Tuesday, April 13, 2010

Altantuya: Kehadiran Anwar dipersoal


KUALA LUMPUR 12 April - Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam membuat akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu menimbulkan pelbagai persoalan.
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) (gambar) berkata, apa yang lebih menghairankan ialah pengakuan bersumpah pertama Balasubramaniam pada 3 Julai 2008 itu yang disertakan sidang akhbar diadakan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, persoalan itu timbul kerana sehari selepas akuan bersumpah tersebut, Balasubramaniam muncul pada satu lagi sidang akhbar untuk melakukan satu lagi pengakuan bersumpah bagi menarik balik akuan bersumpah pertamanya.
"Jadi saya berasa amat peliklah kerana dalam akuan bersumpah kedua, Balasubramaniam juga mengatakan bahawa pengakuan pertama yang dibuatnya sehari sebelum itu dilakukan dalam keadaan terpaksa (under duress).
"Jadi adakah keadaan terpaksa dimaksudkannya itu berkaitan dengan sidang akhbar di ibu pejabat PKR berkenaan?" katanya dalam soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Khairy juga mempersoalkan sama ada kerajaan atau pihak berkuasa boleh mengambil sebarang tindakan berdasarkan dua akuan bersumpah Balasubramaniam itu.
Mohamed Nazri menjelaskan, apabila Balasubramaniam menarik balik salah satu akuan bersumpahnya, ia bermaksud penyiasat persendirian berkenaan telah melakukan penipuan semasa bersumpah dan ia boleh diambil tindakan.
"Bagaimanapun sekiranya pengakuan bersumpah (palsu) itu dilakukan secara terpaksa atau tertekan, ia boleh dipertimbangkan tetapi masalahnya dia (Balasubramaniam) sendiri tiada dalam negara,'' ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerajaan tidak boleh mengekstradisi Balasubramaniam kerana tidak mengetahui di mana dia berada.
Tegasnya, sekiranya kerajaan mengetahui di mana penyiasat persendirian itu berada sekalipun, tiada sebarang jaminan untuk membawanya pulang ke Malaysia kerana tidak semua negara di dunia ini mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment