Tuesday, April 13, 2010

Kalau betulpun takkan nak mengaku...

Kerajaan nafi beri 'tekanan politik' terhadap Pornthip

KUALA LUMPUR 12 April - Dakwaan pembangkang bahawa kerajaan Malaysia telah memberi 'tekanan politik' supaya ahli patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand menarik diri daripada inkues Teoh Beng Hock adalah tidak berasas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk menghalang penglibatan Pornthip dalam inkues yang bakal disambung semula, 20 April ini.
"Kalau hendak cakap pasal pegawai tertinggi kerajaan halang, saya sepatutnya terlebih dahulu tahu, tetapi tidak pernah pun Peguam Negara datang jumpa saya menyatakan kita tak benarkan dia masuk.
"Kita semua tahu, kalau dia telah dibenarkan masuk kali pertama, apa perlu kita tahan dia untuk masuk kali kedua, malah tarikh inkues ini ditunda untuk membolehkan dia datang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas notis yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di kamarnya hari ini.
Notis itu memaklumkan mengenai hasratnya untuk membuat usul bagi menangguhkan sidang Dewan bagi membahaskan kenyataan Pornthip bahawa beliau tidak akan hadir memberi keterangan apabila inkues bersambung.
Ia ekoran dakwaan 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia dan turut mendakwa beliau tidak dibenarkan masuk ke Kelantan pada awal tahun ini.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, pihak yang membuat dakwaan itu perlu menyatakan dengan jelas siapa 'pegawai tertinggi kerajaan' yang dikatakan menghalang kemasukan Pornthip ke negara ini.
"Siapa tekan? Sebut siapa dia? Datuk Seri Nazri? Atau siapapun kita nak tahu, kalau kita tahu siapa sebenarnya, mungkin kita dapat membantu dia. Siapa pun boleh cakap dia dipaksa.
"Tapi siapa yang memaksa kita hendak tahu, sebab itu saya kata dia menipu dan saya tidak percaya bahawa kerajaan Malaysia, pegawai-pegawai kita menghalang dia daripada datang," katanya.
Mohamed Nazri yang yakin tiada sebarang tekanan telah dikenakan terhadap ahli patologi itu berkata, tindakan menghalang kemasukan Pornthip bagi menghadiri inkues itu akan memberikan imej buruk kepada Malaysia.
"Ketika testimoni inkues terdahulu, dia telah menyatakan sesuatu yang sensasi dan bagi kerajaan Malaysia untuk halang dia daripada datang, nampak sangat seperti kita nak menyembunyikan sesuatu.
"Kalau kita halang dia untuk datang kali kedua, kita akan mendapat kritikan daripada dunia," katanya.
Tambah beliau, keengganan Pornthip untuk datang ke Malaysia sebenarnya kerana takut untuk terus menyertai prosedur inkues ekoran tidak dapat mempertahankan kenyataannya sebelum ini.
"Saya rasa dia takut. Saya percaya testimoninya sebelum ini tidak betul dan dia tidak dapat mempertahankannya sekarang.
"Jadi dia mencari alasan untuk tidak hadir dalam penerusan inkues yang akan datang ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment