Tuesday, April 13, 2010

318 bangunan usang sekitar ibu negara


KUALA LUMPUR 12 April - Sebanyak 318 buah bangunan sekitar ibu kota didapati terbiar dan usang, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan.
Sehubungan itu, jelas beliau, sebanyak 301 notis mengarahkan pemiliknya mengindahkan premis masing-masing telah dikeluarkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, notis itu perlu dikuatkuasakan kerana keadaan premis yang terbiar berupaya mencacatkan pemandangan bandar raya itu sebagai ibu negara selain boleh mengancam keselamatan orang ramai.
Jelas beliau, daripada jumlah notis yang dikeluarkan, sebanyak 170 dipatuhi apabila premis-premis tersebut telah dicat semula dan dibaik pulih.
"Sebanyak 17 notis dikeluarkan kepada pemilik mengarahkan premis dirobohkan dan 12 daripadanya telah dirobohkan," katanya ketika menjawab soalan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Pas-Parit Buntar) di Dewan Rakyat hari ini.
Mujahid ingin mengetahui bilangan bangunan yang terbiar di Kuala Lumpur serta tindakan kerajaan dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Saravanan berkata, dalam menyelesaikan isu tersebut, DBKL menghadapi beberapa kesukaran seperti gagal mengenal pasti pemilik sebenar sesebuah premis.
Selain itu, jelasnya, DBKL juga gagal menyerahkan notis berkenaan kepada pemilik sepatutnya kerana sesetengah mereka masih menghadapi perbicaraan mahkamah untuk mendapatkan hak ke atas premis terbabit.

No comments:

Post a Comment