 16 mayat, termasuk penjaga rumah anak yatim berusia 34 tahun, telah ditemui.Mangsa lain yang terbunuh berusia antara lapan dengan 19 tahun.'Operasi mencari dan menyelamat sudah tamat. Kami telah selesaikan misi kami ini,' kata seorang pegawai polis di tempat kejadian, yang enggan namanya didedah, kepada AFP.Seramai sembilan mangsa cedera, tiga daripada mereka dalam keadaan kritikal, menurut agensi berita rasmi Bernama.Seorang penduduk kampung, Encik Mohamad Azam, 38 tahun, berkata empat mayat terakhir dikeluarkan awal pagi semalam.Tiga mayat, dikenali sebagai Muhammad Reizman Abdul Latif, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur sembilan tahun, ditemui 4.21 pagi, manakala mayat seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Kamarul Amizan Johari, atau 'Boboy', 11 tahun, ditemui sekitar 5.05 pagi.'Saya kenal budak-budak ini. Mereka budak-budak baik. Setiap pagi mereka mengerjakan solat subuh,' kata beliau dengan nada sedih.Semalam, jenazah kesemua 16 mangsa dibawa keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibedah siasat untuk dikebumikan, lapor laman berita The Malaysian Insider.Laman berita itu difahamkan bahawa seawal 6.30 pagi lagi keluarga mangsa berkumpul di pekarangan Jabatan Forensik HKL.Ada jenazah dibawa untuk dikebumikan di Kelantan, Perak dan Pahang.Ibu Allahyarham Muhammad Reizman, Cik Intan Anisah Alang, 40 tahun, berkata jenazah anaknya dan 'Boboy', iaitu anak saudaranya, dibawa ke Tanah Perkuburan Jenderam Hilir, Dengkil, dekat Kuala Lumpur, untuk dikebumikan bersama lima mangsa lain.Beliau enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih atas kematian anak dan anak saudaranya.Kejadian tanah runtuh sering berlaku di Malaysia dan kerajaan telah mengenakan syarat-syarat ketat bagi pembangunan yang dilakukan di kawasan lereng bukit.Dalam salah satu kejadian paling teruk, sebuah bangunan perumahan setinggi 12 tingkat. Highland Towers, roboh akibat tanah runtuh besar di kawasan pinggir Kuala Lumpur pada Disember 1993.Kejadian itu menyebabkan 48 orang terbunuh.Cyberita Online Luar Negara

Debu panas mungkin sampai ke Scotland menjelang Selasa

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

23/05/2011 3:49am

PARIS 23 Mei - Pihak kaji cuaca memberi amaran kepada syarikat penerbangan berikutan debu panas yang tercetus daripada letusan gunung berapi Iceland mungkin diterbangkan sehingga ke utara Scotland sebelum Selasa dan beberapa bahagian di Britain, Perancis dan Sepanyol sebelum Khamis, jika letusan berterusan pada tahap yang sama.

Amaran tersebut dikeluarkan berdasarkan laporan cuaca terbaru selama lima hari, tetapi perlu berhati-hati dengan tempoh laporan cuaca dan kehadiran arus angin yang berbeza daripada krisis debu yang berlaku tahun lepas, kata pegawai kaji cuaca.

Pihak berkuasa di Eropah semalam berkata, tiada gangguan dijangkakan berlaku kepada Eropah atau ruang udara Altantik sepanjang tempoh 24 jam akibat letusan gunung berapi Iceland yang paling aktif, Sabtu lalu. - RUETERS"

Kereta Aston Martin dilelong AS$377,000



Contoh model Aston Martin yang dilelong di Newport Pagnell, Buckinghamshire, England, semalam. – Agensi


LONDON 22 Mei – Dua buah kereta Aston Martin sama seperti yang digunakan oleh Putera William dan Kate Middleton semasa perkahwinan mereka berjaya dijual dalam acara lelong kereta klasik di Newport Pagnell, Buckinghamshire, malam tadi.
Kedua-dua kereta tersebut yang merupakan model DB6 berwarna hitam dan platinum, masing-masing dilelong pada harga AS$377,000 (RM1.2 juta).
Walaupun kedua-dua kereta tersebut berada di bawah nilai jangkaan ketika pra-lelong, namun jualan Bonhams menunjukkan peningkatan permintaan terhadap kereta buatan tangan itu.
Pengasas Kumpulan Automobil Bersejarah Antarabangsa (HAGI), Dietrich Hatlapa berkata, sekurang-kurangnya dua jutawan telah membeli Aston Martin dalam masa tiga atau empat tahun lalu.
“Perkahwinan William dan Kate mengesahkan kereta tersebut (Aston Martin) sebagai Perlembagaan British,” kata Hatlapa.
Dalam pada itu, replika kereta Aston Martin model V8 Volante yang dipandu oleh aktor Timothy Dalton dalam filem James Bond 1987, The Living Daylights, berjaya dilelong pada harga AS$279,130 (RM840,181).
Model kereta yang mencatat nilai lelong tertinggi adalah siri Aston Martin DB4, V Vantage 4.2 liter yang dijual pada harga AS$823,596 (RM2.5 juta).
Sementara itu, acara tersebut berjaya meraih kutipan lelong berjumlah AS$9.7 juta (RM29.3 juta) dan sebanyak 43 daripada 45 kereta yang dilelong berjaya dijual. – Agensi

Gaji menteri Singapura disemak


SINGAPURA 22 Mei – Gaji menteri-menteri Kabinet Singapura akan dikaji semula menyaksikan gaji mereka dipotong apabila formula gaji sedia ada menteri-menteri dimansuh, kata seorang pemimpin masyarakat berpengaruh Gerard Ee.

Beliau memberitahu Channel NewsAsia hari ini formula gaji sebelum ini menjadikan menteri-menteri sebagai jutawan menyebabkan ramai pengundi marah sehingga mempengaruhi majoriti undi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya umum negara ini, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dilapor telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula skim gaji menteri-menteri Kabinet yang menerima pendapatan antara S$1.57 juta (RM3.8 juta) hingga S$3.04 juta (RM7.4 juta) pada 2009.
Gerard Ee yang dipertanggungjawabkan mengetuai jawatankuasa itu berkata, langkah itu akan mengurangkan gaji menteri-menteri Kabinet jauh lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Formula yang digunakan sekarang untuk mengira gaji menteri-menteri Kabinet akan dimansuhkan,” katanya selepas Kabinet baru republik ini mengangkat sumpah, semalam.
Hsien Loong dan 15 menteri Kabinet barunya mengangkat sumpah di hadapan Presiden S.R.Nathan di Istana Presiden, semalam.
Kabinet baru dengan hanya 15 menteri berbanding 21 sebelum ini menyaksikan beberapa muka baru selepas sembilan menteri termasuk Menteri Mentor Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan, Goh Chok Tong bersara.
Gaji tinggi yang diterima anggota Kabinet merupakan satu daripada beberapa isu yang dibangkitkan semasa pilihan raya umum lalu, selain kenaikan kos tinggi perumahan awam, penjagaan kesihatan dan barangan asas. – Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Skandal video seks di Turki




Tayyip Erdogan


ISTANBUL 22 Mei - Enam pemimpin kanan parti pembangkang Turki, Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), semalam meletakkan jawatan ekoran skandal video peras ugut dan seks, sekali gus dijangka mempengaruhi keputusan pilihan raya umum negara ini pada 12 Jun ini.
Media Turki melaporkan, pemimpin kanan pembangkang itu dipaparkan dalam keadaan memalukan dalam rakaman video lucah itu, yang disiarkan melalui Internet.
Awal bulan ini empat yang lain yang juga merupakan pemimpin kanan parti itu telah meletakkan jawatan ekoran rakaman video hampir sama iaitu beberapa orang daripada mereka dipaparkan sedang mengadakan hubungan seks, dipercayai di sebuah rumah yang digunakan oleh anggota parti untuk mengadakan hubungan sulit.
Gelombong kedua peletakan jawatan pemimpin-pemimpin MHP itu mungkin memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Tayyip Erdogan yang memimpin Parti AK yang dijangka mengekalkan kuasa buat penggal ketiga dalam pilihan raya umum pada Jun ini.
Ketika ini, tinjauan pendapat meletakkan sokongan terhadap parti Tayyip berada sekitar 45 peratus.
Ekoran skandal itu, sokongan terhadap MHP juga dijangka merosot.
MHP dijangka tidak dapat meraih sokongan melebihi 10 peratus yang diperlukan bagi mengekalkan mereka dalam Parlimen, ekoran skandal tersebut.
Sokongan terhadap MHP ketika ini berada pada sekitar 10 hingga 15 peratus, kata tinjauan pendapat.
MHP ketika ini menguasai 70 daripada 550 kerusi di Parlimen Turki.
Antara mereka yang meletkkan jawatan ialah Timbalan Pengerusi MHP, Osman Cakir, Umit Safak dan Mehmet Ekici, serta Setiausaha Agung, Cihan Pacaci dan timbalannya Mehmet Taytak.
Mereka meletakkan jawatan sebagai anggota parti dan juga menarik diri daripada dicalonkan bertanding sebagai calon Parlimen mewakili parti itu.
Seorang lagi timbalan pengerusi MHP, Deniz Bolukbasi kemudian turut meletakkan jawatan.
"Saya telah meletakkan jawatan bagi mengelakkan konspirasi ini dan tuduhan palsu ini mengugat MHP pada pilihan raya akan datang,'' kata Bolukbasi dalam satu kenyataan.
Stesen televisyen CNN Turki melaporkan, pihak berkuasa telekomunikasi telah melancarkan siasatan berhubung video tersebut. - AP/Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bapa terkilan gagal penuhi permintaan mangsa




JOHARI AWANG


KUALA LUMPUR 22 Mei - Johari Awang, bapa kepada seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam, Muhammad Kamarul Amizan Johari terkilan kerana tidak sempat memenuhi permintaan terakhir anaknya agar dibelikan beg sandang.
Menurut Johari, 40, kali terakhir dia bertemu Muhammad Kamarul Amizan atau Boboy ialah pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu, namun kerap berhubung melalui telefon.
"Baru-baru ini, dia ada telefon saya minta belikan beg sandang dan saya sudahpun membelinya cuma tiada masa untuk menghantar kerana sibuk," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Tambahnya, Boboy merupakan anak yang nakal dan degil tetapi berubah menjadi baik sejak belajar agama di rumah anak yatim berkenaan tiga tahun lalu.
Sementara itu, ibu kepada Boboy, Norjuhana Alang, 32, memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan arwah anaknya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.
"Sejak masuk asrama pada 2009, kami jarang berjumpa. Allahyarham sejak kecil memang bercita-cita menjadi seorang ustaz. Baru-baru ini dia ada menelefon bertanya bila saya dan suami hendak datang melawatnya," katanya yang mengetahui tragedi tanah runtuh itu selepas menonton siaran televisyen.
Tambah Norjuhana, hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluh hatinya selepas melihat jenazah Boboy yang mengalami kecederaan di kepala semasa di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
Sementara itu, Zaleha Abdullah, 45, ibu kepada Allahyarham Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18, pula memberitahu, anaknya itu sepatutnya mendaftar masuk ke Kolej Matrikulasi Gopeng di Perak, esok.
"Dzahir Haziq yang mendapat 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini telah diterima memasuki Kolej Matrikulasi Gopeng dan sudah membuat persediaan termasuk membeli barang-barang untuk dibawa ke sana," katanya.
Menurutnya, anaknya itu pergi ke Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa setiap hujung minggu untuk belajar agama.
"Tak sangka kunjungannya ke situ semalam meragut nyawanya," kata Zaleha sebak tetapi reda menerima takdir menimpa anaknya itu.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri