Tuesday, April 13, 2010

Fahami perlembagaan - Sultan



Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menuju ke dewan untuk merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang DUN Selangor Ke-12 di Shah Alam, semalam. - BERNAMA


SHAH ALAM 12 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak supaya memahami Perlembagaan Persekutuan agar tidak ada rakyat yang berlebihan dalam menuntut hak masing-masing.
Baginda bertitah, Perlembagaan negara memberikan hak kepada semua dan ia merupakan pelindung rakyat sama ada dari segi politik, ekonomi atau sosial.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, titah baginda, rakyat perlu menjadikan Perlembagaan sebagai asas dalam usaha menguruskan permasalahan kerana isi kandungannya sudah memaktubkan hak rakyat dengan jelas.
''Prinsip kebebasan dan keadilan adalah prinsip yang sedia ada dalam pemasyhuran kemerdekaan.
"Beta berharap ahli-ahli Yang Berhormat dapat memberi mesej yang jelas kepada rakyat mengenai perkara ini," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Bangunan DUN di sini hari ini.
Baginda turut mengingatkan semua ahli politik di negeri ini supaya tidak menghabiskan masa yang banyak untuk berpolitik.
"Politik harus ada masa dan tempatnya," titah baginda sambil menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggunakan kesempatan terhad ketika sidang DUN untuk membincangkan dasar yang baik dan jangan berkelakuan yang tidak sepatutnya.
"Semua ahli Dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal budi kepada semua," titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga mahu kerjasama kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan dipereratkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, dasar liberalisasi ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan harus disambut sebagai cabaran bagi menempatkan perkhidmatan bermutu untuk rakyat.
Titah baginda, usaha itu penting supaya negeri ini tidak ketinggalan ketika pelabur luar masuk dengan banyak ke negara ini.
Kerajaan negeri, titah baginda, harus memikirkan mewujudkan pelbagai produk pelancongan sama ada berbentuk alam sekitar yang asli atau lokasi buatan manusia, budaya, agama atau program-program berkaitan dengan tema tertentu.
"Bagi menjayakan aspirasi ini beta yakin perkhidmatan pengangkutan awam dan khidmat pengguna yang berkesan amat diperlukan kerana ia baik untuk semua pihak sama ada negeri, penggerak industri perkhidmatan atau pelancong," titah baginda.

No comments:

Post a Comment