Tuesday, April 13, 2010

Nazri sahkan SPRM soal adik PM


KUALA LUMPUR 12 April - Adik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazim Razak telah disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pertukaran akuan bersumpah oleh penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam.
Selain itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, SPRM turut menyoal ahli perniagaan, Deepak Jaikishan berhubung kes sama.
''Kita sudah soal, sudah soal, cukuplah tu," katanya yang enggan mengulas lanjut bilakah SPRM menyoal kedua-dua individu berkenaan di lobi Parlimen di sini hari ini.
Pada sidang akhbar pada 2008, Balasubramaniam mengedar akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, tetapi keesokannya menarik balik akuan itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.
Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.
Balasubramaniam pernah mendakwa keluarga Perdana Menteri memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.
Disember lalu, Angkatan Muda Keadilan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan Mohamed Nazim dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada SPRM.
Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu temu ramah dengan tiga peguam di Singapura, tahun lalu.
Deepak pula didakwa kenalan rapat isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

No comments:

Post a Comment