Tuesday, April 13, 2010

Mugilan paling layak wakili Barisan Nasional di Hulu Selangor


DUA hari lagi, Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan siapakah calonnya yang bakal diberi tanggungjawab untuk menegakkan kembali panji-panji parti itu dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor.
Pilihan raya yang bakal berlangsung pada 25 April ini dianggap cukup penting bagi BN, justeru parti tersebut tidak boleh tersalah langkah melakukan percaturan terutamanya dari segi calon.
Sejarah dalam pilihan raya kecil sebelum ini sudah menjadi bukti bahawa kesilapan memilih calon telah membawa padah kepada BN.
Oleh itu, menjelang pengumuman yang bakal dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ini, spekulasi mengenai siapa calon BN semakin hangat diperkatakan.
Ia semakin rancak apabila Muhyiddin semalam menyatakan nama calon sudah disenarai pendek dan paling ketara apabila beliau menyatakan, calon berkenaan anak tempatan dan berkelulusan tinggi serta 'yang rakyat mahukan'.
Sama ada hendak diakui atau tidak, kenyataan itu sekali gus meletakkan Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, V. Mugilan, 34, sebagai calon paling sesuai.
Ini memandang semua kriteria yang Muhyiddin nyatakan itu ada pada Mugilan. Ketua Pemuda Hulu Selangor tersebut merupakan anak tempatan yang dilahirkan di Ladang Kerling, Kuala Kubu Baharu, berkelulusan dalam jurusan Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya.
Selain itu menurut sumber, Mugilan sememangnya dikenali oleh penduduk Hulu Selangor. Selain bersikap rendah diri, Mugilan adalah pemimpin muda yang bersemangat tinggi untuk membantu rakyat.
Penglibatan aktif beliau dalam politik seawal usia 19 tahun dan terus bertungkus-lumus mendalami masalah di kawasan Parlimen tersebut memberi kelebihan kepada Mugilan untuk menjadi calon pilihan bagi BN.
Utusan Malaysia juga difahamkan, di kalangan penduduk Hulu Selangor selain kaum India, orang Melayu dan kaum Cina juga menyenangi Mugilan dan berpendapat BN wajar mempertimbangkan beliau sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil berkenaan.
Walaupun terdapat beberapa nama lagi seperti Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel, Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan dan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, namun populariti Mugilan tidak dapat dinafikan.
Apa pun keputusan muktamad terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberikan tanggungjawab kepada Muhyiddin untuk mengumumkan calon BN tersebut.
Tetapi apa yang diharapkan semua pihak terutamanya di dalam MIC sendiri harus menerima dengan terbuka keputusan pucuk pimpinan parti termasuklah seandainya Mugilan terpilih.
Ia kerana perjuangan Mugilan di Hulu Selangor bukanlah atas nama MIC tetapi BN. Oleh itu, mereka perlu memberi sokongan padu kepada Mugilan, bukannya atas nama peribadi beliau tetapi atas nama Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment